Topic followed successfully
Go to BHkuKisah tokoh Melayu dibawa lebih dekat kepada masyarakat
Kisah tokoh Melayu dibawa lebih dekat kepada masyarakat
Pameran bergerak diadakan di beberapa perpustakaan awam di seluruh negara
Kisah tokoh Melayu dibawa lebih dekat kepada masyarakat
Kisah dan sumbangan tokoh Melayu Singapura kini dibawa lebih dekat kepada masyarakat menerusi satu pameran bergerak yang singgah di beberapa perpustakaan awam di seluruh negara.
Pameran itu merupakan sebahagian daripada daya usaha Tokoh-Tokoh Melayu Singapura (PMoS), satu daya usaha oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) yang menghimpunkan maklumat mengenai tokoh Melayu dalam wadah digital yang mudah diakses.
Menurut Pustakawan Kanan Perancangan dan Pembangunan Koleksi NLB, Cik Nur Fitri Muhammad Syafran, pameran bergerak itu bertujuan meluaskan jangkauan projek, membawa kandungan PMoS terus kepada masyarakat.
“Kami sedar bukan semua orang tahu tentang PMoS, atau mungkin kurang selesa dengan teknologi.
“Jadi, melalui pameran bergerak ini, kami dapat menyampaikan maklumat tokoh-tokoh ini secara terus,” jelas beliau.
Sehingga kini, lebih 100 rencana mengenai tokoh Melayu Singapura telah dimuatkan di laman web PMoS.
Maklumat yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber seperti buku dan bahan rujukan lain itu disatukan dalam satu repositori digital.
Format dalam talian dipilih bagi memudahkan orang ramai mengakses maklumat tersebut di mana-mana jua, dan memudahkan perkongsian dengan khalayak lain.
Bagi pameran bergerak itu pula, lapan tokoh dipilih daripada senarai lebih 100 tokoh yang terdapat dalam laman PMoS.
Antara tokoh yang diketengahkan termasuk mantan Presiden Singapura Halimah Yacob; pencipta lagu kebangsaan Singapura Zubir Said; serta sasterawan Masuri S.N.
Turut dipaparkan adalah tokoh yang masih aktif seperti legenda bola sepak Fandi Ahmad; serta tokoh dalam bidang kewangan, Encik Bahren Shaari.
Menurut Cik Fitri, pemilihan tokoh dilakukan dengan bimbingan panel penasihat yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang.
“Kami melihat beberapa kriteria seperti pengaruh tokoh tersebut dalam bidang masing-masing, sumbangan mereka kepada masyarakat serta impak terhadap pembangunan Singapura,” katanya.
Beliau mengakui bahawa proses memilih lapan tokoh daripada senarai yang panjang bukanlah sesuatu mudah.
“Ramai tokoh wajar diketengahkan. Namun bagi fasa pertama ini, kami memilih mereka yang sumbangannya sangat jelas dan memberi kesan besar kepada masyarakat,” ujarnya.
Selain memaparkan kisah mereka, setiap panel pameran dilengkapi kod QR untuk memudahkan pengunjung membaca artikel penuh secara dalam talian.
Menurut Cik Fitri, sambutan orang ramai terhadap pameran dan laman PMoS amat menggalakkan.
“Kami melihat pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan bangsa mengunjungi pameran ini,” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman menarik: seorang warga emas bukan Melayu dilihat tekun membaca panel mengenai Puan Halimah dan memuji inisiatif tersebut.
Menurut Cik Fitri, projek itu berteraskan ‘pemerkasaan masyarakat’.
Justeru, NLB mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyumbang kepada projek itu.
Mereka boleh menambah maklumat tokoh sedia ada atau mencadangkan nama tokoh baharu untuk laman PMOS.
Orang ramai boleh menyuarakan minat dan cadangan mereka melalui pautan https://bh.sg/qsr9 atau borang maklum balas di laman web rasmi.
“Kami berharap lebih ramai anggota masyarakat dapat terlibat dalam projek ini supaya lebih banyak kisah dan sumbangan tokoh Melayu dapat didokumentasikan,” kata Cik Fitri.
Beliau menambah bahawa usaha tersebut juga dapat membantu generasi muda mengenali tokoh Melayu yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
“Kami mahu mereka melihat bahawa masyarakat Melayu juga telah membuat sumbangan besar kepada Singapura, dan mudah-mudahan ini dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya..

