Topik diikuti
Pergi ke BHkuDima bumi dipijak, disinan langik dijunjuang *
Peribahasa mengajak setiap warga terutama muda dan baharu, suburkan Semangat S’pura bersama demi kemajuan negara
Dima bumi dipijak, disinan langik dijunjuang *
Peribahasa mengatakan resmi, atau sifat semula jadi, orang tidak merdeka bagai jawi terkurung siang, iaitu sangat gelisah kerana tidak bebas.
Jawi ialah lembu.
Apabila dikurung di dalam kandang pada waktu siang, ia tidak dapat keluar meragut rumput lalu resah tidak tenang.
Rakyat negara yang dijajah pula, kata pujangga, ibarat burung, mata lepas badan terkurung, iaitu tidak ada kemerdekaan atau kebebasan.
Mereka seperti unggas yang hidup di dalam sangkar – boleh terbang tetapi terkongkong.
Dek terpaksa menurut perintah tanpa hak bersuara, mereka laksana burung diam-diam sangkar, atau orang yang terikat hidupnya.
Sebab itu, resmi orang mendapat kemerdekaan seperti kuda lepas dari pingitan, iaitu sangat gembira kerana bebas daripada kongkongan.
Perasaannya lega teramat sebab terlepas daripada keadaan yang menyekat kebebasannya.
Namun, kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos 1965 mengingatkan tentang mendiang Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew yang menangis ketika mengumumkan perpisahan mendadak daripada Malaysia, dalam satu sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.
Mendiang sedih, bukan gembira, diberi kemerdekaan.
Ini kerana beliau tidak seperti kuda lepas dari pingitan atau seriang itik mendapat air, yang bermaksud memperoleh sesuatu yang sangat digemari.
Betapa tidak, Encik Lee tidak mencari kemerdekaan untuk pulau seluas dada tuma, atau sangat sempit, ini.
Tuma ialah binatang halus seperti kutu.
Beliau bukanlah ingin di buah manggis hutan, masak ranum tergantung tinggi, iaitu menginginkan sesuatu yang sangat susah didapatkan.
Kemerdekaan “dipaksakan” ke atas pulau ini.
Ia sebagaimana dikatakan mendiang dalam satu ucapan selepas merdeka pada 1965:
“...kita bertanggungjawab mengenai nasib kita sendiri: kita merdeka.
“Bukannya kita mencarinya; tetapi kemerdekaan dipaksakan ke atas kita.”
Pada waktu itu, pemimpin dan rakyat pulau ini dalam situasi digenggam takut mati, dilepaskan takut terbang, iaitu menghadapi masalah yang sangat sulit.
Bukan kecil, sesak dan kekurangan tanah sahaja, malah pulau ini tidak mempunyai air yang cukup untuk hidup.
Rakyatnya pula ramai yang miskin, menganggur dan berkandilkan bulan, iaitu tidak punya rumah untuk menjadikan tempat tinggal.
Bahkan sistem pembuangan sampah dan najisnya juga tidak teratur.
Kandil ialah lampu, pelita atau kaki lilin.
Selain itu, sebagai sebuah pulau kecil yang dikelilingi jiran jauh lebih besar dan sering bermusuhan pada waktu itu, Singapura menghadapi ancaman luar.
Keupayaan pertahanan negara baru merdeka ini pula sangat terbatas.
“Kita mulakan dengan semua senjata zaman lama... Pihak British, Australia, New Zealand akan memberi kita senapang Perang Dunia Pertama, senapang Perang Dunia Kedua secara percuma, semuanya ketinggalan zaman,” kata mendiang Encik Lee dalam ucapannya itu.
Pendek kata, keadaan Singapura pada waktu itu bukan bagai bulan dipagar bintang, atau cocok segala-galanya, untuk ia merdeka.
Kemerdekaan, bagi pulau kecil ini pada waktu itu, bukan bagai bulan jatuh di riba, atau beruntung besar.
Namun, alhamdulillah, memberi kemerdekaan kepada pulau ini terbukti bukan ibarat memberi bunga kepada kera, atau memberi sesuatu kepada orang yang tidak tahu menggunakannya.
Selepas Singapura merdeka, langkah pertama yang diambil Encik Lee bersama rakan-rakannya dalam barisan pemimpin ‘Old Guard’ ialah menolak perkauman.
Perkauman, ujar beliau, ialah “nasionalisme yang diselindungi dengan nada emosi yang menarik minat satu bangsa, satu bahasa, satu agama”.
Beliau, sebaliknya, menegaskan: “Pertama, ini milik semua rakyat Singapura tanpa mengira bangsa, bahasa, agama.
“Kedua, apabila terdapat kemajuan, kita memastikan kemajuan itu diagih secara sama rata, tanpa mengira bangsa, bahasa, atau agama.”
Ia bak kata orang tua-tua, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Maksudnya, pembahagian yang sama rata; banyak sama-sama banyak, sedikit sama-sama sedikit.
Mereka juga tidak menentang dasar perkauman di negara-negara jiran dengan mengamalkan cauvinisme Cina di Singapura, walaupun ia boleh dilakukan dengan mudah kerana 75 peratus rakyat negara ini orang Cina.
Cauvinisme ialah rasa cinta keterlaluan pada sesuatu kaum, kumpulan, tujuan, tempat dan lain-lain.
Mereka ingin menjadi matahari.
Pujangga berkata matahari itu, gunung dan lembah sama diteranginya.
Maksudnya, pemerintah adil yang menjalankan hukuman (atau membuat keputusan) sama rata.
Berkat dasar asas itu, kebijaksanaan pemimpin di semua peringkat berserta kerja kuat, kerjasama dan pengorbanan rakyat, pulau kecil ini tidak terjatuh dihimpit janjang, atau berturut-turut mendapat kesusahan.
Janjang ialah tangga.
Sebaliknya, ia terbang tinggi.
Rakyatnya yang pelbagai kaum hidup dalam harmoni, aman dan damai.
Ekonominya berkembang dan negara makmur, walaupun sumber semula jadinya tetap tandus.
Namanya bau malaikat terhempas, iaitu harum sekali, di seluruh dunia.
Saban tahun Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaannya – Hari Kebangsaan – dengan megah lagi gah, termasuk pada kali ke-61, 9 Ogos lalu.
Ia meraikan kejayaan dan pencapaian Singapura, serta mengenang jasa Generasi Perintis yang besar baktinya dalam menyumbang kepada kisah kejayaan negara.
Ia juga bertujuan menyemai dan menyuburkan dalam diri generasi muda dan warga baharu, Semangat Singapura, yang diwariskan oleh generasi terdahulu, iaitu jati diri nasional yang berteraskan daya tahan, keharmonian berbilang kaum, serta sikap saling mengambil berat dan membantu satu sama lain apabila berdepan krisis.
Semangat itu dipapar juga dalam banyak peribahasa Melayu, seperti ke bukit sama didaki, ke laut sama direnangi; adat tiada bertukar, rahsia tidak berubah.
Maksudnya, persahabatan yang sangat karib, tidak dapat diceraikan.
Begitu juga, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, iaitu suka duka sama-sama ditanggung; dan bulat bagai air dalam pembuluh, yang bermaksud perpaduan kukuh atau keputusan yang dicapai dengan kata sepakat.
Tepat pula tema sambutan pada 2026 ini iaitu “Majulah Singapura, Terbang Lebih Tinggi!”.
Kata penganjurnya, ‘Majulah Singapura’ merakamkan ‘Semangat Singapura’ dan aspirasi berterusan kita untuk terus maju dan maju.
‘Terbang Lebih Tinggi!’ adalah seruan untuk bertindak bagi melakukan yang lebih baik untuk Singapura dan rakyat Singapura, serta mengambil berat dan prihatin terhadap satu sama lain serta terhadap masyarakat kita yang lebih luas.
Bagi warga baru Singapura, semangat penggubah lagu kebangsaan, Majulah Singapura, Allahyarham Zubir Said, yang berasal dari Bukit Tinggi, Minangkabau, Sumatera, harus dicontohi.
Dalam satu temu bual sejarah lisan pada 1984, beliau memetik sebuah peribahasa Minangkabau yang merumuskan falsafahnya ketika menggubah lagu kebangsaan Singapura itu:
“Dima bumi dipijak, disinan langik dijunjuang.”
Maksudnya, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Maknanya, hendaklah mengikuti dan menghormati adat, aturan dan kebiasaan di tempat kita tinggal.
