Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semai tabiat digital sihat demi atasi ‘brainrot’ anak muda

Dec 28, 2025 | 5:00 AM
Kandungan ‘brainrot’, iaitu istilah yang merujuk kepada kemerosotan kognitif dan keletihan mental disebabkan oleh pendedahan berlebihan kepada kandungan Internet kurang bermutu, biasanya dipaparkan di platform seperti TikTok dan YouTube.
Kandungan ‘brainrot’, iaitu istilah yang merujuk kepada kemerosotan kognitif dan keletihan mental disebabkan oleh pendedahan berlebihan kepada kandungan Internet kurang bermutu, biasanya dipaparkan di platform seperti TikTok dan YouTube. - Foto AFP

Bayangkan satu karikatur, berkepala cawan dan bertubuh manusia, melontarkan kata-kata yang sama sekali tidak masuk akal.

Inilah ‘Ballerina Cappuccina’, watak yang dijana sepenuhnya melalui kecerdasan buatan (AI), kini tular dalam video di wadah media sosial.

Ditambah pula dengan perkataan seperti ‘rizz’ dan ‘skibidi’, yang sengaja dicipta, kepala ini benar-benar buntu dan hairan.

Lantas, terlintas di benak: “Apakah ini? Mengapa karikatur animasi ini nampak pelik? Apa sebenarnya maksud perkataan ini?”

Anda tidak keseorangan jika soalan itu turut bermain di fikiran.

Apa yang membimbangkan, mereka yang menonton dan menggunakan istilah sebegini lazimnya adalah golongan muda – khususnya mereka berusia 12 tahun ke bawah.

Jika dibiarkan menjadi tabiat harian, ia berpotensi menjejas pembangunan minda anak-anak ini.

Fenomena ini dikenali sebagai ‘brainrot’, istilah yang merujuk kepada kemerosotan kognitif dan keletihan mental akibat pendedahan berlebihan kepada kandungan Internet kurang bermutu, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Kandungan ini bersifat tidak masuk akal, berpotensi menyebabkan ketagihan dan biasanya dipaparkan di platform seperti TikTok dan YouTube.

Istilah ini bahkan dimuatkan dalam kamus Bahasa Inggeris Oxford, malah, ia telah dinobatkan sebagai Perkataan Terbaik Oxford bagi 2024.

Sering digunakan dengan konotasi negatif dalam masyarakat dalam talian, ia menggambarkan individu yang tidak mampu memikirkan apa-apa selain daripada kandungan dalam talian tertentu yang tidak mendatangkan manfaat.

Jika dibiarkan berleluasa tanpa pemantauan, ia bakal mencengkam minda anak muda, menyebabkan bahaya ketandusan akal fikiran – yang menghalang pemikiran secara lebih mendalam, menjejas kreativiti dan memutuskan keterhubungan dengan dunia sebenar.

Boleh dikatakan ia kian meresap ke dalam masyarakat, menjadikannya sama bahaya dengan ancaman dalam talian seperti pembulian siber.

Namun bezanya, bagi bahaya dalam talian, wujud peraturan dan undang-undang.

Malah, Singapura sedang dalam proses menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), agensi baru di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) atau Osra, yang bakal dilancarkan pada pertengahan 2026.

Agensi ini bertujuan menyediakan mangsa bahaya dalam talian tertentu dengan huraian pantas.

Namun fenomena ‘brainrot’ pula tidak ada peraturan mahupun undang-undang.

Jadi apa yang boleh diambil, terutamanya oleh golongan ibu bapa yang mempunyai anak muda?

Terdapat tiga daripada pelbagai pendekatan yang boleh dilaksanakan.

Pertama, ikut garis panduan penggunaan skrin bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 12 tahun oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Garis panduan yang dikemas kini ini ditetapkan di bawah inisiatif Sihat Membesar SG (Grow Well SG), dilancarkan secara bersama oleh MOH, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ia bertujuan membantu anak muda membina tabiat lebih sihat dan aktif, dengan tumpuan khas pada kesihatan mental.

Di bawah garis panduan itu, penggunaan skrin di luar sekolah bagi kanak-kanak prasekolah (18 bulan hingga enam tahun) hendaklah dihadkan kepada tidak lebih daripada satu jam sehari.

Bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, ianya dua jam sehari dan kegunaan media sosial harus diselia.

Ini bermakna apabila di rumah, langkah praktikal yang boleh diterapkan termasuklah tidak menggunakan skrin bimbit semasa makan dan satu jam sebelum waktu tidur atau tidak menggunakan televisyen atau peranti sebagai latar belakang untuk mengisi kesunyian.

Malah, utamakan perkongsian dan tontonan bersama dengan anak agar masa penggunaan skrin adalah bermakna dan bukan pasif semata-mata

Kedua, tetapkan had penggunaan skrin secara bersama – melibatkan kededua si anak dan ibu bapa.

Menukil garis panduan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), daripada hanya menetapkan peraturan kepada si anak, lebih baik buat rancangan bersama anak anda.

Rancangan ini merangkumi persetujuan mengenai tempoh penggunaan skrin, bila ia dibenarkan dan dilarang, serta aktiviti yang boleh dilakukan bersama yang tidak memerlukan penggunaan skrin.

Dengan mencatatkan dan melibatkan anak-anak dalam proses membuat keputusan, mereka lebih cenderung mematuhi rancangan tersebut.

Harus diberi perhatian bahawa selain tempoh penggunaan skrin, sama penting adalah bagaimana ia digunakan oleh anak.

Oleh itu, galakkan anak untuk gunakan peranti untuk tujuan pendidikan dan aplikasi kreatif dan bukannya melungsuri skrin secara pasif tanpa henti.

Di samping itu, gunakan kawalan ibu bapa untuk menetapkan had dan menapis kandungan.

Ini termasuk menetapkan tabiat dalam kalangan keluarga untuk membincangkan apa yang ditonton atau dilungsuri, sekali gus membina pemikiran kritis terhadap anak dan ibu bapa.

Ketiga, teroka dunia luar yang kaya dengan kepelbagaian, jauh dari alat peranti.

Jika ‘brainrot’ adalah hasil daripada pendedahan berlebihan kepada skrin dan penggunaan digital, penawarnya adalah penglibatan dengan dunia sebenar.

Bermain di luar dan sertai kegiatan fizikal, penting untuk kesihatan dan perkembangan fizikal mahupun kognitif.

Adakan hobi seperti membaca, bermain alat muzik atau melukis kerana ini memerlukan fokus dan menajamkan minda.

Malah, jangkakan kegiatan bersama keluarga secara kerap, seperti bersenam atau bermain catur.

Nampak mudah dan ringkas, tetapi kesannya mendalam dan penuh bermakna.

Ini memandangkan aktiviti sedemikian memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mengekalkan tumpuan, menanam sifat sabar, dan mengasah kemahiran interaksi sosial – perkara yang jarang sekali dapat dipupuk melalui penggunaan skrin.

Natijahnya, fenomena ‘brainrot’ tidak boleh dijadikan penghambat potensi dan pembangunan anak-anak kita, apatah lagi melunturkan legasi untuk generasi mereka.

Ini dapat dielakkan dengan tabiat digital sihat, yang harus disemai bukan sahaja dalam diri kanak-kanak, tetapi juga memerlukan anjakan daripada ibu bapa dan golongan dewasa itu sendiri.

Singapura sentiasa menghargai sikap meningkatkan diri secara berterusan dan berdaya tahan – membina tabiat digital yang sihat kini harus menjadi sebahagian daripada legasi itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg