Topik diikuti
Pergi ke BHkuVisi kolej Islam S’pura: Berlandas ilmu, hayati hakikat semasa
Visi kolej Islam S’pura: Berlandas ilmu, hayati hakikat semasa
Penubuhan Kolej Pengajian Islam S’pura petanda anjakan paradigma dalam landskap pendidikan agama tempatan melalui bimbingan pakar antarabangsa
Visi kolej Islam S’pura: Berlandas ilmu, hayati hakikat semasa
Pada 27 Januari 2026, dalam simposium sulung Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), impian menubuhkan sebuah kolej Islam tempatan akhirnya menjadi kenyataan.
SCIS kali pertama dicadangkan pada 2016 oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Dr Yaacob Ibrahim. Ia dijadual menerima kohort pertamanya pada 2028.
Penubuhan SCIS mencerminkan perubahan besar dalam pendidikan Islam di Singapura.
Dari segi sejarah, para penuntut ilmu agama (asatizah) melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Islam Madinah di Arab Saudi, Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi; dan Universiti Yarmouk di Jordan, serta ke universiti serantau di Malaysia dan Indonesia.
Walaupun institusi tradisional ini masih penting, lulusan yang pulang sering menghadapi cabaran mengolah ilmu mereka dalam masyarakat Singapura yang majmuk, berteknologi tinggi, dan berbilang agama.
Oleh itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebelum ini, menyediakan program sijil tambahan bagi membantu mereka menyesuaikan dan menggunakan ilmu tersebut dalam konteks tempatan.
SCIS bertujuan merapatkan jurang ini pada peringkat asas dengan menyediakan laluan pendidikan tempatan yang diiktiraf di peringkat dunia.
Hasil utama SCIS adalah jelas: melahirkan generasi baharu guru dan pemimpin agama yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi serta memahami secara mendalam kehalusan masyarakat moden yang majmuk.
Fahami Kurikulum: Melangkaui Teks
Sering terdapat salah tanggapan kurikulum sebuah kolej Islam hanya tertumpu kepada hafazan Al-Quran secara berterusan atau penekanan tunggal terhadap bahasa Arab.
Walaupun teras teologi, iaitu pengajian mendalam Al-Quran dan sunah Nabi, penguasaan bahasa Arab, serta fiqah (perundangan Islam), merupakan asas utama pendidikan tinggi Islam, kurikulum SCIS melebihi itu.
Untuk benar-benar “celik terhadap hakikat semasa”, para pelajar perlu memahami bagaimana agama berperanan dalam dunia kontemporari.
Kurikulum yang sedang dibangunkan akan meneroka peranan Islam dalam masyarakat majmuk, serta membimbing pelajar memahami hubungan Islam dengan agama lain dan aturan masyarakat umum.
Ia juga akan menangani isu semasa yang sering dihadapi pemimpin agama dalam urusan mereka dengan masyarakat.
Hukum agama atau panduan keagamaan masa kini jarang wujud secara terpisah; ia bersilang dengan bidang sosiologi, sains, alam sekitar, kesihatan mental, hubungan keluarga, etika digital, dan keharmonian masyarakat.
Dengan menjelaskan nilai Islam dalam masyarakat secara lebih luas, SCIS memastikan lulusannya bukan sahaja ahli teologi, bahkan juga anggota masyarakat yang berfikiran terbuka.
Sinergi Kekuatan: Kerjasama dengan SUSS
Pengajian yang luas ini dapat dilaksanakan melalui kerjasama erat SCIS dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
SCIS akan menawarkan ijazahnya sendiri secara bebas bagi memastikan keutuhan teologi dalam modul keagamaan.
Bagi modul sains kemasyarakatan seperti kaunseling, kerja kemasyarakatan, atau psikologi, modul tersebut akan ditawarkan dan diiktiraf oleh SUSS.
Dengan kampus yang terletak bersebelahan SUSS, SCIS menggabungkan pengajian agama dengan disiplin sains kemasyarakatan, membentuk pendekatan pengajaran yang menekankan “keadaan semasa, merentas bidang, dan penyelidikan terapan”.
Melalui kerjasama ini, SCIS memastikan pelajarnya didedahkan kepada bidang-bidang penting.
SUSS menyumbang kepakaran dalam sains kemasyarakatan, manakala SCIS memastikan kurikulum akademik berakar pada kesarjanaan Islam yang kukuh.
Pertemuan dua bidang ini memastikan pemimpin agama masa depan memiliki keupayaan ilmu yang pelbagai untuk menangani cabaran moden dalam masyarakat.
Kampus Bersejarah dan Bersepadu
SCIS akan terletak di kawasan Rochor, sebuah kawasan yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya.
Kawasan ini mudah dikunjungi dan merupakan nadi warisan Melayu/Islam Singapura, berhampiran mercu tanda seperti Masjid Sultan, Masjid Malabar, dan Taman Warisan Melayu (TWM).
Gabungan kampus SCIS ke dalam ruang awam, seiring tapak baharu SUSS, merupakan satu pendekatan kreatif dalam perancangan bandar dan pembinaan sosial.
Dengan berkongsi kemudahan dan kedudukannya yang berhampiran, pelajar daripada pelbagai latar agama dan bidang pengajian, serta persekitaran kampus yang terbuka ini mewujudkan pengalaman sebenar yang tidak diperolehi melalui buku teks.
Ia membantu bakal pemimpin agama berasa selesa dan yakin dalam masyarakat Singapura yang pelbagai.
Manfaat Kepakaran Nasional dan Antarabangsa
Seiring pendekatan pendidikan yang menyeluruh, usaha membangunkan institusi bertaraf dunia jelas terlihat melalui pelantikan kepimpinan SCIS yang beragam.
Susunan tadbir urus tiga pihak terdiri daripada Panel Penasihat, Lembaga Pengelola, dan Jawatankuasa Pemandu.
Lembaga Pengelola akan dipengerusikan mantan Menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, dan turut dianggotai pemimpin masyarakat yang dihormati seperti Cik Zuraidah Abdullah dan Cik Kohe Hasan.
Jawatankuasa Pemandu pula diketuai Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang memberi tumpuan kepada pembangunan akademik dan operasi.
Jawatankuasa ini turut memanfaatkan kepakaran dalam kajian antara agama, termasuk Profesor Paul Hedges dan Ustaz Dr Mohamed Ali dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), bagi menyediakan asas kesarjanaan bagi membimbing lulusan mengemudi kepimpinan agama dalam masyarakat majmuk Singapura.
Penubuhan sebuah kolej bertaraf universiti memerlukan kepakaran dalam reka bentuk kurikulum, jaminan mutu, pentadbiran universiti, tadbir urus, serta pendekatan merentas bidang.
Bagi mencapai matlamat ini, SCIS telah menghimpunkan kepakaran terbaik, termasuk tokoh Muslim terkemuka serta ahli akademik seperti Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Lily Kong; Presiden SUSS, Profesor Tan Tai Yong; dan Provos SUSS, Profesor Robbie Goh.
Peranan mereka di SCIS bukan untuk mengajar teologi, tetapi untuk membimbing pembangunan institusi pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia, serta memastikan ijazah yang dianugerahkan memenuhi piawaian nasional dan antarabangsa.
Ajaran asas dalam ilmu agama Islam kekal di bawah amanah asatizah dan ulama Singapura, sebagaimana ditegaskan Dr Nazirudin dalam laporan Berita Harian.
Seperti fatwa, irsyad (panduan agama), dan khutbah, teras teologi ini terus berada di bawah tanggungjawab kepimpinan agama Islam tempatan.
SCIS juga akan mempunyai Panel Penasihat antarabangsa yang terdiri daripada tokoh terkemuka seperti Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad, dan Profesor Mona Siddiqui dari Universiti Edinburgh.
Kesimpulan
SCIS merupakan satu usaha berpandangan jauh. Ia menggabungkan teologi Islam dengan tuntutan semasa sebuah negara moden yang majmuk.
Kerjasama erat dengan SUSS serta penglibatan ahli teologi, pakar sains kemasyarakatan, dan ahli akademik menjadi asas kekuatannya.
Identiti Muslim Singapura yang tersendiri, yang lahir daripada SCIS, akan berteraskan kerjasama dan inovasi.
Usaha ini menyumbang kepada pembentukan pemimpin yang berilmu dalam teks dan memahami keadaan semasa, sekali gus mengukuhkan sebuah masyarakat moden, majmuk, dan bersatu.
Penulis ialah Ketua Pengajian di Program Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU)
“
Gabungan kampus SCIS (Kolej Pengajian Islam Singapura) ke dalam ruang awam, seiring tapak baharu SUSS (Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura), merupakan satu pendekatan kreatif dalam perancangan bandar dan pembinaan sosial. Dengan berkongsi kemudahan dan kedudukannya yang berhampiran, pelajar daripada pelbagai latar agama dan bidang pengajian, serta persekitaran kampus yang terbuka ini mewujudkan pengalaman sebenar yang tidak diperolehi melalui buku teks. Ia bakal membantu bakal pemimpin agama berasa selesa dan yakin dalam masyarakat Singapura yang pelbagai.”
