Ulang tahun diplomatik antara dua negara pada November 2025 ditandatangani dengan inti pati pilihan strategik.

Lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Mexico bagi meraikan 50 tahun hubungan diplomatik rasmi terjalin pada 1975, mewakili peralihan geostrategik ke Amerika Latin yang berfaedah dan tepat pada masanya.

Pengumuman Singapura akan menubuhkan kedutaannya yang pertama dalam dunia berbahasa Sepanyol di Bandar Mexico menjelang 2026 adalah bersejarah dan jauh lebih daripada peningkatan prosedur sahaja.

Sebaliknya, langkah itu merupakan isyarat geopolitik dan ekonomi yang jelas; dan sebagai perkongsian yang telah lama dilakukan secara senyap-senyap oleh kedua-dua negara, dengan ia kini kelihatan bersedia menentukan koridor baharu perdagangan dan strategi abad ke-21.

Dalam era rantaian bekalan yang berpecah belah akibat gangguan teknologi dan tarif sehala, dan kini diburukkan oleh konflik geopolitik di Timur Tengah antara Amerika dengan Iran, hubungan yang kian erat antara negara kota Asia (Singapura) dan gergasi Amerika Latin (Mexico) itu menawarkan kajian kes yang menarik dalam bidang kenegaraan yang pragmatik dan berpandangan ke hadapan.

Selama beberapa dekad, hubungan diplomatik antara Mexico dengan Singapura wujud dengan selesa dan mesra dalam parameter luas forum pelbagai hala.

Sebagai rakan ahli Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan melalui penghubungan dengan Forum untuk Kerjasama Asia Timur-Amerika Latin (Fealac), interaksi mereka semakin meningkat daripada penglibatan dua hala sahaja kepada penjajaran diplomatik luas dalam isu sejagat.

Pada 2018, kedua-dua negara menandatangani  Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas-Pasifik (CPTPP).

Ini adalah perjanjian pelbagai hala yang terdiri dari 12 negara dan kawasan perdagangan bebas keempat terbesar di dunia mengikut Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).

Sokongan Singapura sebagai anggota Asean juga amat penting kerana Mexico sedang bersedia untuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Ia merupakan langkah penting untuk Mexico menjadi rakan dialog rasmi Asean; seterusnya menandakan peralihan strategik untuk meningkatkan hubungannya dengan Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, jarak fizikal dan budaya yang jauh di antara mereka seolah-olah menentukan had semula jadi.

Dasar luar Singapura, yang terkenal tangkas dan dipacu dari segi ekonomi, sangat tertumpu pada kejiranan Asia Tenggara yang terdekat dan perkongsian pentingnya dengan negara lebih besar dan berpengaruh seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi Mexico, sebaliknya, ia melihat nasib ekonomi antarabangsanya melalui prisma sempadan utara yang tidak dapat dielakkan, iaitu dengan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) dari 1994 hingga 2020 dan kini Perjanjian Amerika-Mexico-Canada (USMCA) sejak 2020, yang menentukan rentak aliran perdagangan dan pelaburan secara keseluruhannya.

Oleh kerana tumpuan luar Mexico yang lain secara tradisinya merentasi Atlantik ke Eropah, benua Asia – walaupun diiktiraf sebagai penting – sering kekal sebagai teater sekunder untuk penglibatan aktif dan berterusan.

Konteks sejarah berbeza antara Singapura dengan Mexico menjadikan pertalian baru-baru ini lebih menarik.

Keputusan memacak bendera Singapura secara kekal di Bandar Mexico adalah kemuncak penilaian semula secara sedar dan bersama terhadap geografi strategik.

Memandangkan Singapura adalah sebuah negara yang kelangsungan hidupnya bergantung pada peranannya sebagai pemain sejagat, Mexico mewakili pintu masuk genting, yang sehingga kini, Singapura tidak mempunyai akses langsung.

Oleh itu, berhubung dengan Mexico secara mendalam dan sistematik merupakan jambatan penghubung penting untuk Singapura meraih akses pasaran bersepadu yang luas di Amerika Utara melalui USMCA, dengan perbelanjaan penggunanya yang tinggi dan ekosistem perkilangannya yang maju.

Lebih daripada itu, perhubungan Mexico-Singapura adalah wadah tepat bagi Singapura mendapatkan akses pasaran Amerika Latin yang pelbagai dan berkembang.

Oleh kerana syarikat Singapura dikenali sebagai peneraju dunia dalam pengurusan pelabuhan, logistik, teknologi kewangan atau ‘fintech’ dan kewangan hijau, ia juga membawa manfaat kepada pemerintah Mexico yang sedang lama berusaha memodenkan prasarananya, mempelbagaikan ekonominya dan beralih kepada industri bernilai lebih tinggi.

