Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu lebih usaha dekati peserta Melayu manfaatkan kredit SkillsFuture

Badan Melayu, masjid, M³ boleh main peranan tingkat kesedaran, beri bimbingan khusus
Nov 30, 2025 | 5:30 AM
Lebih banyak usaha perlu dijalankan khusus untuk mendekati masyarakat Melayu setempat tentang cara memanfaatkan kredit SkillsFuture mereka.
Lebih banyak usaha perlu dijalankan khusus untuk mendekati masyarakat Melayu setempat tentang cara memanfaatkan kredit SkillsFuture mereka. - Foto fail

Pada hujung minggu lalu, saya membantu ibu bapa saya yang berusia lewat 70-an membuat tuntutan bagi Kredit SkillsFuture untuk kursus kecerdasan buatan (AI) yang bakal mereka ikuti Disember ini.

Tuntutan ini perlu dibuat segera memandangkan kredit SkillsFuture bernilai $500 mereka akan luput pada 31 Disember ini.

Tokokan ini hanya diberikan sekali pada 2020 dan berbeza dengan kredit pertama sebanyak $500 yang diberikan pada usia 25 tahun, serta tokokan kredit Pertengahan Kerjaya sebanyak $4,000 yang tiada tarikh luput.

Ibu bapa saya antara minoriti rakyat Singapura yang telah menggunakan tokokan tersebut.

Sehingga September lalu, hanya tiga daripada 10 rakyat Singapura yang layak atau lebih 778,500 orang telah berbuat demikian.

Pekerja pertengahan kerjaya (40 hingga 60 tahun) membentuk hampir separuh daripada mereka yang telah memanfaatkan kredit ini.

Kursus dalam bidang maklumat, komunikasi dan perkhidmatan makanan merupakan antara yang popular.

Meskipun tujuh daripada 10 rakyat Singapura yang lain belum menyentuh atau menggunakan kredit tersebut, SkillsFuture Singapura (SSG) dalam kenyataannya berkata pihaknya tiada rancangan melanjutkan tarikh luput itu.

Kursus yang didaftar justeru mesti bermula dan tuntutan mesti diserahkan sebelum 31 Disember ini.

ALASAN KURANG DIMANFAAT

Mengapa begitu ramai yang masih belum memanfaatkan peluang peningkatan kemahiran ini walaupun $500 bukanlah jumlah yang kecil ?

Menurut SSG, sesetengah rakyat Singapura memilih untuk tidak menggunakan kredit SkillsFuture mereka “kerana mereka mungkin tidak memerlukannya pada peringkat kehidupan mereka sekarang, terutamanya bagi mereka yang keperluan latihannya sudah diliputi dengan baik oleh majikan mereka”.

Selain itu, terdapat keraguan sama ada kursus yang diikuti akan membawa pulangan atau membuat perbezaan dalam kerjaya mereka, dari segi kenaikan gaji.

Apatah lagi bagi mereka rasakan mencari nafkah lebih penting daripada usaha meningkatkan diri.

Mungkin juga ada yang tidak tahu bahawa mereka boleh menggunakan kredit SkillsFuture bagi mengikuti kursus dalam talian.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna rakyat Singapura tidak boleh menggunakan kredit SkillsFuture mereke selepas 31 Disember.

Untuk keperluan latihan masa hadapan, rakyat Singapura boleh terus menggunakan baki kredit SkillsFuture yang tidak luput.

WARGA TUA PERLU SKILLSFUTURE?

Jika perangkaan rakyat Singapura yang sudah memanfaatkan kredit SkillsFuture rendah di peringkat nasional, apatah lagi dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, warga tua tidak terkecuali.

Bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun seperti kedua ibu bapa saya, perangkaan terakhir yang didedahkan ialah pada akhir 2024 ialah sekitar 25 peratus daripada mereka telah memanfatkan kredit SkillsFuture secara keseluruhan (bukan hanya kredit sekali tokokan $500).

Sejauh ini, tiada perangkaan berasaskan kaum yang dikeluarkan.

Secara peribadi, saya kagum dengan semangat ibu bapa saya kerana mengambil langkah pertama.

Ini kerana proses ini tentunya bukan mudah bagi kededua mereka.

Proses tuntutan kredit SkillsFuture itu sendiri antara hambatan bagi golongan warga senja.

Saya sendiri mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membaca, memahami dokumen yang diperlukan dan apa butiran yang dikehendaki.

Tuntutan kredit SkillsFuture ini juga memerlukan seseorang memasuki portal itu menggunakan SingPass masing-masing – satu proses yang mungkin tidak mudah dilakukan sendiri oleh warga tua.

Jika saya sendiri rasakan proses ini agak membingungkan, apatah lagi golongan senja seperti ibu bapa saya.

Golongan ini mungkin tidak lagi perlu meningkatkan kemahiran untuk kerjaya, tetapi kita tidak seharusnya mengetepikan mereka.

Latihan amat penting bagi mengaktifkan minda mereka, mengurangkan risiko demensia, mengelak kemurungan, dan membolehkan mereka bersosial.

Kursus keselamatan siber, misalnya, dapat melindungi mereka daripada ditipu kerana kurang celik teknologi maklumat (IT).

SOKONGAN KHUSUS

Buat masa ini, portal MySkillsFuture menawarkan lebih 29,000 kursus yang merangkumi pelbagai bidang termasuk yang unik seperti penjagaan haiwan peliharaan.

Ini bukan jumlah yang sedikit.

Dengan begitu banyak pilihan, tidak hairan ia juga mungkin menjadi hambatan kepada sesiapa saja yang baru berjinak-jinak mahu pertingkatkan kemahiran.

Melihat pengalaman ibu bapa saya sendiri, tanpa bimbingan peribadi, amat sukar bagi mereka mendaftarkan diri dan membuat tuntutan kredit SkillsFuture.

Justeru, walaupun terdapat pelbagai inisiatif SkillsFuture dijalankan di peringkat nasional, masih ada keperluan bagi melaksanakan usaha mendekati masyarakat Melayu secara khusus.

Rangkaian sedia ada dalam masyarakat Melayu boleh dimanfaatkan bagi mengisi jurang ini.

M KuasaTiga (M³) malah baru-baru ini telah menubuhkan M³@Bandar yang ke-12 dengan meluaskan jangkauannya ke Punggol.

Yayasan Mendaki pula dilaporkan akan menempatkan 13 pegawai perhubungan di serata negara untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada keluarga Melayu.

Memandangkan gerakan M³ dan Mendaki mempunyai rangkaian di estet perumahan, kelebihan ini boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai SkillsFuture dalam kalangan orang kita.

Bagi mendekati golongan warga senja pula, program Santunan Emas yang dikendali hasil kerjasama Masjid Al-Muttaqin, Masjid Darul Makmur, Masjid Yusof Ishak, Ma:een dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah, boleh dijadikan platform.

Inisiatif SkillsFuture selari dengan matlamat program ini yang bertujuan memberi bukan saja pengisihan rohani, malah menyokong aspek jasmani, kognitif dan sosial.

Pihak masjid justeru boleh bekerjasama dengan penyedia khidmat latihan untuk mengadakan sesi roadshow yang menempatkan pendamping bagi memberi ‘coaching’ peribadi kepada jemaah warga senja – daripada mula memilih kursus kepada proses membuat tuntutan kredit SkillsFuture.

Kita sudah pun mempunyai rangkaian mendekati masyarakat Melayu, kini masanya meluaskan lagi skop bagi memastikan usaha pemerintah dapat dimanfaatkan lebih ramai anggota masyarakat.

Yang penting, usaha meningkatkan kemahiran diri tidak seharusnya terhenti hanya kerana kredit SkillsFuture bakal luput pada 31 Disember.

Sebaliknya, ia patut dijadikan pencetus semangat untuk segera memulakan perjalanan pembelajaran sepanjang hayat masing-masing kerana perjalanan itu tidak akan ada tarikh akhir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg