Sekumpulan penerbit buku Melayu Singapura,secara kolektif dikenali sebagai ‘Pupuk’, akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sekali lagi pada 2026, dan akan melancarkan tujuh buku kanak-kanak baru di festival tahunan itu.

Di bawah payung Pupuk untuk PBAKL 2026, penerbit Pustaka Nasional, Ungu Pen, dan Caliph Readers akan turut serta, bersama penampilan sulung The Safaa Safiyyah Publication serta Little People, Big Words

Reruai khas kolektif itu akan didirikan lagi, memeriahkan pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 29 Mei hingga 7 Jun.

“Kami berharap reruai ini dapat menjadi ruang untuk memperkenalkan lebih banyak karya Singapura kepada pembaca serantau serta menjadi ruang interaksi antara penulis, penerbit dengan pembaca,” kata wakil Pupuk, Cik Maria Mahat, dalam wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.

Ini kali kedua penerbit menyertai PBAKL di bawah kolektif Pupuk.

Sebelum PBAKL2025, penyertaan penerbit dalam PBAKL lebih bersifat individu – misalnya, Ungu Pen, Pustaka Nasional dan Poppet, pernah menyertai secara persendirian.

Gabungan di bawah kolektif itu membolehkan kerjasama yang lebih tersusun dan strategik antara penerbit termasuk dalam penjimatan kos logistik dan penghantaran, perancangan bersama untuk kegiatan promosi dan pelancaran, serta penjenamaan bersama yang memperkukuh identiti penerbitan Singapura di mata pembaca Malaysia dan mungkin serantau.

Berkongsi pengalaman di PBAKL2025, Cik Maria berkata sambutan pembaca Malaysia terhadap buku-buku kanak-kanak, novel remaja dan karya dewasa Melayu Singapura sangat menggalakkan.

Penerbit yang mengambil bahagian juga dapat memperluaskan jaringan dengan penerbit, penulis, pendidik dan penggiat industri buku dari Malaysia, Brunei dan Indonesia.

“Dari segi sasaran dan matlamat penubuhan, kami melihat penyertaan tersebut berjaya membuka ruang yang lebih besar untuk buku-buku Singapura menembusi pasaran serantau,” kata Cik Maria.

“Selain jualan buku, kami juga berjaya memperkenalkan identiti penerbitan Singapura yang pelbagai dan bermutu, serta membuka peluang kerjasama dalam bidang hak cipta, terjemahan dan program literasi,” tambahnya.

Bagi PBAKL2026, Cik Maria berkata penerbit yang mengambil bahagian berharap dapat memperkukuhkan lagi kehadiran buku-buku Singapura di rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

Di festival itu, penerbit akan menampilkan buku-buku yang mempunyai nilai sejagat, mudah diterjemahkan dan dekat dengan pengalaman pembaca serantau, katanya.

“Secara keseluruhannya untuk 2026, kami berharap dapat memperkukuhkan lagi ekosistem penerbitan Melayu Singapura dan rantau ini, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama antara penerbit, penulis, ilustrator dengan pendidik,” kata Cik Maria.

Beliau turut meluahkan harapan reruai Pupuk di PBAKL2026 dapat menjadi ruang aktif, mesra keluarga dan meraikan literasi kanak-kanak serta pembacaan buku-buku daripada pelbagai penulis Melayu Singapura dan rantau ini.

Pelbagai kegiatan akan diadakan di reruai Pupuk sepanjang PBAKL2026 pada 11 pagi dan 4 petang setiap hari.

Salah satu daripadanya ialah kegiatan menggabungkan suku kata bagi membina perkataan baru.

Pupuk bermula pada 2018 apabila beberapa penerbit Singapura seperti Persama Enterprise, Pustaka Nasional, Ungu Pen, Unggun Creative dan Kamus bekerjasama menganjurkan Pesta Buku Melayu Singapura yang pertama.

Kerjasama itu diteruskan menerusi Pesta Buku Melayu Singapura 2020 yang dijalankan secara dalam talian semasa pandemik Covid-19.

Selepas itu, Pupuk terus berkembang sebagai satu kolektif penerbit yang saling menyokong dalam usaha memperkenalkan buku-buku Singapura ke peringkat serantau.

Pada 2024, Pupuk mengambil bahagian dalam ‘Indonesia Rights Fair’ sebelum menyertai PBAKL pada 2025.

“Pupuk sebenarnya bersifat fleksibel dan kolektif ini berkembang mengikut minat serta penyertaan penerbit dari semasa ke semasa. Sepanjang beberapa tahun ini, pelbagai penerbit telah bekerjasama di bawah inisiatif Pupuk,” kata Cik Maria.

“Matlamat utama Pupuk ialah memperluaskan khalayak bagi karya dan penerbitan kami serta mewujudkan ruang kerjasama sesama penerbit Singapura dan penerbit luar negara,” tambahnya.

Buku baru Singapura dilancar di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026

Tinggi Di Langit

Sertai Safaa dan Safiyyah dalam pengembaraan mereka ke langit dengan menaiki belon udara panas yang berwarna-warni!
Tinggi Di Langit Sertai Safaa dan Safiyyah dalam pengembaraan mereka ke langit dengan menaiki belon udara panas yang berwarna-warni! - Foto THE SAFAA SAFIYYAH PUBLICATION
Si Comel Pembuat Kek

Safaa dan Safiyyah ada niat baik untuk mengejutkan ibu dan ayah pada hari ulang tahun perkahwinan mereka! Adakah mereka akan berjaya dalam misi ini?
Si Comel Pembuat Kek Safaa dan Safiyyah ada niat baik untuk mengejutkan ibu dan ayah pada hari ulang tahun perkahwinan mereka! Adakah mereka akan berjaya dalam misi ini? - Foto THE SAFAA SAFIYYAH PUBLICATION
Pesta Durian Di Kampung
Buku ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang mengimbau kenangan membesar di sebuah rumah panggung di tepi laut, dengan jiran yang saling mengenali. Hidup mereka ketika itu sederhana sekali. Kemudian, masa paling dinantikan pun tiba – musim durian! Tetapi masa terus berlalu. Rumah kayu kini tiada lagi, dan kehidupan kota mengambil alih perjalanan hidup mereka. Namun, rasa durian tetap membawa kembali segala kenangan lama.
Pesta Durian Di Kampung Buku ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang mengimbau kenangan membesar di sebuah rumah panggung di tepi laut, dengan jiran yang saling mengenali. Hidup mereka ketika itu sederhana sekali. Kemudian, masa paling dinantikan pun tiba – musim durian! Tetapi masa terus berlalu. Rumah kayu kini tiada lagi, dan kehidupan kota mengambil alih perjalanan hidup mereka. Namun, rasa durian tetap membawa kembali segala kenangan lama. - Foto LITTLE PEOPLE, BIG WORDS
Nuha Patah Tangan

Nuha terjatuh dari palang gayut di taman permainan hingga tangannya patah. Dengan bantuan keluarga yang penyayang dan seorang doktor yang sabar, Nuha memulakan perjalanan pemulihan. Sepanjang proses itu, dia belajar bahawa tangan yang patah tidak bermakna semangatnya turut patah.
Nuha Patah Tangan Nuha terjatuh dari palang gayut di taman permainan hingga tangannya patah. Dengan bantuan keluarga yang penyayang dan seorang doktor yang sabar, Nuha memulakan perjalanan pemulihan. Sepanjang proses itu, dia belajar bahawa tangan yang patah tidak bermakna semangatnya turut patah. - Foto UNGU PEN
Tempe Istimewa Taufik

Apabila rakan Taufik tidak percaya sebarang masakan berunsur tempe sedap, dia berusaha meyakinkan mereka melalui ilmu dan kreativitinya. Daripada kudapan tradisional ke olahan moden yang dimasak sendiri, dan berbekal pengetahuan tentang khasiat tempe, akhirnya Taufik berjaya mengajak kawannya menikmati masakan tempenya.
Tempe Istimewa Taufik Apabila rakan Taufik tidak percaya sebarang masakan berunsur tempe sedap, dia berusaha meyakinkan mereka melalui ilmu dan kreativitinya. Daripada kudapan tradisional ke olahan moden yang dimasak sendiri, dan berbekal pengetahuan tentang khasiat tempe, akhirnya Taufik berjaya mengajak kawannya menikmati masakan tempenya. - Foto PUSTAKA NASIONAL
Mencari Air

Dalam keadaan kemarau panjang, dua kanak-kanak berusaha keras mencari air untuk pohon limau mereka yang masih tidak berbuah. Mereka pergi ke beberapa sumber air tetapi bekalan tidak mencukupi. Pada saat mereka berdepan dengan kehampaan, bantuan datang tepat pada waktunya.
Mencari Air Dalam keadaan kemarau panjang, dua kanak-kanak berusaha keras mencari air untuk pohon limau mereka yang masih tidak berbuah. Mereka pergi ke beberapa sumber air tetapi bekalan tidak mencukupi. Pada saat mereka berdepan dengan kehampaan, bantuan datang tepat pada waktunya. - Foto PUSTAKA NASIONAL
Taman Haiwan Di Dalam Rumah

Hujan telah merosakkan rancangan Hyder dan Luna untuk ke taman haiwan. Jika   mereka tidak dapat pergi ke taman haiwan, bolehkah mereka membawa taman haiwan kepada mereka? Dengan sebuah ‘kubu’ selimut dan sedikit kreativiti, Hyder dan Luna, mengubah ruang tamu mereka menjadi taman haiwan di dalam rumah yang paling seronok! Sebuah kisah tentang mencari pengembaraan dan keseronokan di mana-mana sahaja kita berada.
Taman Haiwan Di Dalam Rumah Hujan telah merosakkan rancangan Hyder dan Luna untuk ke taman haiwan. Jika mereka tidak dapat pergi ke taman haiwan, bolehkah mereka membawa taman haiwan kepada mereka? Dengan sebuah ‘kubu’ selimut dan sedikit kreativiti, Hyder dan Luna, mengubah ruang tamu mereka menjadi taman haiwan di dalam rumah yang paling seronok! Sebuah kisah tentang mencari pengembaraan dan keseronokan di mana-mana sahaja kita berada. - Foto UNGU PEN