Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsia bersara yang sesuai? Tepuk dada tanya selera
Usia bersara yang sesuai? Tepuk dada tanya selera
Perlu bangunkan dana persaraan, jaga kesihatan agar dapat meniti usia senja dengan penuh bermakna
Usia bersara yang sesuai? Tepuk dada tanya selera
Beberapa kenalan sebaya saya (berusia lewat 50-an tahun) sudah ada yang bersara.
Ada yang terus bersara tanpa melakukan apa-apa tugas.
Namun ada juga yang bersara tetapi masih melakukan kerja sambilan.
Antara tujuannya adalah untuk mengisi masa lapang, di samping meraih pendapatan sampingan agar duit simpanan tidak cepat habis.
Mendengar cerita mereka yang telah bersara terasa sedikit cemburu juga.
Maklumlah mereka tidak perlu lagi ke tempat kerja setiap hari, selain bebas melakukan apa jua kegiatan sepanjang hari.
Semasa saya mula masuk zaman pekerjaan, matlamat saya mahu bersara ‘lebih awal’ daripada usia persaraan yang rata-rata pada usia 60 tahun.
Saya sasarkan usia 55 tahun untuk bersara.
Setelah lebih tiga dekad bekerja dan mencapai usia tersebut, saya dapati saya masih bertenaga untuk bekerja, lalu saya tunda sasaran usia bersara kepada 58 tahun.
Kini hampir mencapai usia tersebut, minat untuk bekerja masih ada, apatah lagi masih dapat meraih pendapatan.
Dengan penduduk Singapura semakin menua di samping jangka hayat penduduk semakin panjang, semakin menjadi kebiasaan bagi lebih ramai orang untuk terus bekerja melepasi apa yang dianggap sebagai ‘umur persaraan’.
Bagi menyokong trend ini, pemerintah Singapura telah menaikkan kedua-dua umur persaraan dan umur pekerjaan semula (re-employment) secara beransur-ansur sejak beberapa tahun lalu.
Yang terbaru pada 1 Julai 2026, umur persaraan di Singapura dinaikkan kepada 64 tahun manakala umur pekerjaan semula ditingkatkan kepada 69 tahun.
Perubahan ini merupakan sebahagian pelan berperingkat negara ini untuk akhirnya menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun dan usia pekerjaan semula kepada 70 tahun menjelang 2030.
Untuk menjelaskan kedudukan perkara, umur persaraan bukanlah bermaksud warga mesti atau dipaksa bekerja sehingga 65 tahun atau sehingga 70 tahun.
Ia sebenarnya bermakna umur paling awal di mana majikan boleh mewajibkan pekerja untuk bersara.
Dengan kata lain, majikan tidak boleh meminta pekerja bersara sebelum mencapai umur persaraan berkanun semata-mata kerana faktor usia mereka.
Selain itu, usia pekerjaan semula merujuk kepada had umur di mana pekerja yang layak patut ditawarkan pekerjaan semula jika mereka ingin terus bekerja dan memenuhi kriteria yang berkaitan.
Ia mengiktiraf isu bahawa ramai pekerja lebih berusia masih mampu menyumbang, di samping memberi fleksibiliti kepada majikan untuk membuat penyesuaian kepada peranan pekerjaan jika perlu.
Bagi pekerja, faedah paling ketara adalah penambahan satu tahun perlindungan pekerjaan berkanun.
Pekerja tidak boleh diwajibkan bersara sebelum berumur 64 tahun, dan pekerja yang layak serta ingin terus bekerja boleh ditawarkan pekerjaan semula sehingga umur 69 tahun, dengan syarat mereka terus memenuhi syarat yang berkaitan.
Perkara ini boleh membantu mengukuhkan simpanan persaraan mereka sambil menunda keperluan untuk bergantung kepada dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Namun, penting juga untuk ditegaskan bahawa perubahan ini tidak menjejas usia layak bagi seseorang contohnya mengeluarkan wang daripada CPF, kelayakan pembayaran CPF LIFE, atau perkara lain berkaitan dengan CPF.
Perkara tersebut dikawal selia oleh peraturan berasingan.
Pengumuman perubahan usia persaraan itu mendapat dua reaksi berlainan.
Ada yang gembira kerana mereka boleh terus bekerja sehingga usia persaraan tersebut.
Namun ada juga yang marah-marah, dengan alasan ini bermakna warga Singapura dipaksa bekerja sehingga lanjut usia.
Walhal, perubahan ini jelas tidak memaksa mana-mana pekerja untuk terus bekerja dan bersara hanya pada usia 64 tahun.
Jika mereka mahu dan rasakan sudah tidak kuat atau tidak minat bekerja atau sudah mempunyai simpanan mencukupi, mereka boleh bersara atau berhenti kerja pada bila-bila masa tanpa menunggu untuk mencapai usia 64 tahun.
Jadi, usahlah marah-marah mengenai usia persaraan ini.
Bacalah dan fahamilah agar kita dapat meraih manfaat daripada langkah ini.
Buat diri saya, saya sedang berusaha membangunkan dana persaraan antaranya dengan mengukuhkan Akaun Persaraan (RA) CPF agar apabila nanti mencecah usia 65 tahun, saya boleh mendapat bayaran bulanan sepanjang hayat yang mencukupi daripada CPF LIFE, tanpa perlu bimbang wang persaraan akan kehabisan.
Walaupun sasaran awal usia persaraan saya 55 tahun telah terlepas, saya bertekad untuk tidak menunggu sehingga mencapai usia 64 atau 65 tahun untuk bersara.
Pada masa sama, saya terus berdoa agar diberi kesihatan dan murah rezeki.
Jadi apabila saya memutuskan untuk bersara kelak, saya boleh berbuat demikian dengan hati tenang, gembira dan menikmati waktu persaraan yang penuh bermakna.
“
“Pengumuman perubahan usia persaraan itu mendapat dua reaksi berlainan. Ada yang gembira kerana mereka boleh terus bekerja sehingga usia persaraan tersebut. Namun ada juga yang marah-marah, dengan alasan ini bermakna warga Singapura dipaksa bekerja sehingga lanjut usia. Walhal, perubahan ini jelas tidak memaksa mana-mana pekerja untuk terus bekerja dan bersara hanya pada usia 64 tahun. Jika mereka mahu dan rasakan sudah tidak kuat atau tidak minat bekerja atau sudah mempunyai simpanan mencukupi, mereka boleh bersara atau berhenti kerja pada bila-bila masa tanpa menunggu untuk mencapai usia 64 tahun.”