Topic followed successfully
Go to BHku3 maut, 5 hilang selepas bot nelayan terbakar di Selat Melaka
3 maut, 5 hilang selepas bot nelayan terbakar di Selat Melaka
3 maut, 5 hilang selepas bot nelayan terbakar di Selat Melaka
MEDAN: Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari lima nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka, KM Sumber Indah II, terbakar ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan Selat Melaka pada awal pagi 7 April.
Bot tersebut membawa seramai 21 orang ketika kejadian tersebut berlaku.
Tiga nelayan disahkan maut dalam insiden tersebut, manakala 13 yang lain berjaya diselamatkan oleh kru bot nelayan, KM Mandiri, yang sedang menangkap ikan berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Jurucakap Komando Daerah Angkatan Laut (Kodaeral) I, Kolonel Wahyu Kurniawan, mengenal pasti tiga mangsa yang maut sebagai Iyan, Jahar, dan Buitin.
Pihak Tentera Laut bersama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) kini sedang giat mencari lima lagi mangsa yang dikenal pasti sebagai Aris, Roy, Lubis, Ambon, serta seorang lelaki yang belum diketahui identitinya.
“Kami masih meneruskan pencarian nelayan yang hilang,” kata Kolonel Wahyu pada 8 April.
KM Sumber Indah II yang dikemudikan oleh seorang individu bernama Aisu, telah berlepas dari Pelabuhan Belawan pada petang 6 April menuju ke arah timur.
Selepas berlayar sejauh 25.75 kilometer dari pelabuhan, bot berkenaan berhenti untuk melabuhkan pukat bagi menangkap ikan bilis.
Beberapa jam kemudian, kru bot berhenti seketika untuk berehat.
Sekitar 2 pagi, satu letupan kedengaran dari bilik enjin yang dipercayai berpunca daripada bahagian turbo utama, menyebabkan api merebak dengan pantas ke seluruh bahagian kapal.
Kolonel Wahyu berkata sebelum bot tersebut terbakar, salah seorang kru yang dikenali sebagai Aliman menyedari bahawa enjin kapal mengalami kepanasan melampau.
Aliman cuba memberi amaran kepada rakan kru yang lain, namun sebelum beliau sempat berbuat demikian, beberapa letupan telah meletus di dalam bilik enjin.
“Letupan pertama berpunca daripada enjin terlalu panas, diikuti letupan kedua daripada tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 12 kilogram yang disimpan berhampiran enjin tersebut,” kata Kolonel Wahyu.
“Letupan itu menyebabkan kapal tersebut mula terbakar.”
Kesemua kru terjun ke laut untuk menyelamatkan diri daripada api tersebut.
Sekitar 30 minit kemudian, bot KM Mandiri tersebut berjaya menyelamatkan 13 daripada mereka.
Dua mangsa melecur ringan, manakala tiga lagi didapati telah meninggal dunia.
KM Mandiri membawa kesemua mangsa yang selamat dan tiga jenazah tersebut ke Pelabuhan Belawan dan tiba sekitar 8 pagi.
Sementara itu, Ketua Subdirektorat Penguatkuasaan Undang-undang, Direktorat Polis Perairan dan Udara (Ditpolairud) Sumatera Utara, Encik Hendri Barus, berkata bangkai kapal KM Sumber Indah II sedang ditunda dari lokasi kejadian ke Pelabuhan Belawan.
Beliau berkata pihak polis masih menyiasat punca kebakaran maut tersebut.
“Kami masih menyiasat kes ini dan sedang menemu bual nelayan yang terselamat,” katanya.
Dalam kejadian lain pada 13 November 2025, sebuah bot nelayan yang berlabuh di pelabuhan perikanan Gabion di Belawan dilaporkan terbakar.
Enam trak Jabatan Bomba dan Penyelamat Medan mengambil masa selama empat jam untuk mengawal api yang marak.
“Api sukar dipadamkan kerana tangki bahan api kapal tersebut dipenuhi muatan,” kata ketua jabatan, Encik Wandro Malau, seperti yang dipetik oleh jawapos.com.
“Oleh itu, kami perlu memancutkan air dengan jumlah yang besar ke bahagian bawah kapal bagi mengelakkannya daripada meletup, dan ini menyukarkan lagi usaha memadamkan api.” – Agensi berita.

