Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semoga rasa ihsan nyala lebih lama dari bunga api

Jan 4, 2026 | 5:30 AM
 gereja, Charis Tabernacle, HM Gaza Relief Packing Countdown with Compassion’, humanity matters
Sekitar 150 sukarelawan berkumpul di gereja, Charis Tabernacle, di Tanjong Katong Road, pada 31 Disember untuk membungkus bekalan bantuan untuk dihantar ke Gaza bagi mangsa konflik di sana. Acara yang dikenali sebagai, ‘HM Gaza Relief Packing Countdown with Compassion’ itu menghimpunkan anak muda Singapura daripada organisasi agama, sekolah dan badan korporat untuk membantu Humanity Matters membungkus 18 tan bekalan bantuan, bernilai $204,000. - Foto ST

Tatkala ramai sibuk bersiap-siap untuk berpesta bagi merai kedatangan tahun baru 2026, sekumpulan anak muda dan individu dewasa daripada pelbagai organisasi agama, sekolah dan badan korporat berkumpul di sebuah gereja yang terletak di Tanjong Katong Road pada 31 Disember 2025.

Berbekal tenaga muda yang ada, sekitar 150 sukarelawan menyingsing lengan untuk membantu membungkus bekalan bantuan bagi memenuhi keperluan mangsa perang di Gaza yang kelaparan, memerlukan jagaan kesihatan, kebersihan dan sebagainya.

Daya usaha oleh pertubuhan kemanusiaan, Humanity Matters (HM), merupakan bukti kuasa belas ihsan secara berkelompok tanpa mengira latar belakang, usia, bangsa dan agama.

Setiap di antara mereka yang hadir pasti mempunyai pendapat tersendiri berhubung kemelut yang sedang melanda dunia khususnya pertikaian melibatkan Israel dan Palestin.

Namun, pada dasarnya nilai kemanusiaan besar kemungkinan menjadi pendorong utama.

Meskipun 2025 yang ditinggalkan merupakan tahun sarat dengan pelbagai krisis, melihat individu mengetepikan perbezaan demi membantu golongan memerlukan adalah sesuatu yang wajar mendapat perhatian.

Apatah lagi jika ia dilakukan secara berkumpulan.

Ibarat ungkapan, ‘satu percikan berupaya menyalakan api’.

Percikan api itulah semangat warga Singapura untuk membantu dengan harapan ia dapat mencetuskan gelombang harapan di Gaza meskipun kedua-dua pihak terletak beribu batu jauhnya antara satu sama lain.

Acara malam tahun baru itu menyaksikan sebanyak 18 tan bernilai $204,000 barangan dibungkus.

Diberi nama, ‘HM Gaza Relief Packing – Countdown with Compassion’, ia bukanlah usaha pertama. 

Malah, ia merupakan edisi kelima acara membungkus bantuan kemanusiaan bagi Gaza diadakan.

Acara itu lebih daripada sekadar usaha bantuan. Ia adalah pernyataan bahawa kemanusiaan itu penting, tanpa mengira kepercayaan, bangsa, atau kewarganegaraan.

Ketika dunia menghitung detik menjelang 2026, mereka membuat pilihan untuk mengutamakan rasa belas kasihan dan kebaikan, memilih menjadi cahaya dalam kegelapan bagi golongan memerlukan.

Seperti kata tokoh kemerdekaan India, mendiang Mahatma Gandhi: “Cara terbaik untuk mencari diri sendiri adalah dengan melupakan diri sendiri dalam menawarkan khidmat kepada orang lain.”

Dengan sama-sama berbuat demikian, kita akan menemukan erti kemanusiaan yang dikongsi sama – ibarat jika salah satu anggota tubuh sakit, maka seluruh tubuh akan turut sakit.

Krisis terkini di Gaza yang tercetus sejak serangan pada 7 Oktober 2023 telah menyaksikan bantuan datang mencurah dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, ekoran keadaan pertelagahan yang sengit, sebahagian bantuan tersebut tidak dapat sampai kepada kumpulan sasaran sekali gus memperburuk kebajikan mangsa perang.

Dengan adanya perjanjian dan gencatan senjata – meskipun disifatkan sebagai rapuh – sekurang-kurangnya keadaan itu lebih baik daripada sebelumnya.

Semoga keadaan di lapangan tidak menjejas semangat dunia dan warga Singapura untuk terus menghulur bantuan meskipun laluan membawanya ke sana mencabar.

Semoga kita juga tidak berhadapan dengan fenomena keletihan penderma atau donor fatigue iaitu keadaan apabila pendedahan berpanjangan kepada krisis menyebabkan kita kurang bersedia untuk berderma meskipun bagi tujuan kemanusiaan.

Ini kerana keletihan penderma merupakan kebimbangan ketara memandangkan konflik Gaza telah berlarutan sejak sekian lama dan sekali gus menjejas pembiayaan dan sokongan.

Biarlah semangat untuk membantu itu terus marak menyala dan tidak bersifat sementara ibarat percikan bunga api di tahun baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg