Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha progresif lakar hala tuju strategik hidup beragama

Nov 30, 2025 | 5:30 AM
Lidah pengarang
Lidah pengarang -

Masyarakat Islam Singapura sering dilihat sebagai model kejayaan bagi masyarakat minoriti Islam di tempat lain.

Mereka berjaya mengimbangi tuntutan agama sambil menyumbang kepada kemajuan negara.

Di Singapura, penekanan utama diberikan kepada kehidupan harmoni dengan kaum dan agama lain, disokong oleh dasar negara seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA).

Oleh itu, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) yang diumumkan pada 22 November lalu amat dialu-alukan.

Ia merupakan satu usaha progresif dan pengiktirafan strategik bahawa kehidupan beragama mesti berkembang seiring dengan konteks kehidupan di Singapura.

Pembentukan jawatankuasa ini merupakan pelaburan jangka panjang yang penting dalam memastikan aspek kerohanian dan sosial masyarakat Islam Singapura kekal relevan di tengah-tengah perubahan pesat sejagat dan cabaran masa depan yang semakin kompleks.

Seperti yang dinyatakan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, masjid setempat tidak lagi boleh dilihat sebagai sekadar rumah ibadat.

Ia juga harus menjadi pusat kecemerlangan yang menginspirasi, menyatukan dan mengangkat martabat seluruh masyarakat Islam setempat.

Fokus awal jawatankuasa ini, khususnya kepada belia, warga emas, dan Bimbingan Rohani Islamik (ISCG), menunjukkan pendekatan yang sangat peka terhadap keperluan genting masyarakat.

Lebih penting lagi, usaha memperkukuh ISCG akan meningkatkan kualiti sokongan yang diberikan oleh asatizah terlatih kepada anggota masyarakat Islam yang berhadapan dengan kedukaan, trauma dan isu penghujung hayat.

Jawatankuasa ini akan memastikan asatizah dilengkapi dengan kemahiran dan latihan asas untuk berinteraksi secara berkesan dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berada dalam penjagaan paliatif dan khidmat penjara.

Tidak dinafikan, buat masa ini terdapat jurang dalam sokongan kerohanian dalam penjagaan paliatif.

Santapan dan bimbingan rohani tentunya sesuatu yang didamba pesakit Islam di akhir hayat mereka.

Pada 25 Oktober lalu, Dr Faishal pernah mengumumkan bahawa bilangan asatizah sukarelawan dengan Fitrah (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga) telah meningkat lebih dua kali ganda, daripada 54 orang pada 2019 kepada sekitar 120 orang kini.

Dengan pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Kehidupan Beragama Masyarakat, diharapkan usaha mendekati mereka di penjara dapat lebih diselaras dan dipertingkat bagi memastikan pesalah dapat kembali ke pangkuan masyarakat dengan dibenteng sokongan agama.

Apa yang menarik perhatian dan menjadi kelebihan utama jawatankuasa baru ini ialah ia menghimpunkan pelbagai kepakaran – dalam bidang agama, akademik, dan khidmat sosial.

Diketuai bersama oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, jawatankuasa ini turut menghimpunkan pemimpin kanan Muis serta wakil sektor daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Jawatankuasa Fatwa dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Sinergi yang kukuh inilah yang menjamin pendekatan menyeluruh dan bersepadu dalam membimbing kehidupan beragama.

Secara keseluruhannya, pelan induk strategik yang bakal dilakarkan oleh jawatankuasa ini memberikan jaminan bahawa sektor agama akan terus dinamik, relevan dan profesional.

Dengan berbuat demikian, ia akan terus memartabatkan masyarakat Islam di Singapura dan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai model masyarakat yang cemerlang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg