Topik diikuti
Pergi ke BHkuResah dijerat AI & masa depan: Gundah belia kita tanda mereka peduli
Rasa risau dicermin dalam tinjauan bukti belia S’pura bukan jenis peluk tubuh, bukan generasi suka bersenang-lenang atau ambil mudah masa depan
Resah dijerat AI & masa depan: Gundah belia kita tanda mereka peduli
Pada zaman remaja dulu-dulu, pernah tak anda duduk di kedai kopi sambil menghirup kopi ais, tiba-tiba fikiran melayang memikirkan tentang masa depan?
Bagi saya, sering sekali senario itu berlaku dan nampaknya saya tidak berseorangan.
Ini sekurang-kurangnya dalam konteks membayangkan masa depan semasa kita muda remaja, kerana satu dapatan tinjauan sempena pelancaran Pelan Belia SG mendedahkan bahawa belia hari ini amat prihatin dengan masa depan mereka.
Lebih menarik lagi, tinjauan tersebut memberi generasi lebih ‘mapan’ seperti saya peluang mengintai realiti kehidupan belia Singapura hari ini.
Bagi generasi Gen X seperti saya, yang lahir pada 1980, keputusan tinjauan itu agak ‘memusingkan kepala’ – sekali gus menyerlahkan jurang generasi antara saya dengan belia hari ini.
Memang ada unsur-unsur yang melucukan bila difikirkan, tapi dalam masa yang sama, ada kebenarannya terutama dalam konteks belia, kecerdasan buatan (AI) dan kerjaya, yang buat saya berfikir lebih panjang.
Negara Maju, Tapi Hati Resah?
Apabila ditanya mengenai masa depan Singapura, 76 peratus belia kita rasa yakin.
“Singapura memang mantap!” kata mereka.
Bagaimanapun, apabila soalan ditukar kepada – “Macam mana pula dengan masa depan kamu sendiri?” – angka keyakinan tersebut merosot kepada 66 peratus.
Agak pelik tapi benar!
Kita yakin negara kita mampu terbang tembus ke angkasa lepas, namun kita sendiri pula teragak-agak malah risau bakal terkapai-kapai di muka bumi.
Punca utama penyakit ‘seram sejuk’ ini tidak lain, tidak bukan, ialah raksasa baru digelar AI.
Hampir 40 peratus belia melihat AI ni bukan sebagai ‘pembantu’, tapi sebagai ‘perosak’ keupayaan mereka dalam mendapatkan mata pencarian.
Sentimen ini boleh difahami.
Malah, fenomena penolakan AI dalam kalangan belia – sering dipanggil AI backlash atau tech fatigue – kian memuncak secara global.
Bagi generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha, kebangkitan AI bukan lagi dilihat sebagai simbol kemajuan sains semata-mata, sebaliknya membawa keresahan tentang mutu hidup, kerjaya dan nilai kemanusiaan bagi mereka.
Mungkin dipacu perkembangan AI dan teknologi secara amnya, dalam tinjauan tersebut, lebih 52 peratus pula lagi risau skill atau kemahiran yang ada pada mereka sekarang bakal jadi ‘lapuk’.
Perasaan takut dan bimbang yang mereka besar kemungkinan akan jadi ‘dinosaur’ dalam era ekonomi digital ini adalah sesuatu yang nyata.
‘Job Shadowing’ Bukan Sekadar Teman Bos ‘mengopi’
Lantaran itu, 78 peratus belia ‘menjerit’, mahukan inisiatif seperti job taster atau pendedahan kerjaya pada usia lebih awal.
Tinjauan sempena Pelan Belia SG itu mendedahkan, bagi remaja, mereka tidak mahu sekadar mempelajari teori berhabis-habisan, tetapi selepas menyertai alam pekerjaan mereka tiba-tiba sedar, “Ops, ini bukan apa yang aku mahukan!”
Mereka mahu ‘merasa’ dulu pekerjaan itu – bukan sekadar berdiri di pinggiran, bantu pegangkan cawan kopi bos atau tugas-tugas yang tidak begitu terkait dengan bidang pekerjaan tersebut, tapi betul-betul memahami cara kerja industri.
Bagi saya, ini sesuatu yang positif.
Jangan Risau, Anda Tidak Bersendirian
Segala kerisauan ini sebenarnya bukti bahawa belia Singapura bukan jenis yang memeluk tubuh.
Mereka bukan generasi yang suka bersenang-lenang atau mengambil mudah masa depan.
Rasa takut, bimbang dan gusar ini timbul sebab mereka peduli – generasi muda mahukan kerjaya yang bermakna, ingin menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan berazam menyara hidup dengan integriti dan bermaruah.
AI mungkin boleh menjana jawapan atau menghasilkan satu karya yang hebat dalam sekelip mata, tetapi AI tidak mempunyai empati, kebolehan menyesuaikan diri, dan daya pemikiran kritikal – semua kemahiran lembut yang sudah pun dimiliki belia kita, dan kini perlu terus digilap.
Ingatlah, mesin boleh buat kerja pantas, tapi nilai kemanusiaan dan kreativiti tetap milik manusia.
Pemerintah dan masyarakat sudah mula mengatur langkah lebih tersusun.
Dengan adanya Pelan Belia SG, pelbagai program bimbingan kerjaya, celik kewangan dan sokongan kesihatan mental sedang disediakan sebagai ‘pelampung’ bagi generasi muda kita.
Pelbagai usaha ini mencerminkan bahawa belia kita tidak berjalan bersendirian dalam mengharungi ketidaktentuan dunia.
Jadi, untuk semua belia di luar sana, ayuh helakan nafas lega.
Biasalah kalau anda rasa risau dan gusar dengan keadaan masa depan yang tidak boleh anda ketahui.
Saya dan generasi saya pun begitu satu masa dahulu, semasa kami menghirup kopi ais.
Yang penting, usah biarkan rasa takut itu membekukan langkah anda.
Masa depan Singapura sememangnya cerah, namun generasi mudalah cahaya yang memastikan ia betul-betul bersinar!
