Topic followed successfully
Go to BHkuPerkahwinan, keibubapaan perlu persekitaran merangsang
Perkahwinan, keibubapaan perlu persekitaran merangsang
Perkahwinan, keibubapaan perlu persekitaran merangsang
Untuk sekian lama Singapura dibelenggu dengan isu anak muda yang keberatan berumah tangga.
Yang telah membina mahligai pula lebih cenderung memberi tumpuan kepada kerjaya.
Ada yang berpendapat mereka belum cukup sempurna menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Berlatarbelakangkan senario itu, Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura terus menyaksikan kemerosotan.
TFR awal bagi penduduk Singapura pada 2025 mencecah paras terendah dalam sejarah iaitu 0.87, turun daripada 0.97 pada 2024.
Hanya terdapat 27,500 bayi lahir pada 2025 dalam kalangan penduduk negara ini.
Ia sekali gus mewujudkan keperluan segera untuk memperbaiki keadaan dan menangani penurunan itu.
Maka itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, mengumumkan di Parlimen tentang pembentukan kumpulan kerja baru khusus bagi menangani isu perkahwinan dan keibubapaan secara holistik.
Kumpulan tersebut akan bekerjasama dengan majikan bagi memupuk budaya dan amalan di tempat kerja yang mesra keluarga, dan mendekati seluruh masyarakat.
Lebih setengah abad lalu, warga Singapura dilatih melihat anak ketiga bukan sebagai satu rahmat atau rezeki tetapi ibarat satu pelanggaran kontrak sosial.
Kempen, dua anak sahaja sudah mencukupi, ternyata berjaya membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan apabila ia diperkenal pada era 1970-an.
Keadaan kian berubah dan formula lama tidak lagi berkesan.
Usaha untuk menyelesaikan isu ‘hati’ melalui ‘urus niaga’ tidak memberikan tindak balas yang diharapkan.
Mungkin sudah tiba masanya kita benar-benar mendengar suara hati anak-anak muda ini tentang mengapakah mereka memilih untuk tidak berumah tangga.
Apakah yang jadi hambatannya?
Adakah ia berkaitan dengan persekitaran di tempat kerja yang kurang menyokong?
Atau ia bersebab daripada kurangnya kepercayaan pada diri sendiri?
Kita menyediakan ‘baja’ (dalam bentuk wang ringgit contohnya untuk Bonus Bayi) yang mahal.
Tetapi kita mungkin terlepas pandang atau kurang memberi perhatian pada bagaimana keadaan tanahnya (budaya di tempat kerja).
Jika tanahnya toksik, benih yang mahal sekalipun tidak akan mampu membuat ia bercambah.
Apatah lagi dengan budaya kerja masa kini yang bergerak pantas.
Pasangan muda akan mudah memilih hidup sendiri daripada menjejas laluan kerjaya.
Di sinilah syarikat boleh memainkan peranan besar.
Syarikat tidak harus dinilai hanya berdasarkan tadbir urus, malah turut mengambil kira faktor melibatkan usaha atau daya ketahanan pro-keluarga yang diterapkan.
Pada 1970-an, melalui kempen dua anak sahaja sudah mencukupi, kita takut banyaknya perut yang perlu diisi.
Kini kita bimbang tiada tangan yang akan menyuap tatkala ramai di antara kita mula meniti usia senja.
Selagi seorang anak dilihat sebagai menambah ‘kos’ kepada kerjaya ibu atau ayah, atau ‘beban’ kepada gaya hidup seseorang individu, hadiah daripada pemerintah tidak akan mudah mengubah pemikiran pasangan untuk menimang zuriat.
Di Singapura, anak sering dilihat sebagai ‘projek’ yang mahal dan berisiko tinggi.
Dalam sistem meritokrasi yang sengit, ibu bapa bimbang kehadiran anak akan menjejas kerjaya mereka atau anak tidak mampu bersaing dalam sistem pendidikan yang mencabar.
Menetapkan semula pandangan terhadap keluarga memerlukan keberanian mencabar status quo.
Kita perlu beralih daripada masyarakat yang hanya menerima kehadiran anak, kepada masyarakat yang mendamba dan meraikan kelahiran mereka dengan penuh kegembiraan disulami kasih sayang.
Ini kerana persekitaran terkini yang menanti dijadual lebih indah.

