Topic followed successfully
Go to BHku11 bayi pramatang Gaza kembali ke pangkuan keluarga selepas dua tahun
11 bayi pramatang Gaza kembali ke pangkuan keluarga selepas dua tahun
11 bayi pramatang Gaza kembali ke pangkuan keluarga selepas dua tahun
GAZA/KAHIRAH: Seramai 11 kanak-kanak yang dilahirkan pramatang di Gaza akhirnya kembali ke pangkuan keluarga mereka selepas lebih dua tahun terpisah, dalam satu misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kanak-kanak tersebut sebelum ini dipindahkan ke Mesir pada November 2023 ketika serangan tentera Israel semakin menghampiri unit rawatan bayi pramatang di Hospital Al-Shifa.
Ketika itu, mereka hanya diiringi petugas perubatan tanpa kehadiran ibu bapa.
Pada 30 Mac lalu, mereka dibawa pulang ke Gaza melalui lintasan Rafah sebelum dipertemukan semula dengan keluarga masing-masing di Nasser Hospital.
Bagi Cik Sundus Al-Kurd, detik pertemuan semula dengan anaknya, Bissan, menjadi saat yang sukar digambarkan.
“Saya tidak dapat menyentuh atau memeluk anak saya selama dua setengah tahun,” katanya sambil memeluk anaknya.
“Hari ini seperti kelahiran semula saya akan menggantikan segala yang anak saya tidak dapat rasai selama ini,” tambahnya.
Beliau berkata ketika kali terakhir melihat anaknya pada 2023, bayi itu berada dalam keadaan kritikal di hospital di Bandar Gaza yang dilanda perang.
Kini, selepas dua tahun di Mesir, Bissan kembali sebagai kanak-kanak yang lebih sihat.
“Apabila dia nampak saya, dia terus datang ke dalam pelukan saya. Seolah-olah dia tahu saya ibunya,” katanya.
Walaupun pertemuan semula itu penuh kegembiraan, ia turut diselubungi cabaran emosi.
Cik Sundus berkata anaknya masih belum mengenali ahli keluarganya.
“Dia masih tidak tahu siapa ibunya, siapa ayahnya… kami cuba perlahan-lahan supaya dia mengenali kami,” katanya.
Bissan turut kehilangan kakaknya, Habiba, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada Oktober 2023.
Serangan itu juga meragut sembilan lagi ahli keluarga mereka.
Keluarga itu kini tinggal di khemah di Bandar Gaza.
“Dia akan menggantikan kehilangan kakaknya dan semua yang saya hilang,” kata ibunya.
Bayi-bayi tersebut adalah sebahagian daripada 29 bayi pramatang yang dipindahkan dari Hospital Al-Shifa ketika tentera Israel menyerbu prasarana itu, dengan alasan ia digunakan oleh Hamas untuk tujuan ketenteraan.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh pihak kesihatan Palestin.
Dalam keadaan perang yang memuncak dan sempadan ditutup, bayi-bayi itu hanya dibenarkan keluar bersama petugas perubatan.
Perjalanan ke Mesir menggunakan inkubator disifatkan doktor sebagai berisiko tinggi dan mengancam nyawa.
Tujuh daripada bayi tersebut dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Mesir.
Pengarah Hospital Al-Shifa, Encik Mohamed Abu Selmia, berkata Gaza kini berdepan kekurangan serius kemudahan perubatan, khususnya bagi bayi pramatang.
“Terdapat kekurangan ubat penting, susu formula khas dan ubat bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau menambah, kira-kira 52 peratus ubat asas dan 75 peratus bekalan perubatan kini tidak tersedia di Gaza.
Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) pula sebelum ini menyifatkan Hospital Al-Shifa sebagai “zon kematian” akibat kerosakan teruk dan gangguan bekalan elektrik.
Konflik di Gaza yang bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 70,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza.
Lebih 80 peratus struktur di Gaza dilaporkan rosak atau musnah, termasuk hospital dan kemudahan rawatan pramatang.
Walaupun kepulangan kanak-kanak ini memberi sinar harapan, mereka kembali ke wilayah yang masih bergelut dengan kemusnahan dan kekurangan asas.
Seorang lagi ibu, Cik Fatima al-Daqqa, 20 tahun, turut berkongsi detik pertemuan semula dengan anaknya, Jouda.
Pada awalnya, beliau tidak dimaklumkan bahawa anaknya dipindahkan ke Mesir dan menyangka anaknya telah meninggal dunia.
“Saya sangat gembira melihatnya, tetapi dia tidak mengenali saya pada mulanya,” katanya.
“Dia tidak memanggil saya mama seperti kanak-kanak lain… tetapi perlahan-lahan dia akan mengenali ibunya.” – Agensi berita.

