SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Antara Ramadan, Ramadhan; tarawih, terawih

Antara Ramadan, Ramadhan; tarawih, terawih

Variasi ejaan sering muncul, perlu selaras ikut sistem ejaan Rumi bahasa Melayu
Mar 1, 2026 | 5:30 AM

Antara Ramadan, Ramadhan; tarawih, terawih

Ramadan, ramadhan, terawih, tarawih, ejaan, Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu
Solat sunat yang hanya dilakukan pada malam hari sepanjang Ramadan, selepas solat fardu Isyak mengikut ejaan standard ialah ‘tarawih’, bukan ‘terawih’. - Foto ST

Sudah sepertiga Ramadan kita umat Islam menunaikan ibadah puasa, menahan diri daripada lapar dan dahaga sebagai tuntutan iman.

Setiap Muslim diwajibkan berpuasa dari waktu matahari naik sehingga terbenam, dalam bulan kesembilan tahun Hijrah ini.

Namun, setiap kali Ramadan tiba, kekeliruan tentang ejaan perkataan ‘Ramadan’ itu sendiri sering timbul dalam media sosial dan bahan bercetak.

Jadi, apakah sebenarnya ejaan yang betul, dan mengapakah bentuk lain tidak diterima dalam bahasa Melayu?

Etimologi istilah Ramadan

Dari segi etimologi, perkataan ‘Ramadan’ berasal daripada bahasa Arab yang berakar daripada perkataan ‘ramada’.

‘Ramada’ dalam bahasa Arab membawa maksud kepanasan yang membakar, dan analogi ini seakan membakar dosa melalui ibadah yang dilakukan.

Perkataan ‘Ramadan’ mengandungi huruf dhod, dan merupakan abjad ke-15 dalam bahasa Arab.

Apabila dirumikan, terdapat beberapa variasi ejaan seperti ‘Ramadan’ dan ‘Ramadhan’.

Malah, di Indonesia pula, Ramadan turut kerap dieja sebagai ‘Ramadhon’.

Jika mengikut sebutan dalam bahasa Arab, ejaan ‘Ramadhan’ kelihatan lebih hampir dengan bunyi asal huruf dhod tersebut.

Namun, dalam bahasa Melayu, penyesuaian ejaan tidak bergantung sepenuhnya pada sebutan asal.

Bahasa Melayu mempunyai sistem ejaannya yang tersendiri, yang dikenali sebagai Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu.

Jika menurut sistem ejaan Rumi baru ini, huruf konsonan ‘dh’ sudah ditiadakan dan digantikan dengan huruf ‘d’.

Oleh yang demikian, ejaan baku yang diterima dalam bahasa Melayu hanyalah ‘Ramadan’, dan bukan variasi ejaan yang lain.

Serba sedikit tentang ejaan Rumi baru

Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu dirasmikan penggunaannya pada 1972, untuk menyatukan dan menyeragamkan sistem ejaan bahasa Melayu di Nusantara, iaitu di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Selain itu, sistem ini juga bertujuan untuk menyesuaikan bunyi bahasa asal, mengikut lidah masyarakat di Nusantara ini.

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, bunyi-bunyi bahasa asal seperti ‘th’, ‘dz’, ‘dh’, ‘sh’ dan ‘q’ masing-masing telah ditukar menjadi ‘s’, ‘z’, ‘d’, ‘sy’ dan ‘k’ apabila diserap ke dalam bahasa Melayu, mengikut sistem ejaan Rumi yang baru ini.

Sebagai contoh ‘infaq’ dieja ‘infak’; ‘redha’ dieja ‘reda’; ‘dzalim’ dieja ‘zalim’; ‘fardhu’ dieja ‘fardu’; dan ‘skuash’ dieja ‘skuasy’.

Meskipun begitu, istilah khusus yang berkaitan dengan agama seperti Al-Quran, masih dikekalkan ‘q’ dalam ejaan Ruminya.

Tarawih bukan terawih

Satu lagi perkataan yang sering disalah eja apabila tiba musim Ramadan ialah ‘tarawih’.

Tarawih dipinjam daripada bahasa Arab dan ia bermaksud istirahat.

Solat tarawih merupakan solat sunat yang hanya dilakukan pada malam hari sepanjang Ramadan, selepas solat fardu Isyak.

Solat ini, berdasarkan makna asalnya, dilakukan secara santai dan diselang-selikan dengan rehat seketika di antara empat rakaat.

Dalam bahasa Melayu, bentuk baku yang betul dan mengikut ejaan standard ialah ‘tarawih’, bukan ‘terawih’.

Variasi ejaan ‘terawih’ mungkin terhasil daripada kebiasaan penutur yang menggunakan bunyi suku kata awalan ‘ter-’ dalam perbualan harian.

Kesimpulan

Kesimpulannya, penulisan istilah seperti ‘Ramadan’ dan ‘tarawih’, atau apa jua perkataan pinjaman daripada bahasa asing, perlu mematuhi sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu walaupun sebutannya berlainan daripada bahasa asal, demi keselarasan ejaan.

Hal ini penting bagi mengekalkan integriti bahasa Melayu, disiplin berbahasa, serta pemahaman antara kumpulan dialek melalui penulisan.

Namun begitu, dari segi pertuturan, variasi sebutan masih boleh berlaku, mengikut loghat dan kebiasaan masyarakat itu sendiri, selagi tidak menjejaskan maksud dan kefahaman komunikasi.

Kekalkan disiplin berbahasa

Kesimpulannya, penulisan istilah seperti ‘Ramadan’ dan ‘tarawih’, atau apa jua perkataan pinjaman daripada bahasa asing, perlu mematuhi sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu walaupun sebutannya berlainan daripada bahasa asal, demi keselarasan ejaan. Hal ini penting bagi mengekalkan integriti bahasa Melayu, disiplin berbahasa, serta pemahaman antara kumpulan dialek melalui penulisan.
Penulis.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg