Daripada wang yang dikumpul untuk dibelanjakan kepada modal yang dipelihara, dilaburkan dan berkembang untuk generasi akan datang.

Singapura mempunyai masyarakat Melayu/Islam yang bukan sahaja kaya dengan tradisi dan semangat gotong-royong, tetapi juga mempunyai modal kewangan yang signifikan.

Dalam ucapan pelancaran Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) pada Ogos 2024, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyatakan bahawa berdasarkan kutipan zakat, aset cair masyarakat dianggarkan sekurang-kurangnya $2 bilion – dan jumlah ini jauh lebih besar jika mengambil kira hartanah.

Angka $2 bilion ini memberikan gambaran jelas tentang skala modal yang wujud dalam masyarakat.

Persoalan utamanya – bagaimanakah kita boleh menggerakkan sebahagian daripada modal ini secara lebih strategik supaya manfaatnya dapat dirasai secara berterusan?

Realiti Dana Terbiar: Di Peringkat Individu dan Institusi

Realitinya, wujud jumlah dana terbiar (idle funds) yang agak besar dalam masyarakat kita, sama ada di peringkat individu mahupun institusi.

Kebanyakan wang ini kini disimpan dalam akaun semasa (current account), akaun simpanan biasa, atau instrumen pelaburan jangka pendek yang memberikan pulangan rendah.

Meskipun kebiasaan ini wujud atas faktor berwaspada, sebahagian besar dana ini sebenarnya modal jangka panjang yang tidak diperlukan dalam masa terdekat.

Menyimpan modal jangka panjang dalam akaun terbiar membiarkan nilainya terhakis oleh inflasi.

Apabila dana ini distrukturkan semula ke dalam portfolio pelaburan berasaskan endowmen yang berdisiplin, ia berpotensi menjana pendapatan berterusan tanpa menjejas keselamatan modal.

Apabila membincangkan kekayaan masyarakat, fokus tidak seharusnya tertumpu kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) atau WMS semata-mata.

Masjid, madrasah, badan kebajikan dan pelbagai pertubuhan turut memegang dana masing-masing.

Sebahagian besar dana ini memang diperlukan untuk operasi harian dan rizab kecemasan.

Isunya bukan kerana institusi mempunyai “wang tidak digunakan”. Sebaliknya, kita perlu memisahkan secara jelas antara empat kategori utama:

  • Wang operasi harian
  • Rizab kecemasan
  • Modal keperluan jangka pendek
  • Modal lebihan yang sesuai untuk pelaburan endowmen jangka panjang (10 hingga 30 tahun)

Menubuhkan Institusi Baharu untuk Generasi Akan Datang

Sejarah menunjukkan bahawa kejayaan masyarakat Melayu/Islam Singapura dipacu oleh pembinaan institusi yang kukuh pada waktu yang tepat.

Generasi terdahulu telah mengasaskan MUIS untuk mentadbir hal ehwal Islam, Yayasan Mendaki untuk memacu pendidikan dan Warees Investments untuk mengurus pembangunan hartanah wakaf.

Kini, sudah tiba masanya kita mengambil langkah bersejarah seterusnya – menubuhkan sebuah syarikat pengurusan aset (asset management company) dan endowmen profesional sebagai sebuah institusi baharu masyarakat.

Institusi ini tidak mengambil alih pemilikan aset sedia ada.

Setiap masjid, pertubuhan atau penyumbang individu kekal pemilik sah dana mereka mengikut perlembagaan dan surat ikatan amanah masing-masing.

Syarikat pengurusan aset baharu ini bertindak sebagai entiti khusus yang diberi mandat profesional secara sukarela untuk mengurus dan menguji kecekapan pelaburan tersebut.

Sebagai sasaran awal, $500 juta dalam nilai aset di bawah pengurusan atau AUM adalah sasaran yang munasabah tetapi tetap bercita-cita tinggi.

Modal ini boleh dikumpul secara berfasa daripada pemindahan dana terbiar jangka panjang, lebihan institusi, sumbangan korporat, serta dana baharu WMS.

Kuasa Penggandaan Modal

Melalui kuasa penggandaan, jika platform bermula dengan $500 juta dan mencapai pulangan bersih purata 5 peratus setahun – disertai suntikan modal baharu sekitar $15 juta hingga $20 juta setahun daripada sumbangan dan perancangan harta pusaka – AUM tersebut berpotensi berkembang kepada:

  1. $1.1 bilion dalam tempoh 10 tahun
  2. $2.2 bilion dalam tempoh 20 tahun

Instrumen pelaburan pula mesti dipelbagaikan secara patuh Syariah, merangkumi sukuk, ekuiti global, REITs, dan ekuiti persendirian untuk mengimbangi risiko dan memelihara modal.

Dari Derma Hari Ini Kepada Endowmen Hari Esok

Kita perlu satu anjakan minda – derma menyelesaikan keperluan hari ini, manakala endowmen dan wakaf membina aset yang menghasilkan pendapatan berterusan.

Seperti yang dicatatkan dalam Laporan Tahunan MUIS 2024, pengurusan aset wakaf yang mampan adalah kunci untuk menjana pendapatan tanpa memakan modal asal.

Selain itu, panduan perancangan harta pusaka MUIS turut menjelaskan bahawa seseorang Muslim boleh memperuntukkan sehingga satu pertiga daripada hartanya menerusi wasiat kepada pihak bukan waris faraid – termasuk ke dalam WMS atau dana endowmen masyarakat.

Apabila sebahagian kecil daripada kekayaan hartanah dan simpanan dapat diwasiatkan untuk masyarakat, ia bertukar daripada kekayaan satu keluarga kepada legasi seluruh ummah.

Tadbir Urus Sebagai Asas Utama

Projek ini hanya akan berjaya jika dibina atas tadbir urus yang tidak boleh dipertikaikan.

Institusi baharu ini memerlukan lembaga pengarah bebas, jawatankuasa pelaburan profesional, penasihat Syariah bebas serta akauntabiliti audit yang telus.

Paling penting, pengurus pelaburan hanya mengurus modal – keputusan pengagihan bantuan kekal di tangan pemegang amanah dan institusi berkaitan.

Amanah Antara Generasi

Langkah ini bukan bermakna meminta masyarakat menyumbang lebih banyak wang secara mendadak.

Ia adalah soalan tentang kecekapan: Bagaimanakah kekayaan sedia ada diurus dengan lebih bijaksana?

$2 bilion aset cair yang ada hari ini bukan sekadar angka, tetapi satu amanah.

Sebagaimana generasi terdahulu membina MUIS, Mendaki dan Warees untuk memenuhi keperluan zaman mereka, cabaran generasi kita hari ini adalah menubuhkan institusi kewangan mampan yang dapat mengubah kekayaan kepada modal, modal kepada endowmen, dan seterusnya endowmen kepada manfaat berterusan untuk generasi akan datang.

Penulis ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore dan Pengerusi Jawatankuasa Sementara WMS.