Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perlu pertimbang adakan pusat latihan sehenti pembantu rumah
S’pura perlu pertimbang adakan pusat latihan sehenti pembantu rumah
Satu tempat khusus tawar pelbagai kursus seperti latihan jaga anak, warga emas, memasak, peningkatan diri, urus pentadbiran, malah klinik dan khidmat kedutaan
S’pura perlu pertimbang adakan pusat latihan sehenti pembantu rumah
Mahu pembantu rumah yang pandai masak? Ada kelas yang boleh mereka ikuti di sini.
Mahu pembantu rumah yang arif mengurus keperluan warga emas?
Terdapat beberapa pertubuhan yang dapat membimbing mereka.
Jika pembantu mahu mengasah kemahiran mengikuti kelas komputer, belajar mendandan rambut, menjahit baju, dalam usaha peribadi meningkatkan diri pada hari mereka bercuti, semua itu juga ada.
Semua usaha itu memang amat dialu-alu dan wajar dipuji.
Tetapi di manakah ia? Jawapan ringkasnya, semua itu ada di mana-mana.
Sebagai contoh, terdapat Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Migrasi (Home), sebuah badan bukan pemerintah yang menyediakan perkhidmatan dan menyokong pekerja migran.
Akademi Home diasaskan pada 2010 untuk menawarkan latihan vokasional dan meningkatkan kemahiran pembantu rumah migran.
Berdasarkan laman web, ia beroperasi di Peninsula Plaza, dan menawarkan kelas membuat kuih, menjahit, bahasa Inggeris, komputer, mendandan rambut, menjaga pesakit kronik, warga emas dan sebagainya.
Di Aidha pula, ia memberi tumpuan memperkasa dan menyediakan peluang kepada pembantu rumah migran mengubah kehidupan mereka dengan menjadi lebih mahir dan celik wang.
Terdapat pula Persatuan Pembantu Rumah Migran untuk Latihan dan Sokongan Sosial – FAST yang memberi nasihat berhubung hak dan tanggungjawab serta keprihatinan dan isu peribadi pembantu rumah.
Ini hanya segelintir sahaja daripada pelbagai khidmat yang ditawarkan khusus untuk pembantu di luar sana.
Seperti ramai teman yang mendapatkan khidmat pembantu rumah, bingung juga kami dibuatnya.
Seorang teman yang mengakui tidak pandai masak, mahu menghantar pembantunya mengikuti kelas memasak – khususnya dalam pemakanan sihat buat keluarganya.
Bagi saya pula, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), menawarkan sesi pembelajaran di rumah bagi menjaga warga emas.
Sebagai ibu dua anak yang bekerja sepenuh masa, sepanjang hampir tiga dekad saya perlu bergantung kepada khidmat pembantu rumah – individu dari luar negara yang menetap bersama kami sekeluarga.
Mei – yang bertepatan dengan Hari Pekerja – mengingatkan saya tentang tarikh saya mula mendapatkan khidmat pembantu rumah susulan kelahiran anak sulung 28 tahun lalu.
Apabila anak-anak meningkat remaja dan lebih berdikari, buat beberapa tahun saya memutuskan untuk mengurus segalanya sendiri.
Tetapi apabila ibu mula keluar masuk hospital dan memerlukan perhatian, saya terpaksa mengulangi kitaran mencari pembantu di agensi sekali lagi.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai ragam pembantu rumah telah kami saksikan.
Jika dulu pembantu menjaga anak sejak bayi, kini saya perlukan pembantu buat menjaga ibu yang uzur.
Berdasarkan pengalaman lalu, saya tahu saya perlu mengurangkan jangkaan tentang keupayaan pembantu.
Jika mereka kata mereka punya pengalaman menjaga anak, ia tidak semestinya anak majikan. Ia mungkin anak sendiri.
Begitu juga dengan penjagaan warga emas. Yang ‘dijaga’ mungkin datuk atau nenek mereka yang kebetulan tinggal bersama.
Seandainya calon pembantu rumah mendakwa mereka boleh memasak pelbagai hidangan, usah terlalu berharap kerana apa yang disiapkan mungkin belum tentu memenuhi cita rasa orang di sini.
