Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ruang sendiri, damai di hati

Jan 4, 2026 | 5:30 AM
Wartawan Nur Syuhrah Hassan (kanan) bersama anaknya, Nahil Ibrahim, di dapur rumah baru, menjelang tahun baru 2026.
Wartawan Nur Syuhrah Hassan (kanan) bersama anaknya, Nahil Ibrahim, di dapur rumah baru, menjelang tahun baru 2026. - Foto ihsan NUR SYUHRAH HASSAN

Tahun 2026 saya bermula dalam suasana yang agak kelam-kabut.

Sebelah kaki masih di bawah bumbung rumah ibu bapa, manakala sebelah lagi sudah mula memijak lantai rumah sendiri.

Memandangkan saya hanya akan berpindah secara rasmi pada Februari nanti, hidup saya sekarang ibarat ‘penghuni hujung minggu’.

Setiap Jumaat malam, saya akan memunggah beg pakaian, lampin anak dan segala keperluan ke rumah baru.

Menariknya, beg-beg ini tidak akan dibawa pulang penuh semula kerana sedikit demi sedikit, barang-barang saya mula ‘berhijrah’.

Apabila malam Ahad tiba, saya pulang ke rumah ibu bapa dengan beg kosong, yang kemudian akan diisi semula sepanjang minggu, untuk dibawa ke rumah baru pada hujung minggu berikutnya.

Penat? Usah ceritalah.

Tapi dalam kepenatan memunggah beg yang tak pernah kosong itu, saya temui satu rasa yang sudah lama hilang: rasa rindu dan penghargaan.

Sejujurnya, hidup sebumbung dengan orang tua pada usia 32 tahun bukanlah mudah.

Walau sayang macam mana pun kita kepada ibu bapa, ‘perang dingin’ di dapur atau rimas dengan teguran misalnya tentang cara menjaga anak, tetap ada.

Apabila ruang peribadi semakin sempit, sabar pun makin menipis.

Bak kata pepatah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya, begitu juga rumah yang kelihatan aman tetapi ada gelora.

Namun, sejak sebulan bergelar penghuni hujung minggu, saya sedar kebenaran ungkapan ‘jauh di mata, dekat di hati’.

Rupanya, apabila ada sedikit jarak, barulah rasa rindu dan sikap penghargaan itu kembali semula.

Apabila ada jarak, geseran itu hilang.

Saya tidak lagi bertekak melihat longgokan barang-barang di rumah atau bising apabila televisyen terlalu kuat.

Anehnya, kunjungan saya ke rumah ibu bapa kini lebih bermutu.

Saya mula melihat mereka sebagai ‘atuk dan nenda’ yang penyayang kepada putera saya yang bakal menginjak usia dua tahun Mac nanti, bukan lagi sebagai ‘tuan rumah’.

Langkah saya ini mungkin tidak sama dengan aspirasi Skim Penjagaan Keluarga (FCS) yang diperkenal pada 2024 oleh mantan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, (kini Menteri Pendidikan), yang menggalakkan keluarga tinggal berdekatan.

Rumah baru saya tidak terletak dalam radius beberapa kilometer dari rumah ibu bapa.

Namun, saya melihatnya dari sudut yang berbeza.

Walaupun jarak secara geografi kami lebih jauh, ‘jarak emosi’ kami pula semakin rapat.

Bagi saya, inilah cara moden kita menjaga silaturahim kekeluargaan.

Biar ada dinding pemisah dan jarak perjalanan, asalkan kasih sayang tetap dekat di hati.

Tentang azam tahun baru?

Saya bukan jenis yang suka membuat senarai panjang yang akhirnya terkubur di hujung Januari.

Bagi saya, asalkan saya lebih baik dari tahun lalu, itu sudah memadai.

Azam 2026 saya sudah pun digenggam rapi – hanya dalam bentuk segugus kunci.

Saya sedar kebahagiaan tidak semestinya datang daripada perubahan drastik atau senarai matlamat yang panjang.

Kadangkala, ia datang daripada keberanian untuk mencipta sempadan, memiliki ruang, mengikut rentak sendiri.

Azam saya ringkas.

Menjadi ibu yang lebih peka dan hadir untuk putera saya, mencapai versi diri yang terbaik setakat ini, dan menjadi anak yang pulang ke rumah orang tua dengan senyuman, bukan lagi dengan keluhan.

Kadangkala, kita perlu jauh sedikit untuk rasa dekat.

Dan bagi saya, jarak beberapa kilometer antara dua rumah inilah yang sebenarnya menyelamatkan tali ukhuwah kami.

Lupakan slogan ‘new year, new me’.

Bagi saya, ‘Ada ruang, jaga peluang. Ruang sendiri, damai di hati.’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg