Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuru cemerlang, pendidikan gemilang
Sejarah buktikan peranan guru langkaui penyampaian ilmu; mereka turut memimpin, mencorak pemikiran dan memajukan masyarakat
Guru cemerlang, pendidikan gemilang
Dalam setiap perkembangan dan pembangunan masyarakat, peranan guru sangatlah penting, malah ia menjadi salah satu penentu berjayanya sebuah sistem pendidikan, sekali gus kemajuan bangsa dan negara itu.
Struktur pendidikan kita yang teguh bukan sahaja melahirkan anak didik yang cemerlang, tetapi juga guru yang tahap profesionalismenya sangat cekap, bermotivasi tinggi, dan sedia mengambil peluang untuk menambah baik kecekapan mengajar dan penguasaan ilmu.
Tidak keterlaluan untuk disebut bahawa apabila guru dimuliakan, sesuatu bangsa itu akan berjaya.
Guru yang sebenar, menurut tokoh sastera dan penulis prolifik, Shahnon Ahmad, adalah “gedung ilmu, pemberi ilmu yang berkesan, model akhlak yang baik dan obor yang menyuluh jalan ke arah kesejahteraan”.
Ki Hadjar Dewantara, pemikir dan tokoh pendidikan Indonesia yang terkenal mengatakan, “Dengan ilmu, kita menuju kemuliaan.”
Pastinya, guru sebagai penyalur utama ilmu memikul peranan yang amat penting, namun jasa dan sumbangan mereka ada kalanya mudah dipandang sepi.
Sayangnya, tegas beliau, “Guru ialah seorang pejuang tulus tanpa tanda jasa, [tapi] mencerdaskan bangsa.”
Dalam sejarah pembangunan masyarakat Melayu, peranan utama guru tidak dapat dinafikan.
Golongan guru pernah menjadi kumpulan terbesar dalam gerakan nasionalisme Melayu dan menjadi kelompok paling besar dalam barisan inteligensia Melayu.
Golongan guru menjadi cerdik pandai utama dalam masyarakat Melayu, sebelum terwujudnya kelompok profesional seperti doktor, jurutera, peguam dan ahli akademik.
Bakti Guru, Dituntut Diseru
Sejak dari mula memasuki gerbang pemodenan, masyarakat Melayu memandang tugas dan peranan guru sebagai suatu amanah besar dalam mendidik anak bangsa.
Aspirasi masyarakat untuk membangun pendidikan bergantung pada kelompok guru yang memimpin dan mendidik.
Dalam ungkapan Melayu, diperingatkan tentang amanah menjadi guru yang wajib diperhatikan seperti berikut:
“Menjadi guru tidaklah mudah
Tunjuk dan ajar jangan menyalah
Bercakap dengan berlembut lidah
Mengajar dengan bermanis muka
Kepada murid bersikap ramah.”
Ia menambah:
“Kalau bekerja menjadi guru
Banyakkan bekal berupa ilmu
Apa diajar engkaulah tahu
Supaya hidup tak dapat malu
Menjadi guru bebannya berat
Bertanggungjawab dunia akhirat
Ajarkan ilmu yang bermanfaat
Jauhkan ilmu membawa sesat
Luruskan hati elokkan niat
Semoga engkau beroleh rahmat.”
Guru Bergerak dan Bertindak
Dalam sejarah nasionalisme Melayu, golongan guru Melayu memainkan peranan kepimpinan yang sangat penting, kerana mereka mempunyai pengamalan mengurus persatuan, selain mereka peka terhadap kondisi politik semasa.
Malah barisan kepimpinan awal Melayu selepas Perang Dunia Kedua, banyak diisi oleh golongan guru, yang masuk dalam ranah parti politik, ataupun dalam badan-badan sosial setempat.
Maka beberapa tokoh politik Melayu yang terawal memasuki politik adalah daripada kalangan guru.
Contohnya, di Malaysia, Allahyarhamha Zainon Munshi Sulaiman (atau dikenali sebagai Ibu Zain) dan Allahyarham Ghafar Baba, dan di Singapura pula, Allahyarham Harun Aminurrashid serta Encik Sidek Saniff.
Penulisan dan penerbitan oleh golongan guru sangat meluas pada dekad-dekad awal abad ke-20 contohnya, Majalah Guru yang diterbitkan dari 1924 hingga 1941.
Daripada isi majalah ini, dapat kita lihat pelbagai perbincangan yang menyeru dan mengkritik tentang peripentingnya kemajuan bangsa Melayu.
Antaranya ialah makalah berjudul ‘Kemajuan Pemuda-pemuda yang Akan Datang Tergantung di Atas Guru-guru Zaman Kini’ (1926) oleh seorang guru yang berinisial H.M.S.
Makalah singkat itu menyeru agar anak didik diperlengkap dengan berikut:
1. Penulisan surat-menyurat yang sempurna;
2. Memberanikan diri daripada perasaan takut terhadap hantu dan lain-lain;
3. Membuang tabiat malas dan pengotor;
4. Diajarkan adab dan kesantunan;
5. Diajarkan sikap saling berkasih-kasihan dan harmonis;
6. Membiasakan anak didik dengan berbahas dan bermesyuarat agar diasah akal fikiran dan keterbukaan;
7. Mendedahkan kekuatan dan kelemahan dalam pengalaman sejarah bangsa;
8. Membuangkan tabiat membazir.
Menariknya, inilah antara keutamaan yang mendapat perhatian guru-guru kita hampir 100 tahun yang lalu.
Hari ini sekiranya diminta para guru untuk membutirkan hal-hal yang harus diutamakan kepada anak didik, pasti panjang senarainya.
Banyak lagi makalah mempunyai hujah dan seruan sebegini yang jelas menandakan keprihatinan guru bukan sahaja mengenai soal pendidikan tetapi juga hal kemasyarakatan yang harus sama-sama ditangani.
Itulah sebabnya mereka giat menulis dalam pelbagai wadah penerbitan, kerana pada ketika itu, penulisan merupakan medium berkesan untuk menyebar ilmu dan maklumat.
Guru Bersatu Semangat Diaju
Shaharom Husain, seorang guru, penulis dan dramawan, pernah menulis sebuah makalah berjudul ‘Kewajipan Seorang Guru’, pada 1 September 1941 dan diterbitkan dalam majalah Idaman.
Beliau menulis:
“Guru ialah sebagai bapa atau ibu, kewajipannya mengasuh atau mendidik murid-muridnya ke medan kemajuan. Pelajaran-pelajaran yang diajarkan oleh guru kepada murid-muridnya ialah berkenaan dengan kira-mengira, baca-membaca, karang-mengarang dan lain-lain lagi… Selain itu… yang sangat-sangat mustahak yang tak patut kita guru-guru Melayu lupakan, iaitu tentang menanamkan kepada murid-murid semangat kebangsaan, termasuklah semangat sayangkan bangsa, tanah air, kerajaan dan raja…”
Guru-guru Melayu juga antara terawal yang bergabung padu dalam kesatuan agar terhimpun suara padu untuk mengedepankan kepentingan masyarakat Melayu.
Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) yang ditubuhkan pada 1926 adalah satu contoh yang baik.
Paling ketara, golongan guru telah tampil bukan sahaja dalam dunia pendidikan, malah mempamerkan kepimpinan dalam dunia persuratan dan kebudayaan.
Di Singapura, kita ada tokoh seperti Allahyarham Harun Aminurrashid, Mahmud Ahmad, Dr Muhammad Ariff Ahmad, Masuri S N, Suratman Markasan, Mohamed Latiff Mohamed dan ramai lagi.
Malah dalam peringkat awal kemerdekaan, banyak ahli politik Melayu daripada parti pemerintah, datang daripada golongan guru.
Sehingga hari, tidak kurang pula para guru yang masih tampil sebagai sukarelawan dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan di Singapura.
Guru Terabai, Pendidikan Tak Sampai
Masyarakat yang tidak menghormati gurunya, adalah masyarakat yang tidak menghargai ilmu.
Begitu juga pada tingkat peribadi.
Di banyak belahan dunia yang lain, apabila sistem pendidikan terabai dan rapuh, nasib para guru juga makin terpuruk.
Ada yang gajinya tidak tetap malah diberi dalam bentuk honorarium.
Ada pula ruang guru dalam bangunan sekolah tiada kelengkapan asas sama sekali, dan guru malah harus biaya sendiri untuk membeli kertas dan alat tulis, sebab tiada dana yang tersedia.
Sama parahnya, apabila pendidikan dan pelatihan guru tidak mendapat keutamaan.
Malah disebabkan perancangan yang tidak pernah selesai, guru pelatih terpaksa menunggu lama untuk ditempatkan di sekolah.
Inilah yang terjadi apabila prasarana pendidikan tidak mendapat keutamaan, sehinggalah kualiti pendidikan semakin meleset, dan dunia keguruan tidak dapat menarik golongan yang berilmu dan cekap.
Tantangan Guru Bukannya Satu
Dalam wacana literasi kritis, perbincangan tentang guru telah mendapat perhatian.
Kerja guru bukan kerjaya seperti dalam perkhidmatan awam yang tetap jadual kerjanya dari 8 pagi hingga 5 petang.
Guru juga berdepan dengan suasana ideologi semasa.
Dalam masyarakat tertentu yang terhimpit dengan laungan-laungan politik kanan atau ketuanan, guru pula menjadi sasaran pelampau.
Di negara-negara yang dilanda dengan keculasan ideologi ini, para guru malah dimusuhi, atau dicurigai kerana dianggap mengajar anak didiknya tentang demokrasi, hak asasi manusia, elitisme yang berkepentingan serta sistem pasaran bebas neoliberal yang dikatakan membelenggu masyarakat.
Kecurigaan kepada guru semakin menjadi-jadi apabila dana pendidikan disekat, malah ada sesetengah pelobi politik mengatakan pendidikan bukan tugas negara untuk mengurusnya.
Inilah kecenderungan ideologi yang membawa bencana kepada idea pendidikan.
Ini semua akan menjadikan kerjaya guru tidak menarik kepada generasi pelapis, sehingga tidak ramai pula yang mahu memasuki bidang perguruan sebagai kerjaya.
Dari sinilah semakin sukar untuk menyaring guru-guru yang berwibawa untuk berkhidmat dalam kerjaya ini.
Wacana kritis memandang hal tekanan kepada guru sebagai rintangan untuk para guru terlibat secara aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
Guru Bermutu, Masyarakat Maju
Di Singapura, kita bersyukur pendidikan menjadi keutamaan dalam pembangunan negara, dan sektor ini mendapat peruntukan tinggi dalam belanjawan negara.
Antara yang mendapat perhatian besar adalah pelatihan guru.
Terbinanya Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang terangkum di bawah Universiti Teknologi Nanyang (NTU) adalah contoh keseriusan membangun bidang keguruan, agar ia lebih tersusun dan terlatih, selain program Kementerian Pendidikan (MOE) yang mempelbagaikan jalur profesionalisme para guru.
Hari Guru yang kita sambut, bukan setakat untuk kita menghargai dan mengenang jasa bakti para guru.
Kita sebagai masyarakat harus sama memikirkan bagaimana golongan guru mendapat dukungan berterusan oleh masyarakat dan pemerintah.
Dengan jangkaan dan keperluan masyarakat semakin kompleks, tuntutan ke atas guru juga bertambah.
Guru yang terbeban dengan kerja pengurusan sekolah pasti tidak dapat memberi tumpuan terbaik untuk mengajar.
Juga dengan kegiatan padat di sekolah, mereka para guru, tidak ada masa pula untuk membaca, menulis dan mempertingkatkan diri menghadiri kursus, bengkel dan menyertai seminar serta forum.
Ruang kebebasan idea wajar diberikan kepada guru.
Ini boleh dilakukan dalam bentuk memberikan mereka keluangan masa untuk menulis, menyertai seminar dan menganggotai perkumpulan serta jaringan pendidikan.
Kebebasan ini bererti tanpa dibebankan dengan penetapan birokratik yang sangat berhati-hati dengan kegiatan guru di luar sekolah.
“Seorang guru yang baik,” menurut Pramoedya Ananta Toer, penulis dan novelis Indonesia, “membuka fikiran, menyentuh hati, dan membentuk masa depan.”
Golongan guru bukanlah kelompok yang monolitik.
Pastinya, dalam kalangan mereka terdapat pelbagai minat dan jalur pemikiran yang berbeza-beza.
Pada yang minat kepada sastera dan budaya, mereka wajar diberikan peluang dan galakan untuk mendalaminya.
Begitu juga yang minat pada sukan, kerja kebajikan dan alam persekitaran.
Guru yang bebas secara intelektual, adalah guru yang dapat berfikir secara mandiri, kritis dan kreatif.
Ia harus menjadi kelompok kreatif, selain para budayawan dan seniman.
Golongan guru, khasnya dalam masyarakat kita, maklum bahawa kerjaya guru bukanlah setakat profesionalisme, melainkan ia juga suatu pertanggungjawaban yang diletakkan pada tahap yang sangat tinggi oleh masyarakat, sekali gus menjadikannya satu amanah.
Wajarlah masyarakat meletakkan guru pada kedudukan yang tinggi dan mulia.
Malah, panggilan ‘Cikgu’ menjadi suatu bentuk penghormatan yang terus dibawa oleh seorang guru sepanjang hayatnya.
Untuk menjadi masyarakat yang maju gemilang, yang adabnya terbilang, yang adil saksamanya terpandang, golongan guru harus tampil dengan cemerlang.
Apabila kedudukan ini tercapai, maka guru itu benar-benar boleh dikirakan sebagai adi teladan untuk masyarakat. Begitulah yang diharapkan dalam ungkapan Melayu:
“Menjadi guru diteladani orang
Jangan bertingkah sebarang-barang
Lapang dada fikiran panjang
Jauhkan laku salah dan sumbang
Petuah diingat amanah dikenang
Adat dipakai lembaga disandang
Supaya maruah tidak terbuang
Budi ditanam tidakkan hilang
Menjadi guru pahalanya besar
Menunjukkan orang pada yang benar
Menjadi guru membawa berkat
Pahalanya kekal dunia akhirat.”
Itulah harapan, dan itulah juga doa yang kita panjatkan kepada guru-guru yang telah banyak menabur bakti mendidik dan memimpin anak bangsa kita.
Dengan tibanya Hari Guru yang jatuh pada tanggal 4 September, sama-samalah kita mengucapkan, Selamat Hari Guru, sang adi pendidik dan juru bakti yang budinya terus berada dalam kerahmatan Ilahi.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura.