Memang saya belajar untuk tidak berharap tentang kecekapan pembantu rumah, namun, saya tetap punya harapan.
Setelah sekian lama sejak Singapura mula membenarkan pembantu rumah luar negara bertugas di sini – sekitar 1970-an – adalah menjadi harapan adanya pusat sehenti khusus buat mereka.
Pusat sehenti itu boleh menghimpunkan organisasi yang mungkin menawarkan pelbagai khidmat buat pembantu rumah di bawah satu bumbung.
Ia memudahkan majikan dan juga pembantu.
Dengan adanya pusat sehenti, pembantu boleh belajar pelbagai kemahiran – daripada menjaga bayi, mengukur tekanan darah warga emas, memasak makanan sihat, serta mengurus kewangan.
Dalam masa yang sama, mereka juga boleh membuat pemeriksaan kesihatan rutin yang diwajibkan pihak kementerian, dapat temui kaunselor jika rasa tertekan, di samping mengurus dokumen kedutaan.
Bagi pihak majikan, jika pembantu menjalani latihan dan melalui ujian bagi mengukur tahap kecekapan, sijil boleh dikeluarkan bagi menunjukkan tahap kemahiran pembantu itu.
Pusat sehenti atau akademi itu boleh menjadi pendekatan yang saling menguntungkan bagi kedua-dua pihak iaitu pembantu dan majikan.
Jika sijil dikeluarkan mengikut gred yang bersesuaian dengan tahap pencapaian, ia dapat mendorong pembantu agar belajar lebih gigih berusaha apatah lagi jika disertai kenaikan gaji.
Bagi pihak majikan pula, ia boleh memastikan pembantu itu benar-benar layak mengurus rumah dan anggota keluarga – bukan hanya sesi beberapa jam sejurus sahaja tiba di Singapura.
Bukan setakat mengikuti kursus untuk memenuhi tuntutan majikan, pusat sehenti itu juga menjadi tempat bagi pembantu meningkatkan diri seiring visi yang mereka bayangkan di kampung halaman sejurus selepas tamat tugas di Singapura kelak.
Persoalannya, siapakah yang wajar mengendalikan pusat sehenti itu?
Tidak dinafikan ia bukan sesuatu yang mudah kerana bakal mengaitkan banyak pihak – mungkin pemerintah, organisasi, majikan dan pembantu.
Setiap di antara mereka mempunyai peranan khusus untuk menjayakan usaha itu.
Melabur dalam latihan pembantu memang membawa banyak manfaat.
Ia termasuk meningkatkan daya penghasilan. Pembantu yang terlatih dapat menguruskan tugas rumah tangga dengan lebih cekap.
Dengan kemahiran bahasa dan pemahaman budaya pula, ia dapat membawa kepada komunikasi yang lebih baik dan persekitaran keluarga yang lebih harmoni.
Dalam masa yang sama, peluang latihan dan pembangunan dapat meningkatkan keyakinan dan kepuasan kerja pembantu rumah.
Apabila pembantu mengikuti kursus penjagaan, ia dapat melengkapi mereka dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menjaga anggota keluarga yang disayang.
Mungkin mereka juga berasa peningkatan diri itu menyebabkan mereka rasa lebih dihargai.
Setiap Ahad kita menyaksikan pembantu rumah seakan ‘berkampung’ di kawasan Paya Lebar dan Geylang yang dibanjiri pembantu rumah dari Indonesia.
Itulah golongan yang menjaga anak kita, mengurus ibu bapa kita yang uzur, memastikan rumah kita bersih dan makanan terhidang di atas meja.
Menurut perangkaan, terdapat sekitar 316,900 pembantu rumah migran di Singapura.
Tapi apabila giliran mereka ‘menjaga diri’ – belajar bahasa, mengurus wang, meningkatkan kemahiran – laluannya agak berliku.
Mungkin kita dapat sama-sama membantu mempersiapkan mereka untuk hari muka meskipun khidmat mereka di sini sekadar beberapa tahun sahaja.
Dalam kita meraih manfaat daripada khidmat mereka, biarlah mereka turut meningkatkan diri demi ekonomi keluarga di kampung halaman.
