Topic followed successfully
Go to BHkuSiap hadapi keadaan tidak menentu ekoran perang Iran
Siap hadapi keadaan tidak menentu ekoran perang Iran
Perang beri kesan besar termasuk kos sara hidup, justeru perlu kukuhkan simpanan keluarga, hemat berbelanja
Siap hadapi keadaan tidak menentu ekoran perang Iran
Kemelut serangan Amerika Syarikat/Israel ke atas Iran, serta serangan balas Iran terhadap aset dua negara itu serta beberapa negara sekutu Amerika di Timur Tengah telah menyebabkan beberapa kesan besar.
Serangan yang bermula pada 28 Februari itu telah menjejas laluan perkapalan di Selat Hormuz – laluan seperlima bekalan minyak dunia – selain menjejas pengeluaran minyak dan gas asli dari rantau Timur Tengah.
Pertama, ia menyebabkan kenaikan harga dua komoditi penting dunia – minyak mentah dan gas asli – yang menyebabkan bukan hanya kos rantaian bekalan seperti pengangkutan meningkat, bahkan menyebabkan kenaikan harga barangan dan makanan keperluan.
Kenaikan harga barangan dan makanan itu berlaku bukan hanya di Singapura, bahkan di seluruh dunia.
Kedua, kemelut di rantau Timur Tengah menjejas penerbangan di peringkat sejagat.
Banyak syarikat penerbangan terpaksa membatalkan penerbangan khususnya melibatkan kawasan Timur Tengah ekoran faktor keselamatan.
Sebelum perang ini, rantau itu merupakan antara hab penerbangan utama dunia.
Ketiga, keadaan geopolitik yang lebih tidak menentu disebabkan peperangan itu.
Kemelut itu menunjukkan keadaan semakin tidak aman di dunia, dengan sebilangan pihak lebih gemar menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat masing-masing.
Pendekatan kuasa besar
Dunia kini lebih menyaksikan pendekatan ‘might is right’, atau apa yang ditakrifkan sebagai negara lebih berkuasa bebas melakukan apa sahaja.
Ini menyebabkan negara sederhana dan kecil, termasuk Singapura, perlu mengambil iktibar daripadanya dan melakukan perancangan untuk menanganinya.
Langkah diplomasi untuk mencari jalan damai dilihat semakin lemah.
Ketidakpatuhan kepada undang-undang antarabangsa termasuk dalam menghadapi pertelingkahan sempadan atau isu lain akan meningkatkan risiko peperangan, atau penggunaan kekerasan melibatkan pelbagai negara termasuk yang besar dan kecil.
Dengan peralihan kepada pendekatan ‘might is right’ ini, negara kuasa besar akan lebih cepat dan gemar menggunakan kekerasan atau kuasa tentera mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajati, walaupun yang tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Ini akan menyebabkan konflik ditangani bukan melalui usaha diplomasi atau perbincangan berdamai, tetapi oleh penggunaan kuasa tentera khususnya oleh negara kuasa besar.
Ini amat membimbangkan khususnya bagi negara kecil yang mungkin boleh dibuli negara besar, atau dipaksa melakukan sesuatu yang tidak dipersetujui mereka.
Sebab itu, Singapura perlu terus membentuk dan membangunkan gabungan negara-negara yang berfikiran sama yang mahu menegakkan peraturan berasaskan undang-undang.
Kesan kepada penduduk S’pura
Singapura juga telah mula merasa kesan akibat kemelut perang ini.
Harga petrol dan diesel di stesen minyak setempat naik beberapa kali, dan ini akan diikuti oleh kenaikan harga barangan dan makanan yang bergantung kepada khidmat pengangkutan.
Bagi pihak pemerintah Singapura, ia telah berjanji untuk memantau perkembangan kemelut Timur Tengah itu dan akan melaksanakan langkah untuk membantu warga jika perlu.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah mempunyai sumber untuk berbuat demikian, namun buat masa ini, isi rumah dan perniagaan akan merasai kesan positif tidak lama lagi akan langkah-langkah yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menjadi kebimbangan utama adalah jika sekatan Selat Hormuz berterusan dalam tempoh panjang dan ini membawa kesan serius kepada ekonomi dunia – melangkaui sektor minyak dan gas – termasuk sektor baja tanaman, bekalan makanan yang boleh menyebabkan krisis makanan dunia.
Kesan berpanjangan ini juga mampu meningkatkan risiko kelembapan ekonomi dunia, termasuk menjejas ekonomi Asia Tenggara dan Singapura.
Siap sedia
Pada masa sama, warga perlu bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dan cabaran ekoran kesan peperangan itu.
Mereka tidak boleh berpeluk tubuh dan memerhatikan sahaja keadaan.
Antara yang boleh dilakukan adalah dengan memperkukuh simpanan keluarga agar dapat menghadapi sebarang kenaikan kos sara hidup.
Bak kata pepatah, siapkan payung sebelum hujan.
Malah, masa tidak menentu sekarang akibat perang di Timur Tengah boleh dianggap sebagai tibanya ‘hujan’ – cuma belum dipastikan sama ada hujan lebat atau renyai-renyai.
Selain itu, berhematlah dalam perbelanjaan keluarga. Ini bukan bermakna tidak boleh berbelanja, tetapi tidak terlalu boros dalam perbelanjaan.
Ini demi memastikan kita tidak mendapati diri dan keluarga dalam keadaan sukar dari segi kewangan untuk menghadapi kenaikan kos barangan dan makanan ekoran kemelut perang di Timur Tengah.
Amalkan apa yang selalu dipesan pakar kewangan: Belanjalah apa yang diperlukan, bukan apa yang diinginkan.
Bagi pemerintah, satu langkah yang difikirkan dapat membantu warga dan peniaga berkaitan kenaikan kos sara hidup adalah melalui baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang boleh diberikan dalam masa terdekat.
Baucar ini telah terbukti membantu meringankan beban kewangan keluarga selain membantu peniaga dalam perniagaan mereka.
Selain itu, kita harus ingat bahawa segala yang berlaku di dunia adalah dengan takdir Allah swt, justeru kita wajar menerima dan menghadapinya dengan tabah dan sabar, selain akur akan ada hikmahnya.
Perkukuhkan payung kita, agar apa jua hujan yang turun, keluarga kita tidak akan terlalu ‘basah’.
Semoga kita dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri pada 2026 dalam keadaan tenang, bersedia dan penuh kesyukuran.
“
“...Warga perlu bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dan cabaran ekoran kesan peperangan itu... Antara yang boleh dilakukan adalah dengan memperkukuh simpanan keluarga agar dapat menghadapi sebarang kenaikan kos sara hidup.”
