Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Susahnya nak penuhi azam Tahun Baru…

Dec 7, 2025 | 5:30 AM
tahun baru 2026
Jika ingin senaraikan azam sempena Tahun Baru 2026, pastikan azam itu realistik dan tidak di luar kemampuan untuk dicapai, dan adakan rancangan untuk memastikan azam itu dapat menjadi nyata. - Foto PIXABAY

Setiap kali tahun baru menjelang, setiap kali itu jugalah saya dengan penuh semangat akan mencatit azam Tahun Baru dalam buku nota saya.

Tahun demi tahun, azam yang disenaraikan agak sama bunyinya – nak kumpul duit simpanan dengan sasaran sekian dolar menjelang hujung tahun, ingin turunkan berat badan hingga capai sekian kilogram, ingin melancong di negara itu ini pada tahun ini, mahu cuba kemahiran/kegiatan/hobi baru setiap tiga bulan, nak kurangkan masa skrin sebanyak sekian jam dan sebagainya.

Namun malangnya, amat mencabar untuk saya memenuhi sebahagian besar azam Tahun Baru yang dicatatkan setiap tahun.

Ada sahaja alasan di sebalik kenapa saya gagal memenuhi azam tersebut, tetapi sebab utama biasanya adalah tidak ada masa dan rasa malas.

Mana nak cari masa bersenam untuk turunkan berat badan kalau asyik sibuk bekerja?

Bagaimana pula nak cuba kegiatan atau hobi baru apabila saya sudah penat bekerja dan hanya ingin berehat pada hujung minggu?

Saya bukan seorang diri dalam ‘kegagalan’ ini.

Menurut satu tinjauan Forbes Health pada 2023, kebanyakan orang putus asa dalam memenuhi azam mereka hanya selepas kurang empat bulan.

Kurang seorang dalam 10 atau 8 peratus orang menyatakan azam mereka hanya bertahan selama sebulan, 21.9 peratus melaporkan dua bulan, 22.2 peratus melaporkan tiga bulan dan 13.1 peratus pula menyatakan empat bulan.

Hanya 1 peratus responden berkata azam mereka dapat diteruskan selama 11 atau 12 peratus.

Sempena Tahun Baru 2026 yang bakal menjelma tidak lama lagi, saya ambil peluang untuk membuat renungan tentang mengapakah sukar bagi saya mencapai azam yang telah ditetapkan.

Bila difikir-fikirkan, saya dapati ada dua sebab utama – azam yang ingin dikecapi tidak realistik, atau saya tiada motivasi untuk bertindak bagi mencapai azam yang ditetapkan.

Kadangkala, azam yang kita ingin capai itu mungkin di luar kemampuan kita.

Contohnya, ‘saya ingin turunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam setahun’.

Ia sesuatu yang tentu sekali boleh dicapai, namun hanya jika anda benar-benar memberi tumpuan 100 peratus dan mendedikasikan masa, usaha dan tenaga sepenuhnya untuk menjadi lebih langsing.

Bagi saya, azam nak turunkan berat badan ini tahun demi tahun tidak pernah tercapai kerana angka berat badan yang diidam-idamkan tidak realistik.

Tidak mungkin dalam usia 30-an tahun hari ini saya boleh turun kembali kepada berat badan semasa saya 18 tahun dahulu dalam masa setahun.

Lebih-lebih lagi, yang saya ada hanya azam untuk turunkan berat badan tetapi tiada rancangan bagaimana untuk melakukannya.

Oleh itu, kali ini, azam saya diubah sedikit – untuk mencapai angka berat badan yang lebih realistik dan boleh dilakukan mengikut kemampuan saya, dan yang penting, untuk melakarkan rancangan dari segi senaman dan diet pemakanan bagi mencapai berat badan yang ideal.

Tetapi sekali lagi, rancangan itu juga perlu ‘masuk akal’.

Janganlah dari makan nasi dan lauk seperti biasa setiap hari, terus kita hanya makan sayur-sayuran dan buah-buahan sahaja.

Yang kedua adalah soal motivasi.

Idea ingin mencuba hobi atau kegiatan baru memang seronok, tetapi kalau dilakukan seorang diri sahaja, keghairahan yang ada pada mulanya boleh bertukar menjadi rasa bosan.

Bagi sesetengah orang, mungkin mereka malu untuk masuk kelas baru seorang diri atau mereka perlukan seorang rakan di samping mereka.

Dalam hal ini, saya telah menemui huraian sendiri – saya ajak pasangan saya untuk lakukan kegiatan bersama (nasib baik pasangan saya setuju dan juga suka lakukan kegiatan baru).

Misalnya, saya berazam melakukan kegiatan senaman setiap hujung minggu supaya dapat hidup lebih aktif dan sihat.

Mujur, saya dan suami sama-sama beri motivasi kepada satu sama lain, dan kini, hampir setiap hujung minggu, kami berbasikal bersama di Taman East Coast sambil menikmati pemandangan laut.

Jika ingin menyenaraikan azam baru sempena Tahun Baru ini, pastikan azam itu adalah munasabah dan tidak di luar kemampuan anda, lakarkan juga rancangan supaya jelas caranya untuk mencapai azam itu, dan yang paling penting – berseronoklah dalam usaha untuk mencapai matlamat anda.

Laporan berkaitan
Hargai ibu bapa sebelum terlewatNov 30, 2025 | 5:30 AM
Cari keseimbangan hidup, bekerjaNov 16, 2025 | 5:30 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg