Topik diikuti
Pergi ke BHkuUndang-undang Laut Melaka ‘nakhoda’ pelayaran Melayu silam
Undang-undang Laut Melaka ‘nakhoda’ pelayaran Melayu silam
Dikenali kerana keperincian, bukti Melaka sebagai kuasa maritim abad ke-15
Undang-undang Laut Melaka ‘nakhoda’ pelayaran Melayu silam
Dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk, ‘Selami makna laut dalam bahasa Melayu’ (terbitan Berita Minggu, 21 Jun), saya telah menjelaskan kedekatan masyarakat Melayu tradisional dengan dunia kelautan.
Antara sebab kedekatan ini adalah kedudukan Nusantara yang dikelilingi perairan.
Laut bukan sahaja sumber air dan makanan, malah laluan perhubungan, perdagangan, serta punca rezeki masyarakat Melayu tradisional.
Bangsa Melayu bangsa pelaut
Masyarakat Melayu dahulu dikenali sebagai bangsa pelaut yang hebat.
Mereka berani menyeberangi lautan yang luas dengan menggunakan kapal atau perahu yang dibina sendiri, membawa dagangan dan ilmu pelayaran yang tinggi.
Apabila kegiatan di laut menjadi semakin berkembang dan rencam, ditambah pula dengan kedatangan pedagang asing, undang-undang di lautan perlu diwujudkan, demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sekitar perairan.
Sekitar akhir abad ke-15, undang-undang khas berkaitan pelayaran, perdagangan dan pelabuhan dalam dunia Melayu, ditetapkan dan ditulis.
Antaranya ialah Undang-undang Kedah, Undang-undang 99 Perak, dan yang paling dikenali dan menjadi rujukan para ahli akademik sehingga hari ini ialah Undang-undang Laut Melaka.
Undang-undang Laut Melaka paling dikenali dan menjadi sumber rujukan, kerana ia mencerminkan kemasyhuran Melaka pada abad ke-15 sebagai pusat pelabuhan dan perdagangan.
Di samping itu, Undang-undang Laut Melaka disusun dengan begitu terperinci, meliputi undang-undang jenayah di laut, peraturan semasa urusan perdagangan, tugas pegawai kapal dan hierarki yang perlu dipatuhi dalam sesebuah pelayaran.
Seterusnya, mari kita telusuri peranan setiap pegawai kapal, dalam memastikan sesebuah pelayaran berjalan dengan teratur dan lancar.
Nakhoda
Nakhoda merupakan pegawai tertinggi dan mempunyai kuasa penuh dalam sesebuah pelayaran.
Beliau turut digelar sebagai ‘raja’ di atas kapal, dan ini memberinya kuasa untuk menentukan cukai serta menjatuhkan hukuman ke atas pegawai kapal yang didapati tidak mematuhi undang-undang laut.
Peranan nakhoda lebih kurang serupa dengan kapten kapal pada hari ini.
Dalam bab perdagangan, Undang-undang Laut Melaka menjelaskan bahawa apabila sesebuah kapal berlabuh, orang yang pertama dibenarkan berniaga ialah nakhoda.
Nakhoda diberi keutamaan berniaga selama empat hari sebelum kiwi, iaitu gelaran bagi pedagang yang menyewa ruang dalam kapal, dibenarkan menjalankan perniagaan untuk dua hari seterusnya.
Selepas itu, barulah pegawai lain dalam kapal itu berpeluang menjalankan urus niaga.
Peraturan ini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi di atas kapal berlaku secara tersusun dan mengikut hierarki tertentu.
Jurumudi
Selepas nakhoda, jurumudi ialah pegawai kedua terpenting dalam sesebuah pelayaran.
Jurumudi bertugas mengawal arah pergerakan kapal dan memastikan kapal bergerak mengikut haluan yang betul.
Kedudukannya sering disamakan dengan bendahara dalam struktur pemerintahan di darat.
Ini menunjukkan bahawa tugas jurumudi amat penting kerana keselamatan kapal banyak bergantung pada kecekapannya mengendalikan arah pelayaran.
Jurubatu
Jurubatu pula berperanan menjaga keselamatan dan ketenteraman di atas kapal.
Tugasnya sering dibandingkan dengan temenggung, iaitu penjaga keamanan dalam struktur pemerintahan Melayu.
Selain menjaga disiplin di atas kapal, jurubatu juga bertanggungjawab terhadap sauh dan bahagian hadapan kapal.
Peranan ini penting kerana kapal bukan sahaja perlu belayar dengan selamat, malah perlu berada dalam keadaan terkawal sepanjang perjalanan.
Malim
Malim, yang bermaksud penunjuk jalan, bertindak sebagai penasihat utama kepada nakhoda dalam sesebuah pelayaran.
Beliau mempunyai kemahiran yang tinggi mengenai hal-hal yang berkaitan dengan navigasi, termasuk menentukan arah, menilai kedalaman air, memahami pergerakan angin dan bulan (yang menjadi faktor dalam menentukan gelombang laut), serta membaca keadaan cuaca.
Dengan pengetahuan yang ada, malim memainkan peranan penting dalam membantu nakhoda menentukan laluan, serta masa pelayaran yang sesuai, demi memastikan kapal belayar dengan selamat.
Muda-muda, tukang-tukang dan awak-awak
Selain itu, terdapat juga pegawai yang digelar muda-muda, iaitu golongan yang bertanggungjawab menjaga senjata dan berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kapal, jika diserang musuh.
Mereka turut menjadi pengiring peribadi nakhoda apabila turun ke darat.
Dalam urusan teknikal, tugas memastikan kapal berfungsi dengan baik dipikul oleh tukang-tukang.
Mengikut bahagian kapal yang dijaga, mereka dikenali sebagai tukang kanan atau tukang kiri, manakala ketua kepada tukang-tukang pula dipanggil tukang agung.
Akhir sekali, jawatan paling bawah hierarki dalam sesebuah kapal dikenali sebagai awak-awak, iaitu pekerja biasa yang mengendalikan layar, sauh dan pelbagai kerja fizikal yang lain.
Jenayah dan hukuman
Sementara itu, Undang-undang Laut Melaka turut menggariskan kesalahan jenayah di atas kapal, yang boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman pelayaran.
Hukuman yang dikenakan bergantung pada keseriusan kesalahan tersebut.
Misalnya, hukuman mati boleh dijatuhkan terhadap sesiapa yang didapati membunuh orang di atas kapal, atau mempunyai niat jahat terhadap nakhoda (khianat atau cuba membunuhnya).
Malim juga boleh berdepan dengan hukuman mati, sekiranya didapati cuai sehingga menyebabkan kapal karam.
Lain-lain hukuman seperti denda, turut dikenakan kepada kesalahan yang lebih ringan sebagai contoh memarahi nakhoda, kecuaian pegawai (tidak sampai menyebabkan kapal karam), mencuri dan kesilapan ketika menjalankan urus niaga.
Ketegasan hukuman ini bertujuan memastikan keamanan di atas kapal sentiasa terpelihara dan mencegah sebarang perbalahan yang boleh membahayakan pelayaran.
Kesimpulan
Di sebalik kehebatan masyarakat Melayu sebagai pelaut, wujud undang-undang laut yang menjadi ‘nakhoda’ kepada setiap pelayaran.
Undang-undang ini berkesan memelihara ketenteraman, menegakkan keadilan serta memperjelas tanggungjawab setiap pegawai kapal, sekali gus memupuk disiplin agar pelayaran berjalan dengan teratur dan selamat.
Justeru, ini memperlihatkan betapa dunia maritim Melayu silam kaya dengan nilai, kebijaksanaan dan daya fikir masyarakat Melayu terdahulu.