Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah pangsa, rumah sebandung: Istilah lama yang makin dilupakan
Selongkar makna serta asal usul istilah kediaman di S’pura dalam bahasa Melayu
Rumah pangsa, rumah sebandung: Istilah lama yang makin dilupakan
Baru-baru ini, anak saya yang berusia lima tahun melukis suasana di sekitar kawasan kejiranan kami.
Seperti biasa, setiap kali dia melukis, saya akan sibuk bertanya tentang benda-benda yang dilukisnya.
Saya akui pada usia ini, dia lebih fasih berbahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.
Jadi, setiap kali berbual dengannya, saya akan mengambil kesempatan untuk bertanya tentang padanan sesuatu perkataan bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu, dengan harapan dapat memperkayakan kosa katanya.
“Apa flat dalam bahasa Melayu?” tanya saya, menyangka bahawa dia akan menjawab, “Flat juga, ibu.”
“Rumah pangsa.”
Saya terdiam seketika.
Lama benar rasanya saya tidak mendengar, apatah lagi menggunakan istilah rumah pangsa dalam pertuturan harian mahupun dalam penulisan.
Sebelum itu, mari kita singkap dahulu makna perkataan ‘pangsa’.
Takrifan ‘pangsa’
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perkataan ‘pangsa’ bermaksud ruang atau petak dalam buah-buahan seperti dalam buah durian atau cempedak.
Pangsa ialah sejenis kata nama am dan bukannya penjodoh bilangan.
Misalnya, perkataan ‘pangsa’ boleh digunakan dalam ayat seperti berikut:
Satu pangsa buah durian itu mengandungi tiga ulas isi yang berwarna kekuning-kuningan.
Dalam konteks perumahan pula, ‘rumah pangsa’ ditakrifkan sebagai rumah yang bertingkat-tingkat dan berpetak-petak.
Konsepnya tidak asing bagi kita kerana ia serupa dengan flat HDB yang menjadi kediaman kepada hampir 80 peratus penduduk di Singapura.
Di Indonesia pula, kediaman seumpama ini lazim disebut ‘rusun’, singkatan daripada istilah ‘rumah susun’.
Beza rumah pangsapuri, rumah pangsa
Dalam bahasa Melayu, terdapat juga istilah yang mempunyai konsep hampir serupa dengan rumah pangsa, iaitu ‘pangsapuri’.
‘Puri’, perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit, bermaksud rumah yang indah dan dijadikan tempat tinggal raja (istana).
Maka unsur ‘puri’ dalam istilah ‘pangsapuri’ seakan-akan memberi gambaran sebuah kediaman bertingkat dan berpetak, yang besar dan selesa, ibarat tempat bersemayam raja.
Gambaran ini selari dengan takrif Kamus DBP tentang pangsapuri sebagai rumah pangsa moden yang lebih luas serta serba lengkap dengan kemudahan, berbanding rumah pangsa yang lebih sederhana.
Di Singapura, konsep pangsapuri seperti yang dijelaskan ini lebih dekat padanannya dengan apartmen, kediaman swasta tidak berhalaman.
Sebandung, teres dan banglo
Rumah sebandung, rumah teres dan banglo antara jenis hartanah halaman di Singapura.
Dalam Kamus DBP, ‘sebandung’ bermaksud sepasang atau dua serangkai.
Saya masih teringat bagaimana perkataan itu menarik perhatian saya apabila mempelajarinya semasa di sekolah rendah kerana bunyinya sama seperti air bandung, minuman kegemaran saya.
Maka, ‘rumah sebandung’, atau turut dikenali sebagai ‘rumah berkembar’, ialah dua buah rumah yang dibina bersebelahan dan berkongsi dinding yang sama.
Sementara itu, ‘rumah teres’ dan 'banglo’ pula merupakan istilah yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, dan disesuaikan ejaannya dalam bahasa Melayu.
‘Rumah teres’ merujuk kepada tiga atau lebih rumah yang dibina bercantum dan berderet.
Dalam bahasa Melayu, ia turut dikenali sebagai ‘rumah berangkai’.
‘Banglo’ pula ialah rumah yang tidak berangkai, biasanya dibina dalam kawasan yang luas dan mempunyai halaman yang tersendiri.
Menurut Etimologi Bahasa Melayu DBP, walaupun ‘banglo’ didaftarkan sebagai perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, bungalow, asal usul perkataan itu sebenarnya berakar daripada kata Hindi, iaitu bangla.
Bangla dalam Hindi bermaksud ikut gaya Bengal, sebuah kawasan di bahagian timur laut benua kecil India.
Kesimpulan
Daripada flat kepada rumah pangsa dan apartmen kepada pangsapuri, bahasa Melayu sebenarnya mempunyai khazanah istilahnya sendiri untuk menggambarkan jenis kediaman yang masih relevan hingga hari ini.
Berbalik kepada anak saya, kali ini bukan saya yang mengajarnya kosa kata bahasa Melayu.
Sebaliknya, dia pula yang ‘mengajar’ saya — atau lebih tepat, mengingatkan saya kepada istilah yang sudah lama terpinggir daripada penggunaan harian.
