Topic followed successfully
Go to BHkuGiat perjuang seni hadrah kompang asli
Giat perjuang seni hadrah kompang asli
Persatuan Hadrah dan Kompang Singapura kini punya pejabat baru di CC Kampong Ubi
Giat perjuang seni hadrah kompang asli
Memelihara keaslian seni hadrah dan kompang agar tidak pupus ditelan arus komersialisme merupakan visi utama Presiden Persatuan Hadrah dan Kompang Singapura (Pehaks), Encik Jamaluddin Idris.
Baginya, seni paluan tradisional itu bukan sekadar persembahan; ia adalah lambang jati diri budaya Melayu yang perlu dipertahankan dalam bentuk asalnya.
Dalam ekosistem seni yang kian merangkul unsur gabungan moden dan komersial, beliau menekankan peri pentingnya generasi muda menguasai asas dan struktur tradisi sebelum berinovasi.
“Tanpa memelihara tradisi, identiti seni budaya Melayu itu akan pupus ditelan zaman. Realiti kini jauh berbeza dengan dahulu,” katanya.
Visi itu perkukuh dengan pembukaan pejabat baharu Pehaks, di tingkat satu Balai Rakyat Kampong Ubi, pada 8 Februari lalu.
Ruang yang lebih luas dan selesa itu menjadi pemangkin utama bagi memperkukuh peranan persatuan itu sebagai pusat rujukan dan kegiatan seni hadrah kompang asli di Singapura, kata Encik Jamaluddin.
Pembaharuan kali ini ujar beliau, tepat pada masanya, memandangkan kerja naik taraf terakhir dilakukan sekitar awal 2000-an, demi memastikan kemudahan persatuan kekal relevan dan berfungsi dengan lebih berkesan.
“Ruang baharu itu bukan sekadar pembaikan fizikal, bahkan simbol kesinambungan perjuangan seni yang telah saya ceburi sejak 1978 dan terajui sebagai presiden sejak 2017,” katanya.
Dengan kemudahan yang lebih tersusun, Pehaks merancang menggiatkan bengkel hadrah dan kompang asli secara berkala, khususnya menyasarkan golongan belia.
Bengkel ini tidak hanya memberi tumpuan pada teknik paluan, bahkan merangkumi pemahaman tentang struktur rentak, disiplin persembahan serta sejarah perkembangan hadrah dan kompang di rantau ini.
Selain itu, pejabat itu akan menjadi lokasi latihan bersama kumpulan yang ingin meningkatkan kemahiran.
Tumpuan utama ialah membezakan paluan asas daripada rentak lebih rancak, termasuk pengenalan kepada variasi seperti kompang Melayu dan kompang Jawa, yang mempunyai corak dan bilangan rentak yang berbeza.
Beliau menegaskan bahawa persatuannya teguh memegang prinsip mengekalkan keaslian dalam persembahan rasmi, tanpa unsur gabungan moden yang berlebihan.
“Kami tidak menolak kreativiti. Tetapi untuk undangan rasmi, kami pertahankan keasliannya,” ujar beliau.
“Kita mahu generasi muda memahami paluan asas dan rentak tradisi terlebih dahulu. Apabila asasnya kukuh, barulah mereka boleh berinovasi tanpa mencacatkan identiti.”
Ruang baharu itu juga dirancang sebagai wadah perbincangan dan sesi perkongsian ilmu dengan penggiat berpengalaman, merangkumi garis panduan pengadilan pertandingan serta pemahaman tepat terhadap struktur permainan hadrah dan kompang.
Encik Jamaluddin yakin pejabat baharu itu berpotensi menjadi pusat rujukan bagi kumpulan yang memerlukan pandangan sebelum menyertai pertandingan atau menganjurkan acara besar.
Sebagai pertubuhan bukan berasas keuntungan, Pehaks bergantung kepada sumbangan anggotanya, dermawan dan hasil projek kerjasama bagi menampung kos operasi.
Pembaharuan pejabat itu tercapai selepas persatuan berjaya memenuhi sasaran penyertaan dalam projek kerjasama bersama Tao One Care (sebuah pertubuhan kebajikan masyarakat tempatan), sekali gus melayakkan mereka menerima tajaan bagi pembukaan pejabat tersebut.
“Kita bukan organisasi yang menerima dana tetap. Kadangkala, ahli jawatankuasa sendiri menyumbang demi memastikan persatuan terus bergerak,” tambah beliau.
Di samping itu, bagi Encik Jamaluddin, pejabat baharu turut berfungsi sebagai ruang membentuk pelapis kepimpinan dan tenaga pengajar muda.
Dengan sebahagian besar jawatankuasa terdiri daripada golongan belia, ruang tersebut akan dimanfaatkan untuk perbincangan pentadbiran, perancangan projek dan latihan kepimpinan agar kesinambungan persatuan terus terjamin.
“Saya tidak selamanya di sini. Ilmu yang ada saya turunkan kepada jawatankuasa muda supaya legasi seni hadrah kompang ini terus terpelihara.
“Persatuan ini bukan milik saya seorang, tetapi amanah daripada generasi terdahulu,” katanya.

