Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rom belajar dari Melayu? Teori sejarah perlu bukti kukuh

Kajian akademik yang teliti dan menyeluruh dapat bezakan antara fakta dengan spekulasi
Dec 28, 2025 | 5:30 AM
Mendiang Profesor John N. Miksic menggunakan penemuan ribuan bahan arkeologi untuk menyangkal salah tanggap umum bahawa sejarah Singapura bermula dengan kedatangan Sir Stamford Raffles. Sebenarnya, Singapura mempunyai sejarah lebih 700 tahun bermula dari tahun 1300. Gambar fail ini diambil pada 2018.
Mendiang Profesor John N. Miksic menggunakan penemuan ribuan bahan arkeologi untuk menyangkal salah tanggap umum bahawa sejarah Singapura bermula dengan kedatangan Sir Stamford Raffles. Sebenarnya, Singapura mempunyai sejarah lebih 700 tahun bermula dari tahun 1300. Gambar fail ini diambil pada 2018. - Foto ST

Seorang pensyarah universiti dari Malaysia baru-baru ini mencetuskan kejutan dalam kalangan ahli sejarah dan masyarakat umum apabila mengemukakan teori bahawa Empayar Rom pernah mempelajari teknik pembinaan kapal daripada orang Melayu.

Pandangan yang dikemukakan oleh Profesor Solehah Yaacob dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) itu segera mencetuskan kontroversi.

Ia bukan sahaja ditentang oleh pengkaji lain, malah dipersoalkan, dicemuh dan dipersendakan di media sosial.

Lebih menarik, isu ini turut dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan apabila kewibawaan ahli akademik tersebut mula dipertikai.

Hipotesis Profesor Solehah dikatakan berasaskan dari sumber Arab klasik yang menyebut bahawa orang Rom mempelajari seni bina kapal daripada masyarakat di Kepulauan Melayu.

Menurut pensyarah bahasa Arab itu, orang Melayu pada ketika itu berada dalam zaman tamadun maritim yang maju dan memiliki pengetahuan tinggi dalam bidang ilmu kelautan.

Kenyataan Profesor Solehah ini pertama kali disampaikan dalam satu ceramah awam di sebuah masjid pada Disember 2022.

Namun, ia hanya mendapat perhatian meluas selepas rakaman ceramah tersebut dimuat naik ke YouTube pada Oktober 2025, lapor The Straits Times.

Selepas tular, reaksi yang diterima bercampur baur.

Ramai yang menentang dan menyifatkan hipotesis itu sebagai tidak berasas serta satu bentuk manipulasi sejarah.

Ada juga yang menegaskan bahawa sebarang dakwaan berkaitan sejarah Melayu mestilah disokong oleh bukti kukuh serta kajian akademik yang teliti dan menyeluruh.

Sebahagian pihak pula bimbang salah tafsir atau penyebaran teori tanpa konteks yang betul boleh melemahkan kewibawaan institusi akademik dan mengelirukan pemahaman awam.

Namun, tidak kurang juga yang menyokong pandangan Profesor Solehah.

Di media sosial, beliau menerima sokongan daripada pengikut yang memuji keberaniannya mengutarakan ‘penemuan’ tersebut dan menyeru agar kajian lanjut dijalankan bagi membuktikan hipotesis berkenaan.

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran hipotesis bahawa ‘Rom belajar daripada Melayu’?

Sejarah menuntut bukti

Isu ini mengingatkan saya kepada pengalaman semasa mengikuti pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada lewat 1980-an.

Mahaguru sejarah saya ketika itu ialah Profesor John N. Miksic, seorang tokoh arkeologi dan sejarawan terkemuka.

Dalam satu kuliah, beliau pernah ‘mengejutkan’ para pelajar dengan menyatakan bahawa sejarah Singapura tidak bermula dengan ketibaan Sir Stamford Raffles pada 1819.

Sebaliknya, sejarah pulau ini bermula sekitar tahun 1300 – lebih 700 tahun lebih awal.

Kenyataan itu bukan bersandar pada hikayat semata-mata seperti Sejarah Melayu, yang sering dianggap mitos, tetapi didukung oleh bukti arkeologi dan kajian menyeluruh.

Profesor Miksic menjelaskan bahawa Singapura pernah mempunyai dinastinya sendiri dengan lima orang raja, dan tokoh seperti Sang Nila Utama bukan sekadar legenda.

Singapura juga dikenal pasti sebagai pusat perdagangan penting dalam rangkaian Jalan Sutera Laut.

Kesimpulan ini bukan andaian kosong, sebaliknya disokong oleh penggalian ribuan artifak sepanjang hampir 28 tahun, serta penelitian rapi terhadap rekod dan dokumen silam dari kuasa dagang besar seperti China, India dan Eropah.

Keyakinan beliau terhadap dapatan ini dizahirkan melalui penerbitan buku, Singapore and the Silk Road of the Sea (1300–1800) pada 2013, yang mendokumenkan kajian dan penemuan tersebut secara terperinci.

Sumbangan Profesor Miksic terhadap pemahaman sejarah Singapura khususnya, dan tamadun Melayu secara umum, amat besar.

Pemergiannya pada 25 Oktober lalu pada usia 79 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada dunia akademik.

Antara sejarah dengan spekulasi

Pertemuan terakhir saya dengan beliau pada 2016 turut meninggalkan kesan mendalam.

Ketika itu, saya ingin mendapatkan pandangannya mengenai kewujudan Laksamana Hang Tuah, yang sering dipersoalkan kerana ketiadaan bukti arkeologi.

Sekali lagi, penjelasan beliau mengejutkan saya.

Menurut Profesor Miksic, Hang Tuah bukan sahaja dipercayai wujud, malah pernah memerintah Singapura.

Beliau berpendapat bahawa Singapura mungkin merupakan pelabuhan utama Empayar Melaka pada abad ke-15, ditadbir oleh seorang laksamana yang dipercayai Hang Tuah, yang juga mengetuai angkatan laut Kesultanan Melaka.

Walaupun mengakui ketiadaan bukti fizikal, Profesor Miksic berpegang kepada rekod surat-menyurat kerajaan Ryukyu bertarikh 1480 dan 1481 – yang ditemui di Okinawa – sebagai petunjuk kukuh kewujudan tokoh tersebut.

Perkara ini turut dibincangkan dalam bukunya.

Ringkasnya, dapatan Profesor Miksic berdiri atas asas kajian yang mendalam, pelbagai sumber, dan penelitian kritis – itulah disiplin sejarah.

Persoalan Rom dan Melayu

Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa Empayar Rom mempelajari teknik perkapalan daripada orang Melayu?

Walaupun Profesor Miksic telah tiada untuk dirujuk, bukunya memberikan gambaran rantau ini merupakan laluan perdagangan maritim yang aktif seawal kurun pertama Masihi.

Beliau merujuk kepada teks Rom klasik, Guide to Geography, karya Claudius Ptolemaeus, yang memetakan Asia Tenggara dan menyebut Semenanjung Melayu-Siam sebagai Golden Peninsula (Semenanjung Emas).

Ptolemaeus, yang menulis ketika berada di Alexandria – kota jajahan Rom di Mesir – memberikan gambaran yang agak tepat tentang kedudukan rantau ini.

Ini membuka kemungkinan wujudnya hubungan perdagangan antara dunia Rom dengan alam Melayu, mungkin melalui perantara India, sekali gus memungkinkan pertukaran ilmu dalam pelbagai bidang.

Bahkan, menurut buku Dr Miksic, terdapat artifak arkeologi Rom yang ditemui di kawasan kerajaan kuno Funan di Indo-China.

Namun, untuk menyimpulkan bahawa Empayar Rom mempelajari teknik pembinaan kapal daripada orang Melayu adalah satu dakwaan yang sukar diterima tanpa bukti kukuh.

Ini kerana tradisi perkapalan Rom tertumpu di Laut Mediterranean dan banyak dipengaruhi oleh tamadun Yunani, Mesir dan Anatolia.

Hipotesis seperti ini menuntut kajian yang panjang dan teliti – melibatkan pengumpulan sumber primer dan sekunder, analisis kritis, perbandingan dapatan, serta semakan oleh pengkaji lain – sebelum boleh diterima sebagai sebahagian daripada wacana sejarah yang sah.

Bercakap tentang sejarah mungkin mudah.

Namun, membuktikannya menuntut disiplin, kesabaran dan keberanian untuk membezakan antara fakta, kemungkinan dengan spekulasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg