Topik diikuti
Pergi ke BHkuMengerat hubungan, persiap minda di era konflik
Mengerat hubungan, persiap minda di era konflik
Ketika terjadi konflik di luar negara yang mendorong ke arah politik identiti atau agama, warga harus ambil pendekatan bina jambatan, terutama jika ia libatkan kelompok minoriti
Mengerat hubungan, persiap minda di era konflik
Di tengah-tengah konflik sejagat seperti perang Amerika Syarikat-Iran dan Israel-Lebanon, isu hubungan antara agama sering menjadi sorotan.
Kita akur bahawa akar permasalahan adalah persoalan politik.
Namun, ia juga memicu isu perkauman, termasuk identiti agama dan etnik.
Ini terjadi kepada semua kelompok agama.
Contohnya, Gerakan 969 di Myanmar menggunakan agama Buddha untuk menegakkan ideologi etno nasionalisme sehingga terjadi keganasan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.
Begitu juga ideologi Hindutva yang tegar di India sehingga menyebabkan penindasan terhadap golongan minoriti bukan Hindu.
Golongan haluan kanan tegar (far right) di Amerika juga menggunakan agama Kristian untuk menegakkan dominasi dan ketuanan bangsa golongan kulit putih.
Golongan pelampau sayap kanan di Israel juga turut menggunakan agama Yahudi untuk kepentingan ideologi Zionisme politik.
Tidak kurang juga kewujudan kelompok pengganas yang menunggang agama Islam demi kepentingan politik mereka.
Dalam erti kata lain, setiap kelompok agama mempunyai pelampau masing-masing.
Mereka berada di spektrum paling hujung dan mewajarkan keganasan dan dominasi demi kepentingan ideologi politik.
Mereka menggunakan sumber agama dan kerap memainkan sentimen keagamaan untuk meyakinkan, merekrut dan menegakkan perjuangan ideologi mereka.
Oleh itu, masyarakat umum harus dididik agar mengenal pasti taktik dan naratif yang digunakan.
Naratif Pelampau
Terdapat dua corak berfikir yang paling ketara di dalam menopang naratif pelampau.
Pertama, ialah mentaliti pengepungan (siege mentality) di mana sesuatu kaum atau agama dipaparkan sebagai terancam dan diserang oleh pihak musuh di mana-mana pun.
Corak berfikir seperti ini membangkitkan naluri untuk bertindak dan melawan tanpa mengira konteks dan persoalan benar atau salah.
Sebagai contoh, kelompok pengganas ISIS menggunakannya untuk meradikalisasi pengikutnya.
Umat Islam diseru menyertai perjuangan mereka kerana Islam terancam oleh musuh bukan Islam, sama ada musuh itu Barat, Kristian dan Yahudi, atau kelompok yang dianggap sesat seperti Syiah dan Ahmadiyya.
Kedua ialah corak berfikir “kita lawan mereka” (Us-Verses-Them) di mana dunia dibelah menjadi dua kategori secara binari.
Pihak ‘kita’ ditakrifkan sebagai sepenuhnya betul dan baik sementara ‘mereka’ digambarkan sepenuhnya jahat dan salah.
Fikiran hitam-putih ini kemudiannya dijadikan naratif untuk berpihak dan bermusuhan.
Ini merosakkan hubungan dua hala kerana ‘kita’ dan ‘mereka’ tidak mempunyai titik temu untuk berdialog dan saling memahami.
Kompleksiti dan nuansa ditenggelamkan di dalam sudut pandangan yang terlalu mudah.
Literasi Sejarah dan Politik
Sekiranya kita mahu melawan dua corak berfikir ini, kita perlu memupuk pemikiran kritikal yang peka bagaimana maklumat dijadikan senjata untuk menawan minda masyarakat.
Ini bermula dengan mempersoalkan framing atau rangka maklumat yang kita dapat daripada media sosial.
Kita juga perlukan literasi yang luas terhadap sejarah dan politik antarabangsa.
Kita ambil contoh konflik Israel dan Palestin.
Sering kali, ia dipaparkan sebagai konflik agama antara Yahudi dengan Islam secara semula jadi dan berkurun-kurun lamanya.
Ini tidak tepat.
Sepanjang sejarah, umat Yahudi hidup dengan aman di kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara yang berada di bawah pemerintahan Islam.
Di bawah pemerintahan Umayyad di Andalusia, kaum Yahudi mengalami Zaman Keemasan mereka.
Malah, sewaktu Monarki Katolik mengusir keluar golongan Yahudi dari Sepanyol pada abad ke-15, empayar Uthmaniyah memberikan perlindungan kepada mereka.
Jadi, agama bukanlah faktor permusuhan.
Ini berubah pada awal abad ke-20 akibat percaturan politik pihak Britain dan Perancis melalui Perjanjian Sykes-Picot (1916), Deklarasi Balfour (1917) dan kemunculan gerakan politik Zionisme.
Jadi, kita harus bertanya apakah yang senyap atau tidak dibincangkan.
Sekiranya kita sedar akan hubungan aman antara Yahudi dengan Arab Muslim di dalam sejarah, kita tidak akan mudah terbawa-bawa oleh sentimen anti-Yahudi sehingga menggambarkan kelompok Yahudi melalui stereotaip yang memicu kebencian terhadap kelompok.
Persoalan Israel dan Palestin adalah persoalan politik yang muncul pada abad ke-20.
Fahami Konteks
Memahami konteks terjadinya sesebuah konflik juga penting.
Perang Amerika-Iran yang berlarutan boleh kita jadikan contoh.
Naratif yang sering kita dengarkan ialah Amerika wajar menyerang Iran sebagai langkah pencegahan terhadap Iran yang ‘hampir’ mewujudkan senjata nuklear.
Rejim Iran juga digambarkan sebagai sangat zalim sehingga wajar ditumbangkan secara paksa oleh negara luar.
Dua naratif ini menyudutkan beberapa maklumat lain yang jarang diketahui umum.
Pertama, ialah wujudnya perjanjian formal yang disebut sebagai Pelan Tindakan Menyeluruh Bersama (JCPOA) pada 2015 yang dipersetujui oleh Iran untuk membataskan penghasilan uranium kepada 3.67 peratus (jauh di bawah kapasiti untuk membuat bom nuklear).
Perjanjian ini juga mengehadkan penyimpanan bekalan di bawah 300 kilogram dan pantauan ketat dilakukan oleh IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa).
Pemerintah Iran menerima syarat ini kerana didorong oleh pandangan agama, termasuk fatwa daripada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, yang mengharamkan pembuatan bom nuklear.
Fatwa ini pernah disebut oleh mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, dan juga dinyatakan oleh beberapa pegawai tinggi ketenteraan dan perisik negara Iran.
Hanya setelah Amerika menarik diri daripada perjanjian ini pada 2018 (penggal pertama Encik Donald Trump sebagai Presiden Amerika) barulah negara Iran tidak lagi mematuhi komitmennya mengenai pengayaan uranium.
Iran menganggap perlu mengutamakan keselamatan negara kerana berasa terancam dengan dasar luar negara Amerika dan Israel yang kian agresif.
Yang sering disenyapkan juga di dalam persoalan kepimpinan teokratik Iran ialah sejarah mengapa Revolusi Iran muncul pada 1979.
Oleh kerana sumber minyak mahu diambil semula oleh negara Iran setelah berdekad dieksploitasi kuasa imperial British, Encik Mohammad Mosaddegh – Presiden Iran yang dipilih secara demokratik – telah dijatuhkan melalui rampasan kuasa oleh Encik Reza Shah, dengan bantuan Amerika dan Britain pada 1953.
Encik Reza Shah yang dilantik menjadi raja memerintah dengan kuku besi sehingga terjadilah pemberontakan.
Akhirnya, sistem monarki pimpinan Encik Reza Shah, diruntuhkan dan didirikan negara republik pimpinan ulama Syiah yang bergelar wilayat al-faqih.
Jelasnya, celik sejarah dan pemahaman konteks boleh mengawal kecenderungan untuk berfikir secara hitam-putih.
Ia akan membuat kita lebih sederhana di dalam sikap supaya pertimbangan kita tidak terbawa-bawa oleh emosi untuk langsung berpihak dan bertindak demi kepentingan golongan tertentu yang mahu mengeksploitasi keadaan yang muncul.
Jaga Kepentingan Bersama
Sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, kita harus bijak mengharungi segala maklumat yang kita terima.
Ini penting kerana kesan daripada konflik di luar negara dapat tersilap sasaran kepada kelompok-kelompok di Singapura yang terpisah daripada konteks di negara-negara tersebut.
Contohnya, jika terjadi keganasan yang dilakukan oleh kelompok Muslim di negara lain, tidak wajar jika umat Islam di Singapura dipandang serong seolah-olah mereka bertanggungjawab atas kelakuan Muslim di negara lain.
Begitu juga kita tidak wajar membangkitkan permusuhan dengan kelompok Yahudi Singapura semata-mata kerana identiti agama mereka.
Ketika terjadi konflik di luar negara yang mendorong ke arah politik identiti atau agama, kita harus mengambil pendekatan membina jambatan, terutama jika ia melibatkan kelompok minoriti.
Sebagai contoh, apakah kita sudah mendekati kelompok Syiah sewaktu tercetusnya Perang Amerika-Iran dan cuba memahami kebimbangan mereka kerana ada yang mungkin mempunyai keluarga dan sahabat handai yang hidup di dalam ketakutan?
Sudahkah kita membuka ruang dialog dengan teman-teman Kristian ketika kelompok militan Islamis, Boko Haram, menyerang gereja di Nigeria?
Apakah kita dapat bersatu mengutuk keganasan oleh sesiapa pun dan di mana-mana jua pun atas dasar kemanusiaan bersama?
Sebagai negara yang majmuk, kita perlu bersatu di dalam mempertahankan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi sekarang ini.
Ini tidak bermakna kita tidak mengendahkan kesengsaraan orang lain di luar negara.
Kita turut prihatin dan mengambil langkah wajar seperti menyumbang kepada bantuan kemanusiaan.
Apa yang tidak wajar kita lakukan ialah mendukung keganasan dalam apa jua bentuk pun.
Menuntut keadilan haruslah mengambil kira keselamatan golongan awam dan tidak melanggar batas undang-undang yang menjaga keamanan bersama.
Inilah tugas kita sebagai penduduk Singapura.
Walaupun wujud ketegangan, konflik dan perang di negara lain, janganlah ia membuat kita bermusuhan sesama sendiri.
Ini tidak mudah dan kita tidak harus sepenuhnya mengharapkan pemerintah untuk menjaga keamanan negara.
Kita harus turut memainkan peranan, sekecil mana pun.
Kita boleh bermula dengan memperbaiki hubungan kejiranan dan kemudian membina persahabatan dengan golongan yang tidak kita kenali dan fahami.
Namun, ini bermula dengan sikap dan persiapan diri untuk mempertingkatkan ilmu kita mengenai apakah yang berlaku di dunia dan berfikir dengan jelas, mendalam dan tidak terbawa-bawa dengan sentimen dan corak pandang yang menabur kebencian terhadap sesuatu kelompok.
Ini akan membantu kita di dalam pertimbangan dan bersama-sama memastikan masyarakat tidak terpecah belah walaupun mempunyai pendirian masing-masing.
Penulis ialah Pengasas dan Pengarah, Dialogue Centre Limited.
