Topik diikuti
Pergi ke BHkuMemperlapang kandang musang, mempersempit kandang ayam
Usaha pastikan sesiapa ajar agama Islam di S’pura berkelayakan, bermoral
Memperlapang kandang musang, mempersempit kandang ayam
Masyarakat terperanjat, marah, dan geram bukan kepalang apabila mengetahui tentang perbuatan seorang ‘pempengaruh keagamaan’ yang menjadikan dua budak lelaki adik-beradik pemuas nafsu seksnya.
Bukan kepalang di sini bermaksud ‘amat sangat’.
Walaupun bukan seorang guru agama Islam atau guru Al-Quran bertauliah, lelaki itu sering memuat naik video agama di media sosial dan memaparkan dirinya sebagai pembimbing agama.
Dia kemudian merogol dan mencabul adik-beradik tersebut berulang kali ketika mereka masing-masing berusia antara enam dengan lapan tahun; dan 11 dengan 12 tahun.
Seolah-olah kepalang besar kesalahan yang dilakukannya, dia turut melakukan perbuatan itu di sebuah masjid ketika mereka ke sana untuk solat bersama.
Kepalang di sini pula bermaksud ‘tidak cukup’ atau ‘tidak memadai’.
Penyangak, atau penjahat, seperti itu, kata peribahasa, ialah musang berbulu ayam atau serigala berbulu domba, iaitu orang jahat menyamar sebagai orang baik-baik.
Domba ialah sejenis kambing biri-biri yang berbulu tebal di negeri Arab.
Mereka muka licin ekor berkedal, yang bermaksud pada lahirnya baik, tetapi hatinya jahat.
Kedal ialah istilah lama yang merujuk kepada penyakit kulit yang menyebabkan kulit bertompok-tompok belang atau berbelang putih.
Orang tua-tua berkata semut mati di gula, yang bermaksud manusia mudah tersemu, iaitu terpedaya atau tertipu, oleh pujuk rayu.
Inilah kesempatan yang diambil musang berbulu ayam untuk kepentingan diri mereka sendiri tanpa sifat perikemanusiaan.
Dek itu, pujangga berpesan, mulut manis jangan percaya, lepas daripada tangan jangan diharap.
Maksudnya, berhati-hatilah akan pujuk rayu orang yang mahu menipu atau berniat jahat.
Namun, apakan daya batu pun empuk, jangankan hati manusia, iaitu perkataan yang lemak manis dapat menawan hati yang keras.
Maka itu, tidak kurang yang menjadi mangsa orang bertanam tebu di mulut, bertanam halia (atau peria) di hati, yang bermaksud mulut manis, hati busuk.
Peribahasa juga menyifatkan serigala berbulu domba seperti sekelat muka dua, iaitu bermuka dua, atau munafik.
Sekelat ialah kain yang diperbuat daripada bulu domba.
Antara ciri-ciri orang bermuka dua ialah tidak jujur, berkata lain di depan tetapi berlainan pula di belakang, dan bersifat munafik, iaitu menunjukkan seolah-olah baik dan kawan, tetapi sebenarnya berniat jahat atau mengkhianati.
Dalam agama Islam, sifat munafik ialah pada zahirnya mengaku keesaan Tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad saw, tetapi sebenarnya tidak beriman.
Jika berjubah, bertasbih dan berkopiah tetapi berbohong, berdusta dan mengakalkan, iaitu menipu dan memperdaya, ia bak kata pepatah, sembahyang mencari akal, rukuk mencari kira-kira.
Ia bermaksud, rupanya soleh tetapi hatinya sangat jahat.
Mencari kira-kira ialah mencari tipu helah, akal untuk menganiaya atau mendapat keuntungan dunia.
Namun pujangga berkata, musang terjun, lantai terjungkat (atau terjungkit).
Maksudnya, apabila sesuatu kejahatan telah dilakukan, ada tanda-tandanya.
Tanda-tanda itu menjadi bukti perbuatan jahat tersebut.
Demikian juga dengan si pempengaruh itu, perbuatannya terdedah jua dan dia dihukum penjara 27 tahun dan 10 bulan serta sebat 24 kali baru-baru ini.
Ini bagai dikata pepatah, hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka.
Maksudnya, akal yang jahat dapat mendatangkan kecelakaan kepada diri sendiri.
Peribahasa mengatakan, takkan dua kali orang tua kehilangan tongkat dan takkan pisang berbuah dua kali, yang bermaksud sekali merugi (tertipu dan sebagainya) tentu jera, atau serik, dan berhati-hati (agar tidak ditimpa perkara buruk itu lagi).
Tetapi, sering juga manusia alpa dan jenayah berulang.
Jauhari berkata, di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti.
Maksudnya, tempat yang tidak dijaga baik-baik di situlah pencuri (orang jahat) datang; orang yang bodoh mudah kena tipu; siapa lengah akan mendapat bencana.
Jadi, memang patutlah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkukuh dan mempertingkat langkah-langkah keselamatan di masjid, termasuk rondaan dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
Orang ramai tidak harus marah jika pegawai masjid bertindak lebih berhati-hati sekarang, seperti menyoal pengunjung yang jarang atau tidak pernah dilihat atau kelihatan mencurigakan.
Jangan pula langkah-langkah berwaspada itu dibuat kerana Allah, menjadi murka Allah, iaitu dilakukan dengan maksud baik, tetapi diterima orang dengan curiga.
Pada peringkat individu pula, ingat pesan jauhari, jika memelihara ayam, musang jangan dijinakkan; setidak-tidaknya bertempiaran kelak.
Maksudnya, jika ada anak isteri, terutama sekali anak gadis, janganlah dibiarkan orang yang jahat datang bertamu ke rumah.
Ini mengingatkan peri perlu menjaga keselamatan keluarga dengan berhati-hati memilih kawan, jangan mudah mempercayai orang baru dikenali, dan selidiki latar belakang orang tidak dikenali.
MUIS, umpamanya, ada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), yang berusaha memastikan sesiapa sahaja yang ingin mengajar agama Islam di Singapura mempunyai kelayakan dari segi ilmu pengetahuan agama dan nilai-nilai baik serta bermoral.
Memang ada orang bergelar ustaz atau ustazah yang dilucutkan tauliahnya kerana melanggar Kod Etika ARS.
Orang ramai boleh memeriksa melalui skim tersebut sama ada seseorang itu ustaz atau ustazah berkelayakan yang diiktiraf untuk mengajar agama Islam dan boleh dijadikan pembimbing.
Jika kemudahan memeriksa disediakan dan peluang mengelak menjadi mangsa tersedia tetapi ia tidak dimanfaatkan, ini ibarat memperlapang kandang musang, mempersempit kandang ayam iaitu sengaja memberi kesempatan kepada orang berniat jahat.
“
“Pada peringkat individu pula, ingat pesan jauhari, jika memelihara ayam, musang jangan dijinakkan; setidak-tidaknya bertempiaran kelak. Maksudnya, jika ada anak isteri, terutama sekali anak gadis, janganlah dibiarkan orang yang jahat datang bertamu ke rumah. Ini mengingatkan peri perlu menjaga keselamatan keluarga dengan berhati-hati memilih kawan, jangan mudah mempercayai orang baru dikenali, dan selidiki latar belakang orang tidak dikenali.”