Pujangga berkata, mengambil contoh kepada yang sudah, mengambil tuah kepada yang menang.
Maksudnya, melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah mencontohi teladan yang baik.
Para tokoh yang banyak menyumbang dan berbakti kepada nusa dan bangsa adalah suri teladan yang sangat elok dicontohi.
Mereka adalah suar untuk orang lain mengambil haluan, iaitu menentukan haluan, mengambil ibarat, iaitu mengambil sesuatu sebagai contoh dan mengambil ingatan, iaitu ingat dengan betul-betul.
Mereka tambun budi, yang bermaksud orang yang cerdik dan arif.
Di tengah-tengah masyarakat manusia, makhluk tidak maksum, iaitu tidak terpelihara atau bebas daripada dosa, mereka bak tampan sudah, langgam terbawa, yang bermaksud tiada cacatnya, segala-galanya baik.
Sebahagian tokoh menabur jasa kepada Singapura dan masyarakatnya walaupun negara ini bukan tanah leluhur, iaitu negara asal bagi pendatang asing, mereka.
Mereka banyak dan lama menyumbang kepada negara ini, bukan bak kata pepatah, tak panas punggung, iaitu sebentar sahaja.
Dalam kalangan tokoh negara ini, ada pula perintis, yang menjadi pembuka jalan dan boleh memberi semangat kepada orang yang takut mengikut jalan tak berentas, iaitu takut melakukan pekerjaan yang belum pernah dibuat orang.
Nah, maka itu projek ‘Tokoh-Tokoh Melayu Singapura’ atau Prominent Malays of Singapore (PMoS), yang menyediakan senarai serta maklumat mengenai tokoh Melayu Singapura daripada pelbagai bidang, amat baik dan datang tepat pada masanya.
Berbentuk maklumat yang dimuat naik ke dalam sebuah laman web khas dalam portal Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), ia dilancarkan pada 11 Oktober dan boleh dibaca dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.
Laman web itu mengabadikan kisah kehidupan dan sumbangan lebih 100 tokoh Melayu yang membentuk sejarah dan warisan negara ini sepanjang 60 tahun lalu, iaitu sejak kemerdekaan pada Ogos 1965.
Pada awal kemerdekaannya, Singapura menghadapi pelbagai cabaran kewujudan, seperti kekurangan sumber asli, pengangguran, kekurangan perumahan, ancaman keselamatan dalaman, termasuk ketegangan sosial dan kaum, serta luaran.
Namun, para tokoh daripada bidang politik ke ekonomi dan agama ke seni itu menyeberangi jambatan emas, iaitu berjuang untuk mencapai kebahagiaan bagi nusa dan bangsa, atau berjuang sesudah kemerdekaan diperoleh.
Mereka tak kuning oleh kunyit, tak putih oleh kapur, yang bermaksud tidak mudah dihasut (atau dipuji), oleh anasir dalaman, seperti komunis dan golongan bersikap perkauman, mahupun luar, misalnya negara-negara jiran lebih besar yang bersikap permusuhan.
Pepatah mengatakan patah tumbuh, hilang berganti, bermaksud terus menerus ada gantinya.
Lazimnya tokoh yang berpergi digantikan dengan tokoh yang lain.
Namun, ia tidak bermakna tokoh lalu harus dilupakan.
Lantas, projek ‘Tokoh-Tokoh Melayu Singapura’ adalah salah satu cara wajar untuk mengingati mereka.
Apatah lagi tidak selalunya apabila patah tumbuh nyiur itu, tumbuh nyiur juga akan gantinya, yang bermaksud ganti yang hilang itu mestilah yang sama pula.
Ada tokoh tiada tolok banding, iaitu tiada tandingan atau tiada gantinya.
Pemergian Allahyarham P. Ramlee, umpamanya, belum berganti hingga sekarang.
Namun, lambat-laun kebanyakan orang akan melupai jua tokoh lalu.
Tidak ramai dalam kalangan generasi sekarang, misalnya, tahu tentang peniaga dan dermawan Ambo Sooloh; pedagang dan pemaju hartanah daripada keluarga Alkaff; tokoh di balik Masjid Hajjah Fatimah (masih berdiri di Beach Road), Masjid Khadijah (Geylang Road), atau Masjid Aminah (sekarang tiada lagi, tetapi dahulu masjid ini sangat popular dan ia terletak di Jalan Labu, dekat Pasar Geylang Serai sekarang).
Jadi, usaha dan kemudahan seperti laman web PMoS boleh terus mengabadikan nama tokoh-tokoh silam dan semasa supaya tidak lenyap dalam lipatan sejarah.
Dan supaya tidak berlaku ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang yang bermaksud kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan.
Ia juga berguna untuk menanam perasaan bangga pada diri generasi sekarang dan hari muka bahawa leluhur, atau nenek moyang, mereka turut memainkan peranan dan menyumbang kepada kemajuan Singapura.
Selain itu, PMoS boleh diibaratkan taman pahlawan, iaitu makam atau kubur khas para pahlawan yang terkorban.
Bukan untuk diagung-agung, tetapi dikenang baktinya dan diteladani sumbangannya.
Tak kenal maka tak cinta bermaksud, apabila tahu, baru timbul suka.
Mudah-mudahan dengan adanya laman web itu, lebih ramai orang, terutama generasi muda dan bangsa lain (kerana ia tersedia dalam bahasa Inggeris juga), akan tertarik untuk membaca kisah para tokoh itu, mengagumi pengorbanan dan sumbangan mereka, lalu menanam dalam diri sendiri bibit-bibit tekad mengikut jejak langkah mereka hingga kemudiannya memutik semangat kuat untuk berbakti seperti suri contoh itu.
“
Mudah-mudahan dengan adanya laman web itu, lebih ramai orang, terutama generasi muda dan bangsa lain (kerana ia tersedia dalam bahasa Inggeris juga), akan tertarik untuk membaca kisah para tokoh itu, mengagumi pengorbanan dan sumbangan mereka, lalu menanam dalam diri sendiri bibit-bibit tekad mengikut jejak langkah mereka hingga kemudiannya memutik semangat kuat untuk berbakti seperti suri contoh itu.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg