Topik diikuti
Pergi ke BHkuYishun 10 bukan sekadar bangunan, tetapi penuh kenangan indah
Yishun 10 bukan sekadar bangunan, tetapi penuh kenangan indah
Bangunan ikonik serupa diharap dapat dikekal pada masa depan
Yishun 10 bukan sekadar bangunan, tetapi penuh kenangan indah
Membaca laporan di Straits Times (ST) tentang Yishun 10, pawagam multipleks pertama Singapura yang berkemungkinan memberi laluan kepada pembangunan perumahan dan komersial, membuatkan saya sedih.
Saya lahir pada 1994, hanya dua tahun selepas bangunan itu mula beroperasi.
Sejak kecil, Yishun 10 bukan sekadar pawagam buat saya, tetapi sebahagian daripada kehidupan saya di Yishun.
Saya masih ingat semasa kecil, saya selalu melihat bangunan itu dan terfikir ia seperti ‘Command Centre’ Mighty Morphin Power Rangers.
Dalam imaginasi saya, Zordon mungkin berada di dalamnya.
Itulah antara cara saya ingat tentang Yishun 10 ketika membesar.
Sebuah bangunan yang nampak lain daripada yang lain, sangat futuristik.
Selepas sekolah, Yishun 10 menjadi tempat saya dan rakan lepak.
Kami akan makan di restoran Eighteen Chefs ataupun Wendy’s, kemudian ke Comics Connection untuk lihat barangan K-Pop terbaru, walaupun sekadar melihat-lihat sahaja.
Yang paling saya ingat ialah menonton wayang lewat malam di situ.
Ada beberapa janji temu wayang yang saya masih ingat sampai hari ini.
Yang paling penting, semuanya dekat dengan rumah.
Lepas filem habis, kami hanya berjalan untuk pulang.
Tidak perlu risau tentang MRT atau bas terakhir.
Sebab itu, apabila membaca laporan ST yang menyatakan Yishun 10 mungkin “memberi laluan kepada pembangunan perumahan dan komersial”, saya rasa seolah-olah satu bahagian kecil kehidupan saya tidak akan wujud lagi.
Saya faham keperluan pembangunan semula bandar di Singapura.
Tanah terhad dan perumahan perlu diteruskan.
Tetapi pada masa sama, saya rasa sedih apabila melihat tempat yang membentuk memori membesar saya semakin hilang.
Bukan hanya Yishun 10.
Dulu kawasan sekitar rumah saya dipenuhi padang kosong yang luas.
Sekarang semuanya sudah menjadi projek perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO).
Taman riadah Orto juga sudah ditutup, walaupun dulu ia memberi karakter tersendiri kepada Yishun.
Satu demi satu, ruang yang saya kenal sejak kecil berubah atau hilang.
Trend sama juga berlaku di kawasan lain.
Sembawang, Woodlands dan Ang Mo Kio sudah tiada pawagam.
Jika Yishun 10 turut ditutup, maka kawasan utara Singapura hampir tidak lagi mempunyai pawagam.
Walhal pawagam bukan sekadar tempat menonton filem.
Ia merupakan ruang sosial, tempat berkumpul dan di mana kami berkongsi masa dengan rakan.
Saya faham bandar perlu berubah.
Tetapi saya juga percaya tidak semua bangunan lama perlu dirobohkan.
Ada yang boleh diberi fungsi baru tanpa memadamkan identiti asalnya.
Di banyak tempat lain, pawagam lama dan bangunan ikonik diubah menjadi ruang komuniti atau ruang seni.
Ia bukan sekadar mengekalkan struktur, sebaliknya mengekalkan kenangan.
Saya tertanya-tanya sama ada Yishun 10 boleh diberi peluang seperti itu.
Kerana apabila bangunan seperti ini hilang, yang hilang bukan hanya bangunan itu tetapi juga hilang kenangan kolektif satu generasi.
Saya sudah semakin dekat dengan fasa hidup di mana saya akan berkahwin dan mungkin suatu hari nanti berpindah keluar dari Yishun.
Saya tertanya, jika satu hari saya kembali, adakah saya masih akan rasa Yishun seperti kediaman saya?
Yishun hari ini sudah jauh berubah daripada Yishun yang saya kenal semasa kecil.
Banyak perubahan membawa kemudahan dan kemajuan.
Bukan kerana kita menolak perubahan, tetapi kerana kita belajar melepaskan tempat yang pernah membentuk kita, sebelum ia menjadi hanya satu lagi tempat dalam memori kita.

