Topik diikuti
Pergi ke BHkuPak Kaduk, Pak Pandir, Pak Belalang: Watak ‘hidup’ rentas zaman
Pak Kaduk, Pak Pandir, Pak Belalang: Watak ‘hidup’ rentas zaman
Berkembang daripada istilah ke filem, dengan pengajaran kekal relevan dalam masyarakat hari ini
Pak Kaduk, Pak Pandir, Pak Belalang: Watak ‘hidup’ rentas zaman
Karya sastera Melayu tradisional pada asalnya berbentuk lisan yang diwariskan daripada satu generasi ke generasi lain, melalui pertuturan, sebelum mula dibukukan sekitar abad ke-17.
Oleh sebab penyebaran awalnya yang bersifat lisan, cerita rakyat yang kita nikmati hari ini berkemungkinan besar telah mengalami pelbagai perubahan daripada versi asalnya.
Ada bahagian yang ditambah, disesuaikan mengikut peredaran zaman, atau diubah mengikut daya kreativiti pencerita.
Karya sastera Melayu tradisional juga dianggap sebagai milik kolektif masyarakat Melayu di seluruh Nusantara.
Ini kerana kebanyakan karya lama tidak diketahui pengarang asalnya, mahupun tarikh sebenar ia wujud.
Secara umumnya, karya sastera Melayu tradisional dibahagikan kepada dua bentuk utama iaitu naratif dan bukan naratif.
Sastera tradisional bukan naratif merangkumi puisi seperti pantun, gurindam, seloka dan lagu rakyat.
Manakala bentuk naratif pula meliputi pelbagai jenis cerita, seperti cerita hantu atau makhluk halus, cerita binatang, cerita jenaka dan cerita lipur lara.
Dalam pelbagai jenis cerita rakyat, cerita jenaka adalah antara yang paling akrab dengan masyarakat.
Kisah-kisah sebegini amat digemari oleh semua lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hingga dewasa.
Cerita jenaka bukan sekadar berfungsi untuk menghiburkan, bahkan turut mengandungi unsur sindiran, pengajaran, dan kritikan sosial yang disampaikan melalui watak-watak utama yang ditampilkan.
Watak-watak dalam cerita jenaka Melayu kekal relevan dan tidak lapuk dek zaman.
Nama-nama seperti Pak Kaduk, Pak Pandir dan Pak Belalang, terus kekal dalam ingatan kolektif masyarakat hingga ke hari ini.
Watak-watak ini bukan sekadar hidup dalam cerita rakyat bergenre jenaka, bahkan sebahagian daripadanya telah meresap ke dalam ungkapan harian, peribahasa, seloka, filem, serta rujukan dalam budaya popular.
Malah, kepentingan watak-watak ini turut diiktiraf dengan direkodkan sebagai subentri di dalam Kamus Dewan.
Sebagai contoh, ‘Pak Kaduk’ menurut Kamus Dewan, ditakrifkan sebagai seorang yang malang kerana kebodohannya sendiri.
Dalam naskhah cerita Pak Kaduk, dikisahkan bahawa beliau telah mempertaruhkan rumahnya (kampung) dalam satu pertandingan sabung ayam menentang raja.
Raja yang bijak pula, tertarik dengan kehebatan ayam Pak Kaduk lalu meminta beliau bertukar ayam.
Tanpa berfikir panjang akan implikasinya, Pak Kaduk segera bersetuju menukar ayamnya dengan ayam milik raja.
Ayam yang ditukar itu memenangi pertarungan, lantas Pak Kaduk bersorak gembira, lupa seketika bahawa ayam yang menang itu sudah menjadi kepunyaan raja.
Disebabkan pertukaran itu, kemenangan tersebut tidak membawa sebarang manfaat kepada Pak Kaduk.
Lebih mendukacitakan, beliau malah kehilangan tempat tinggalnya.
Daripada kisah inilah lahirnya peribahasa masyhur, ‘ayam menang kampung tergadai’ yang membawa maksud mendapat keuntungan tetapi tidak berfaedah kepada diri sendiri.
Selain peribahasa, naratif cerita Pak Kaduk juga diabadikan dalam bentuk seloka yang bertajuk Seloka Pak Kaduk:
“Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.”
Satu lagi watak yang terkenal dalam cerita jenaka Melayu dan mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan perwatakan Pak Kaduk ialah Pak Pandir.
‘Pak Pandir’ menurut Kamus Dewan, ditakrifkan sebagai orang yang lurus tetapi bodoh.
Malah perkataan ‘pandir’ itu sendiri terakam dalam kamus, dan wujud sebagai kata sifat yang bermaksud tidak cekap berfikir, bodoh atau tolol.
Dalam kisah Pak Pandir, beliau digambarkan sebagai seorang yang sering bertindak tanpa berfikir panjang, dan kerap salah mentafsir arahan isterinya, Mak Andeh.
Misalnya, apabila Mak Andeh menyuruhnya menukar emas dengan seekor kerbau di pasar, Pak Pandir sebaliknya menukar emas pemberian isterinya itu dengan sebilah sabit.
Hal ini berlaku kerana Pak Pandir menyangka sabit itulah yang dimaksudkan oleh Mak Andeh, setelah isterinya menggambarkan kerbau sebagai benda yang ‘makan rumput’.
Kepandiran beliau boleh dilihat sebagai lucu pada luarannya, tetapi jika kita selami dengan lebih mendalam, cerita Pak Pandir sebenarnya sarat dengan pengajaran, mengingatkan masyarakat agar berfikir dahulu sebelum bertindak dan tidak menerima arahan secara membuta tuli.
Berbeza dengan Pak Kaduk dan Pak Pandir, watak Pak Belalang pula digambarkan sebagai watak yang beruntung.
Berdasarkan Kamus Dewan, ‘Pak Belalang’ membawa maksud orang yang selalu mujur (bernasib baik) dengan secara tidak sengaja.
Pak Belalang pada asalnya merupakan seorang lelaki yang hidup dalam kedaifan, dan tidak mempunyai apa-apa kemahiran dalam dirinya.
Namun pada suatu hari, Pak Belalang dipanggil ke istana untuk menilik sesuatu, dan tanpa diduga, ramalannya itu menjadi kenyataan.
Hal itu berlaku bukan kerana beliau benar-benar memiliki ilmu nujum, tetapi ia adalah secara kebetulan dan juga bantuan orang di sekelilingnya.
Akhirnya, beliau diangkat sebagai ahli nujum yang sangat dihormati.
Watak Pak Belalang turut dipopularkan menerusi filem Melayu klasik, Nujum Pak Belalang, yang diterbitkan pada 1959, arahan dan lakonan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee, sebagai ahli nujum palsu yang sering bernasib baik dengan ramalannya.
Pak Belalang sekali lagi diangkat dalam filem khayalan muzikal, Magika, yang diterbitkan pada 2010, menerusi lakonan Zaibo sebagai Nujum Pak Belalang.
Kemunculan Zaibo sebagai watak peramal nasib, memperlihatkan bagaimana cerita rakyat Melayu klasik terus diberi nafas baharu dalam karya hiburan kontemporari.
Kesimpulannya, watak-watak jenaka dalam sastera Melayu tradisional bukan sekadar hidup sebagai rekaan dalam cerita rakyat atau bahan hiburan semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi lambang budaya dan bahasa.
Pak Kaduk, Pak Pandir dan Pak Belalang menjadi istilah dalam bahasa Melayu, membentuk peribahasa, serta menjadi ilham kepada seloka dan karya filem, yang sarat dengan sindiran dan pengajaran.
Hal ini sekali gus membuktikan bahawa watak-watak tersebut akan terus kekal relevan sebagai cerminan sikap manusia, kelemahan diri dan nilai masyarakat yang merentas zaman.
