Melihat keadaan Singapura yang padat dengan bangunan dan manusia hari ini, ada yang mungkin tertanya: apa lagi yang boleh dibina di pulau ini?

Pemerintah kini melihat melangkaui tanah besar Singapura, ke pulau lebih kecil di sekelilingnya untuk meneroka idea pembangunan yang baru.

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos lalu, pemerintah perlu merancang untuk masa depan.

Beliau membentangkan rancangan baru Singapura untuk memanfaatkan pulau sekelilingnya untuk memenuhi pelbagai keperluan negara ini.

Ini sesuatu yang pernah dilakukan negara ini di tahun-tahun awal pembangunannya.

Pada 1960-an, Singapura mula menambak tanah di beberapa pulau di bahagian barat daya termasuk Pulau Merlimau, Pulau Ayer Chawan dan Pulau Pesek.

Apa yang bermula sebagai pulau-pulau kecil berasingan menjadi Pulau Jurong yang kini menempatkan hab tenaga dan kimia.

Hari ini, Pulau Jurong menjadi salah satu aliran tenaga di peringkat global, menjana pekerjaan bernilai tinggi, serta melindungi keselamatan tenaga Singapura.

Ternyata, ini menjadi satu daya tahan kritikal bagi Singapura semasa gangguan bekalan tenaga di Timur Tengah baru-baru ini.

Kini, Singapura merancang untuk satu lagi projek jangka panjang.

Pulau barat itu bertujuan menyokong industri generasi baru, serta menampung prasarana penjanaan kuasa untuk memenuhi keperluan masa depan Singapura.

Selain itu, pemerintah akan mengambil kira keperluan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menggunakan landasan kecil di Pulau Sudong.

Sedang projek tambak tanah ini bakal melibatkan kawasan perairan yang besar, satu keprihatinan yang timbul adalah sejauh mana ia akan menjejas alam sekitar.

Diharapkan agar projek tambak tanah baru ini akan mengambil kira dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar seberapa boleh.

Saintis dan kumpulan alam sekitar telah menekankan perlunya mengadakan kajian menyeluruh serta perundingan awam sebelum tanah ditambak, kerana mereka bimbang akan kehilangan habitat yang tidak dapat dipulihkan di kawasan itu.

Sememangnya, rancangan penggunaan tanah di Singapura bukan hanya bagi keperluan ekonomi.

Selain memacu pertumbuhan ekonomi, perancangan tanah di Singapura turut mengambil kira kesejahteraan rakyat, daya tahan iklim, dan warisan semula jadi.

Oleh itu, sebarang rancangan pembangunan perlu mengimbangi keperluan industri, penyediaan ruang perumahan dan rekreasi, keselamatan negara, serta pemulihan ekologi.

Ini sudah tentunya memerlukan rancangan yang teliti.

Selain projek tambak untuk pulau barat yang baru itu, Encik Wong turut mengumumkan pelbagai rancangan lain.

Pemerintah juga sedang mengkaji langkah membina terowong dasar laut untuk ke Pulau Tekong.

Terdapat juga rancangan tambakan tanah di bahagian selatan Tekong, yang bakal menyediakan lebih banyak ruang latihan untuk SAF, serta sekitar 500 hektar tanah – kira-kira sebesar estet Toa Payoh – bagi kegunaan awam kelak.

Di samping itu, Sentosa dan Pulau Brani juga akan diperbaharui untuk menawarkan kegiatan rekreasi dan daya tarikan baru.

Ini termasuk rancangan untuk menghubungkan Sentosa dan Pulau Brani sebagai satu destinasi bersepadu, menerusi usaha tambakan tanah.

Langkah ini bakal dilaksanakan setelah operasi pelabuhan dipindah keluar dari Pulau Brani.

Pelbagai projek mega ini bakal merentasi beberapa dekad dan melalui pentadbiran pelbagai penggal pemerintah.

Ia memerlukan pemikiran berpandangan jauh yang sama seperti yang dimiliki oleh pemimpin perintis Singapura, sewaktu mereka membayangkan pembangunan Pulau Jurong.

Sedang pembangunan di Singapura semakin pesat, persaingan bagi penggunaan tanah secara tidak langsung akan menjadi semakin sengit.

Seperti yang dinyatakan Encik Wong, pilihan dan tolak ansur yang sukar perlu dibuat.

Beliau memberi jaminan, di mana pembangunan diperlukan, pemerintah akan mengkaji impaknya dengan teliti, membuat penyesuaian dan mengurangkan gangguan.

Perdebatan awam baru-baru ini mengenai pemeliharaan Hutan Maju membuktikan bahawa rakyat Singapura amat mengambil berat tentang bagaimana tanah negara ini diperuntukkan.

Rakyat mahu menjadi pengawas yang aktif, dan bukannya pemerhati yang pasif terhadap alam sekitar mereka.

Cabaran bagi perancang adalah untuk memastikan pembangunan di kawasan luar pantai dan pesisiran pantai ini dapat memenuhi keperluan semasa serta aspirasi generasi akan datang.

Sekiranya Singapura terus melibatkan rakyatnya dalam membentuk projek-projek ini, kita bukan sahaja akan meluaskan ruang fizikal kita, bahkan membina satu warisan bersama, bagi memastikan generasi akan datang mewarisi pulau yang penuh dengan peluang dan kemungkinan yang tidak terhad.