Allahyarham Tun Syed Nasir Syed Ismail (1921-1982), yang pernah dikalungkan sebagai ‘Pahlawan Bahasa’  merupakan seorang tokoh berwibawa. 

Gelaran pahlawan yang diberikan bukanlah yang jenis bergegas dengan penuh ghairah untuk masuk ke medan lawan,  sampai  yang lain gerun dan cemas. 

Beliau ialah seorang pemimpin yang tekun, berani dan bertekad tinggi. 

Sekiranya kita membaca riwayat kerjaya beliau, dapat kita mengesan bahawa Allahyarham Tun Syed Nasir memperlihatkan suatu kematangan sebagai pentadbir dan negarawan. 

Jawatan besar yang pertama beliau pegang adalah sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Sebelum itu beliau berkhidmat dalam Kerajaan Negeri Johor sebagai nazir untuk sekolah-sekolah Melayu.

Beliau bukan sahaja memimpin DBP, tetapi beliau diamanahkan untuk mengepalai pelbagai inisiatif Kerajaan Malaysia seperti Pengerusi Jawatankuasa Ejaan Malaysia-Indonesia, Jawatankuasa Musabaqah, Pengerusi Lembaga Padi dan Beras, dan banyak lagi. 

Allahyarham Tun Syed Nasir turut dilantik Yang di-Pertua Dewan Rakyat dari 1978 hingga 1982. 

Pernah dalam suatu ucapannya, Allahyarham Tun Syed Nasir melafazkan perasaannya dalam menggalas tugas memimpin DBP:

“Dalam dada saya timbul suatu perasaan sukacita yang meluap-luap gelisah dan menari-nari seperti cahaya bulan di permukaan tasik yang indah dan jernih. Tetapi dalam sanubari saya masih tersisip suatu perasaan laksana gumpulan awan gelap yang menyelubungi angkasa lepas, di hadapan pelayaran yang masih jauh dari tepi tanah. Demikianlah perasaan dan fikiran yang berlawanan dalam diri saya. Dari mula saya ditugaskan menjadi Pengarah Dewan ini, saya sudah mentafsirkan diri saya sebagai seorang nakhoda yang menjunjung amanah untuk melayarkan sebuah bahtera ke tengah lautan lebar menuju sebuah pulau cita-cita…”

Kepimpinan beliau, sebagai pengarah yang mengepalai sebuah agensi bahasa, memperlihatkan langkah juang yang tersusun, berhemah, malah memperlihatkan ciri kebangsawanan pemikirannya.

DBP Pancuran Bahasa dan Pustaka 

DBP ditubuhkan pada 1956. 

Pada mulanya, badan itu dikenali sebagai Balai Pustaka, sebelum berubah menjadi Balai Bahasa dan Pustaka pada 1957, hasil daripada usulan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang diadakan di Singapura dan Johor Bahru. 

Allahyarham Tun Syed Nasir diangkat menjadi Pengarah DBP pada 1957. 

Beliau menerajui DBP daripada Profesor Ungku Abdul Aziz Ungku Hamid, yang memegang jawatan tersebut selama setahun, sebelum diminta bertugas dalam dunia akademik. 

Allahyarham Tun Syed Nasir yang dilahirkan pada 1921 di Batu Pahat, Johor, tampil di era negara Malaysia yang baru merdeka, sedang menyusun dasar pendidikan, kebudayaan, pembangunan dan perpaduan. 

Beliau juga bukan jenis berpidato bergah-gah tetapi gerak kerjanya tidak bersudah. 

Sebaliknya beliau ialah pengarah yang berwibawa merencana, berhemah menyusun langkah, serta bijak mengatur kata.

Pengalaman beliau bertugas dalam kerajaan negeri Johor, mungkin telah memberi beliau lensa yang terbuka, yakni berdepan dengan realiti kemajmukan bangsa dan agama dalam negara.

Menerajui DBP bukanlah tugas yang mudah kerana jawatan tersebut sering dianggap sebagai ‘kerusi panas’. 

Kematangan pandangan beliau dalam bidang ilmu, politik dan pembangunan terserlah menerusi pendekatan yang berhemah, bagi memastikan dasar bahasa kebangsaan dapat diterima secara meluas dan dilaksanakan dengan berkesan.  

Penerimaan masyarakat terhadap dasar tersebut tentunya akan menjadi lebih kukuh sekiranya prasarana bahasa terus diperkuatkan, di samping para pemimpin menunjukkan teladan yang baik dengan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan perhubungan seharian.

Dengan pendekatan sedemikian, beliau tidak perlu bergantung pada retorik politik semata-mata untuk menegakkan dasar bahasa kebangsaan yang diyakininya, dan yang telah diamanahkan kepadanya untuk diperkukuh.

Daripada pelbagai ucapan dan penulisan beliau, dapat kita jejaki cara berfikir beliau yang rapi, mendalam, berhemah dan merangkul, agar khalayak sasarannya dapat menerima dan faham akan apa yang beliau ajukan. 

Cara pandangan beliau tentang peranan bahasa sangat meluas.

Beliau melihat pentingnya bahasa dimajukan dan dimaksimumkan penggunaannya dalam masyarakat. 

Bahasa hanya boleh hidup dan maju sekiranya digunakan kerap, betul dan benar-benar hidup dalam perasaan, pemikiran dan tindakan.

Menariknya, beliau malah tidak pernah melafazkan bahasa sebagai persoalan ‘jati diri’, ataupun apa yang dikenali kini sebagai identiti politik.

Sebaliknya, beliau melihat bahasa daripada dimensi yang mempermudah pentadbiran, pengukuh keilmuan, pemantapan perhubungan, pembingkai pendidikan, pencorak kebudayaan, pemicu ekonomi, pelafaz kesusasteraan dan pembimbing kepada generasi muda.

Buku  ‘Tun Syed Nasir : menghimbau jasa, menjunjung citra’ yang diterbitkan pada 2007 oleh Yayasan Warisan Johor untuk memperingati jasa Tun Syed Nasir sebagai seorang mantan ahli politik dan Pengarah DBP.
Buku ‘Tun Syed Nasir : menghimbau jasa, menjunjung citra’ yang diterbitkan pada 2007 oleh Yayasan Warisan Johor untuk memperingati jasa Tun Syed Nasir sebagai seorang mantan ahli politik dan Pengarah DBP. - Foto FACEBOOK PERSATUAN BANGSA JOHOR

Kerja Bahasa Amanah Bangsa

Memperjuangkan bahasa bagi Allahyarham Tun Syed Nasir adalah kerja dan amanah yang berterusan. 

Sesuatu bangsa tidak akan maju sekiranya bahasanya mundur dan tidak bermaruah. 

Kerja mendaulatkan bahasa adalah tugas setiap warga, bukan setakat terletak pada pundak DBP semata. 

Di saat Allahyarham Tun Syed Nasir berpegang kuat kepada pendirian tentang dasar bahasa kebangsaan, beliau berdepan dengan banyak kecaman dan kritikan, sehingga beliau dianggap sebagai cauvinis dan ekstremis. 

Allahyarham Tun Syed Nasir tetap teguh kepada amanah yang telah diberikan sebagai Pengarah DBP.

Beliau mencoretkan pendirian tegas ini: 

“Saya bukan menuntut supaya bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi kerana itu bahasa orang-orang Melayu. Saya bukan menuntut supaya bahasa yang lain daripada bahasa Melayu dihapuskan atau ditegah pemakaiannya oleh orang bukan Melayu… Saya hanya menjalankan tugas kebangsaan, yang paling liberal, paling demokrasi, iaitu menggesa dan menggalakkan rakyat bersama-sama melaksanakan pemakaian bahasa kebangsaan, bahasa mereka sendiri, bahasa yang diterima seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara.”

Beliau melihat perjuangan membangunkan bahasa terikat dengan upaya membangunkan bangsa. 

Ertinya ia bukan semata-mata soal perancangan birokrasi tetapi beliau meletakkan ini sebagai tanggungjawab semua.

Ia menuntut lebih daripada sekadar  keputusan politik, tetapi  juga kesedaran sosial, perancangan pemerintah, upaya keilmuan dan pendidikan. 

Para cerdik pandai dan pemimpin negara haruslah tampil memberikan teladan. 

Pada 1961, beliau pernah menegur sikap yang mendominan tentang penggunaan bahasa Melayu: 

“Tidak ada ertinya kalau bahasa kebangsaan yang akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal dan bahasa penyatuan semangat kebangsaan anak-anak kita itu, hanya dipakai di sekolah rendah dan menengah sahaja, manakala bakal-bakal pemimpin masyarakat kita yang dibentuk di universiti ini tidak ikut dibentuk melalui bahasa kebangsaan…”

Selepas Persekutuan Malaysia terbentuk pada 1963, penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi dan mahkamah tidak dipakai secara meluas. 

Pada ucapan beliau dalam Radio Malaya sempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada 1961, beliau menyeru: 

“Universiti ialah kemuncak sistem pelajaran kita. Tidak akan ada ertinya kalau bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi tunggal dan penyatuan semangat kebangsaan anak-anak kita itu hanya dipakai di sekolah rendah dan menengah, manakala bakal pemimpin masyarakat kita yang dibentuk di universiti tidak ikut  dibentuk melalui bahasa kebangsaan. Keadaan seperti itu akan memisahkan mereka daripada masyarakat, sedangkan segala hal mentadbir negara diserahkan ke dalam tangan mereka.”

Malah dalam mengusulkan bahasa Melayu sebagai pengantar di universiti, ia bukanlah bermakna menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sama sekali. 

Bahan bacaan dalam bahasa Inggeris masih boleh dipakai dan terus menjadi rujukan. 

Allahyarham Tun Syed Nasir menegaskan:

“Kita tidak pula akan menyingkirkan kepentingan bahasa Inggeris kerana tindakan seperti itu tidak wajar. Tidak ada dosanya kita mempelajari bahasa-bahasa antarabangsa, kalau tujuan kita adalah untuk mencari ilmu dengan menggunakan bahasa-bahasa itu sebagai alat.”

Inilah beban sejarah yang berpunca daripada dasar pemerintahan kolonial terdahulu. 

Bahasa Melayu dipandang sepi, dan penjajah tidak berminat membangunkan bahasa ini melangkaui peringkat sekolah rendah. 

Apabila Malaya merdeka pada 1957, menggerakkan sistem pentadbiran dan perundangan dalam bahasa Melayu menjadi masalah kerana mereka yang berkelulusan tinggi, dan menguasai bahasa Melayu, sangat sedikit jumlahnya.

Dalam kalangan yang berpendidikan Inggeris, ada yang tidak meyakini bahasa Melayu boleh menjadi bahasa untuk pengantar ilmu dan pentadbiran moden, mahupun ekonomi dan kesenian tinggi.

Namun mendabik cinta terhadap bahasa tidak mencukupi. 

Perancangan dan pelaksanaannya mesti dibuat. 

Kerja membangunkan bahasa adalah juga kerja membangunkan ilmu dan budaya. 

Membangunkan bahasa bukan dengan slogan, atau sekadar untuk maruah bangsa. 

Bagi Allahyarham Tun Syed Nasir ‘maruah’ bahasa itu yang sebenarnya “terletak pada kemajuan pemakaiannya, di peringkat rasmi, jabatan, pejabat-pejabat dan kementerian-kementerian…”

Sama pentingnya maruah ini menjamin terbentuknya semangat perpaduan, kerana bahasa kebangsaan itu, menurutnya: 

“gantang-gantang tempat perpaduan semangat, cita-cita dan tenaga bersama; sesuatu yang patut kita hormati dan kita hargai sebagai alat merapatkan perasaan dan tanggung jawab kebangsaan”.

Kesungguhan beliau dalam memajukan bahasa dan pustaka untuk Malaysia sudah termaklum.

Pada 1978, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Persuratan. 

Berbahasa Mendaulat Negara-Bangsa

Nada bahasa yang Allahyarham Tun Syed Nasir pakai adalah bahasa yang merangkul dan menyeru, bukan bahasa dengan nada mendabik, bersorak, menuding dan menyalahkan kelompok yang menentang pendiriannya. 

Semangat kebangsaan beliau dibandingkan dengan sikap cauvinis.

Beliau pernah dituduh sebagai ekstremis, cauvinis atau pemikiran yang berbaur perkauman, hanya kerana beliau memperjuangkan dasar bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ditegakkan dengan niat memperkuat perpaduan masyarakat bangsa yang berbilang kaum di Malaysia.

Namun ini bukan bererti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa kaum lain dilarang penggunaannya atau dipinggirkan. 

Setiap bahasa itu masih boleh terus dipakai, termasuk diajar di sekolah-sekolah. 

Malah, Kerajaan Malaysia memberi peruntukan yang lebih besar untuk sekolah aliran Cina dan Tamil jika dibandingkan sewaktu zaman kolonial.

Penulis dan Keintelektualannya

Allahyarham Tun Syed Nasir meletakkan tanggungjawab besar kepada penulis.

Sekadar pandai berbahasa dan kreatif mengolah belum tentu cukup menjadikan seorang penulis itu berjaya. 

Paling penting adalah isi dan gagasan pemikiran yang dibawa.

Beliau menyebut ini sebagai keintelektualan.

Menurut beliau:

“Kemajuan dan kematangan fahamannya tentang hidup manusia dan masyarakat melalui ilmu pengetahuan dan pemerhatian yang teliti. Keintelektualannya ialah kesanggupannya berkecimpung dalam arus ilmu pengetahuan yang benar, dan berfikir secara sungguh-sungguh tentang idea-idea baharu bagi kepentingan kemajuan hidup manusia.”

Tambah beliau, penulis yang baik dapat menyalurkan cara pandangan yang matang kepada khalayaknya.

Matang itu bermaksud berhemah dan berimbang. 

“Salah satu daripada peranan penulis ialah memimpin fikiran umum ke arah kematangan… Analisisnya harus berdasarkan pemerhatian teliti, mendalam, kritis dan berdasarkan ilmu pengetahuan yang benar.”

“Segala sifat keremajaan yang ada pada masyarakat kita mestilah dapat diatasi oleh penulis.

Ia mesti dinamis dan radikal, tetapi tidaklah mesti menyerang dan menghancurkan.

Ia juga mesti berani meruntuhkan yang lama, di samping membangunkan yang baharu.”

Para penulis memainkan peranan penting menegakkan keadilan dan kesejahteraan dalam masyarakat, dan mesti akur akan peri penting berobjektif dalam menilai sesuatu perkara atau peristiwa.

“Jika penulis menganut suatu fahaman politik, atau agama, atau falsafah tertentu, ia berhak membela kebenaran, tetapi ia tidak berhak menutup kecurangan atau ketidakjujuran segala manusia yang menganut fahaman yang sama dengan fahamannya. 

“Kalau ia seorang penganut agama Islam, ia masih berhak mendedahkan kecurangan seorang Islam kerana manusia walau apa fahaman atau agamanya, mungkin masih melakukan kesalahan dan kecurangan dalam hidupnya sama ada sedar atau tidak sedar.”  

Ini bererti penulis perlu mengelakkan sikap sepihak dan mempertahankan kepentingan kelompok sendiri betapapun jelas ia salah dan bercelaru.

Sesungguhnya tugas penulis itu sangat besar dan berat. 

Ia tidak boleh terlena atas nama mencari mimpi syurgawi atau asyik dengan berfirasat bahawa dialah empunya penawar segalanya. 

Penulis mesti memiliki ilmu pengetahuan yang membumi. 

Penulis, bagi Allahyarham Tun Syed Nasir, “pembentuk dan pemimpin zamannnya”. 

Ada yang menyebut penulis sebagai pelukis zamannya. Beliau menjelaskan: 

“Jika penulis itu pelukis zamannya, ia mestilah pelukis yang mengerti tentang manusia dan sistem hidup manusia zamannya, bukan pelukis yang hanyut oleh keindahan warna, atau oleh gelora dan rebut taufan. Kalau penulis itu propagandis zamannya, maka ia hendaklah berperanan sebagai pendorong cita-cita manusia pada zamannya, bukan pencatat kejadian dan pendapat umum semata-mata.”

Ini bermaksud berani mengedepankan kebenaran ertinya berdiri atas etika yang adil dan saksama. 

Apabila ada kepincangan atau hal korup yang berlaku dalam masyarakat tidak dibongkar atau dipermasalahkan, masyarakat akan turut sama menjadi korup. 

Inilah pendapat Allahyarham Tun Syed Nasir kerana bagi beliau, kalau ini semua tidak diketengahkan oleh penulis, maka yang rugi besar adalah masyarakat itu sendiri.

Ini akan terjadi sekiranya penulis tidak menguasai ilmu kemasyarakatan dan kemanusiaan. 

Mereka tidak akan dapat memainkan peranannya dengan sempurna. 

Seraya beliau menegaskan: “Pemerhatian yang teliti dan kritis itulah yang memberikan ilham dan menghidupkan imaginasi penulis.”

Karyanya akan hambar sekadar menjadi olahan cerita yang mungkin menarik, dan bahasanya mungkin meliuk-liuk, tetapi isi dan nilainya kontang lagi gersang. 

Para penulis mesti dapat menangkap segala bentuk rencam kehidupan, struktur dan sejarah yang telah mempengaruhi kehidupan. 

Tanpa pengetahuan ini, karya mereka hanyalah longgokan kata. 

Allahyarham Tun Syed Nasir mengingatkan: 

“Bagaimana sistem hidup yang dinamakan demokrasi ini sistem ekonominya, sistem sosialnya, sistem politiknya dan sistem pemikirannya, mempengaruh manusia anggota masyarakat kita yang mempunyai berbagai-bagai latar belakang itu.”

Pendek kata, para penulis wajar “mendisiplinkan dirinya dengan ilmu pengetahuan, tahu tentang etika penulisan dan tahu tentang hukum kemasyarakatan”.

Masyarakat yang sedang membangun, memerlukan kepimpinan keintelektualan dan kebudayaan agar jalan pembangunan tidak tersasar, lembap dan merugikan.

Sebagai seorang pendidik yang lama mengurus hal ehwal pendidikan, Allahyarham Tun Syed Nasir memberi keutamaan pentingnya kepemimpinan berfikir yang harus dipupuk dalam masyarakat. 

Cara berfikir yang terbelenggu, terlalu romantis hingga terpisah daripada kenyataan, serta tertutup dan hanya mengutamakan kelompok sendiri merupakan antara perkara yang menjadi keprihatinan Allahyarham Tun Syed Nasir.

Pernah ditegaskan beliau, kalau cara berfikir dalam kalangan pemimpin rosak dan celaru, pastinya juga ia akan melarat ke pemikiran rakyat.

Allahyarham Tun Syed Nasir ialah tokoh yang kuat pendiriannya bahawa bahasa boleh menjadi salah satu unsur yang boleh menguatkan perpaduan kebangsaan.

Bahasa pula adalah alat membangun ilmu, dan dengan itu memajukan bangsa. 

Beliau berdiri dengan idealisme bahawa pendidikan harus dituntut, dan kesempatan membangun diri dan ilmu harus dikaut.

Sebagaimana pantun yang pernah beliau lantunkan dengan nada orang berilmu, yang menyerunya tiadakan jemu: 

“Ke hutan sama berburu

Dapat kijang, rusa dan landak  

Orang melepah awak meringit

Ke sekolah sama berguru

Orang belajar awak tidak

 Akhirnya hujan berbalik ke langit.”

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.