Apatah lagi model tadbir urus cekap dan teknokratik Singapura adalah model yang semakin menarik minat penggubal dasar Mexico yang menangani cabaran pembangunan yang kompleks. 

Menariknya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura dan Parti Revolusi Institusi Mexico (PRI) adalah dua parti paling lama memerintah dalam sejarah politik.

Sedang PAP memerintah Singapura tanpa gangguan selama 67 tahun sejak 1959, PRI telah memimpin Mexico selama 71 tahun dari 1929 hingga 2000, sebelum dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum pada 2000.

Bagi Mexico, Singapura menawarkan pintu masuk unik dan berkuasa di tengah-tengah Asia Tenggara, termasuk melalui Asean, dan sekali gus bidang ekonomi Asia yang lebih luas, termasuk dengan rantau Asia Timur Laut seperti China dan Jepun.

Ini kerana Mexico tidak berpuas hati untuk menjadi hab perkilangan untuk kegunaan bahagian utara sahaja; sebaliknya ia berhasrat mempelbagaikan perkongsian perdagangannya dan menarik lebih banyak pelaburan berkaliber yang berbeza.

Dengan kumpulan wang dana kekayaan negara dan modal swasta, status Singapura sebagai ibu pejabat serantau untuk banyak syarikat berbilang negara dan reputasinya sebagai pusat timbang tara dan perniagaan berasaskan peraturan yang neutral, menjadikannya rakan kongsi yang ideal bagi Mexico untuk mengalihkan tumpuan ke arah Singapura.

Pegawai Mexico melihat Singapura bukan sahaja sebagai pelabur berpotensi, bahkan juga perintis dalam bidang seperti kemudahan perdagangan, pembangunan bandar pintar dan perumahan awam – ini adalah sektor kecemerlangan Singapura yang diiktiraf di peringkat sejagat.

Tambahan pula, dalam dunia di mana keselamatan ekonomi menjadi paling penting, mempelbagaikan rantaian bekalan daripada penumpuan berlebihan dalam satu rantau sahaja merupakan keutamaan kedua-dua negara.

Koridor ekonomi Mexico-Singapura yang lebih kukuh boleh menawarkan laluan gantian yang berdaya tahan, yang dapat menghubungkan Amerika dengan Asia.

Yang baiknya ialah penglibatan peringkat tinggi antara kedua-dua pemerintah Mexico dan Singapura telah dipergiat, bergerak lebih daripada ulang tahun perayaan kepada perbincangan bermakna.

Salah satu contoh ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang telah melawat Tentera Laut Heroica Escuela Mexico yang berlabuh di Singapura pada Ogos 2024.

Dikenali sebagai diplomasi pertahanan dua hala, ia memberi tumpuan kepada latihan dan pertukaran kepakaran, menekankan bahawa perkongsian dua hala berkembang melangkaui perdagangan tulen dalam membangunkan kepercayaan strategik yang lebih besar antara Mexico dengan Singapura.

Dari segi ekonomi, firma Singapura kian aktif di taman teknologi dan koridor perindustrian Mexico yang berkembang pesat, manakala barangan pertanian dan perkilangan Mexico mencari laluan lebih cekap untuk menembusi pasaran Asia melalui pelabuhan bertaraf dunia dan rangkaian logistik udara Singapura.

Namun demikian, untuk hubungan Mexico-Singapura ini melebihi potensinya dan menjadi kuasa transformatif bagi kedua-dua pihak, tataurus negara secara sedar dan kreatif diperlukan.

Penubuhan kedutaan adalah langkah pertama yang perlu, tetapi ia hanya asas institusi.

Kerja sebenar terletak pada usaha membina kepadatan rangkaian, idea dan modal yang mengubah jawatan diplomatik menjadi perkongsian dinamik.

Pertama, pemerintah Mexico dan Singapura harus mengutamakan rundingan perjanjian pelaburan dua hala yang menyeluruh, moden, sistematik dan berterusan.

Walaupun Mexico kini merupakan rakan dagangan terbesar Singapura di Amerika Latin, dengan jumlah perdagangan dua hala mencapai rekod $14.6 bilion pada 2025, rangka kerja semasa untuk bekerjasama adalah sedikit demi sedikit.

Oleh itu, seni bina undang-undang yang mantap dan bersatu diperlukan,

Ia memberikan kepastian dan perlindungan yang diperlukan untuk memangkin pelaburan Singapura berskala lebih besar ke dalam prasarana, tenaga dan teknologi Mexico, dan untuk menggalakkan perniagaan Mexico menggunakan Singapura sebagai pangkalan Asia mereka.

Potensi ekonomi masih belum direalisasikan walau terdapat lebih 200 syarikat multinasional Singapura beroperasi di Mexico, dan lebih 80 syarikat berbilang negara Mexico beroperasi di Singapura.

Kedua, mereka mesti aktif memupuk pertukaran kepakaran di universiti dan institut teknikal kerana Singapura mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang seperti perancangan bandar, pengurusan air dan tadbir urus digital.

Menubuhkan program biasiswa khusus untuk mahasiswa universiti, dan penjawat awam dan jurutera pertengahan kerjaya Mexico untuk belajar di Singapura boleh bantu mengukuhkan hubungan kededua negara melalui pertukaran diplomatik rakyat dengan rakyat.

Begitu juga, pelajar dan usahawan Singapura akan meraih manfaat yang besar daripada program menyelami budaya di Mexico, dan dengan itu, membolehkan pemahaman secara langsung tentang landskap perniagaan Amerika Latin dan budaya Hispanik, termasuk bahasa Sepanyol.

Mengikuti contoh program tahunan ‘Apec Voices of the Future’ yang diselaraskan oleh Majlis Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) di Singapura dan Majlis Pimpinan Suara Apec, perlu ada lebih banyak pertukaran belia antara Mexico dengan Singapura supaya generasi muda di kedua-dua negara dapat lebih memahami dan menghargai budaya berbeza antara satu sama lain.

Ketiga, kedua-dua negara harus memperjuangkan usaha bekerjasama secara khusus yang dapat menggunakan kekuatan mereka.

Sebagai contoh, menubuhkan hab inovasi maritim dan logistik hasil kerjasama kededua pihak boleh memanfaatkan automasi pelabuhan Singapura dan keperluan maritim Mexico.

Selain itu, usaha sama dalam teknologi pertanian mampan menggabungkan penyelidikan Singapura dalam pertanian bandar dengan kepakaran pertanian Mexico boleh menangani cabaran keselamatan makanan mereka.

Memandangkan Singapura bekerjasama dengan Mexico dalam membangunkan Koridor, Interoceanic of Isthmus of Tehuantepec (CIIT), dengan memberikan nasihat mengenai pengurusan pelabuhan dan logistik maritim, adalah penting projek itu disiapkan secepat mungkin, tarikh akhir ditetapkan pada pertengahan 2026.

Tujuan CIIT berfungsi sebagai laluan utama bagi menghubungkan lautan Atlantik dan Pasifik, serta mencipta laluan maritim alternatif kepada Terusan Panama agar dapat mengurangkan masa transit antara Asia dengan Amerika.

Menyelesaikan projek kerjasama itu adalah penting kerana ia akan meningkatkan kepercayaan dua hala dan membuka jalan untuk lebih banyak projek dilaksanakan secara bersama antara Mexico dengan Singapura demi manfaat kedua-dua negara.

Jalan ke hadapan bagi perhubungan Mexico-Singapura bukan tanpa cabarannya.

Kedua-dua negara perlu mengharungi kerumitan hubungan lain mereka yang lebih dominan.

Mexico mesti mengimbangi penglibatan Asia yang semakin meningkat dengan hubungan ekonomi yang memberangsangkan dengan Amerika Syarikat agar memastikan ia saling melengkapi dan bukan persaingan yang dirasakan. 

Bagi Singapura, ia mesti terus memberi jaminan kepada rakan kongsi tradisionalnya bahawa kedutaan baharunya di Mexico adalah untuk mempelbagaikan rakan perdagangan dan perniagaannya serta memudahkan rangkaian sejagat, bukan beralih daripada kepentingan terasnya di Asia Tenggara.

Kedutaan baru Singapura tidak harus mempunyai diplomat saja, tetapi juga atase perdagangan dan kebudayaan untuk lebih memahami kepentingan budaya dalam menjalankan perniagaan di Mexico.

Memandangkan Mexico ialah negara berbahasa Sepanyol terbesar di dunia manakala bahasa Inggeris adalah bahasa yang digunakan secara meluas di Singapura, amatlah penting untuk mengadakan usaha yang berterusan supaya dapat merapatkan pengetahuan budaya dan jurang linguistik.

Meningkatkan pengetahuan dalam kalangan orang Mexico tentang Asia Tenggara melalui Singapura dan rakyat Singapura tentang Amerika Latin melalui Mexico adalah penting bagi merapatkan wilayah Asia Tenggara dan Amerika Latin.

Justeru, adalah bijak bagi pemerintah menubuhkan institut kajian, satu khusus untuk kajian Asia Tenggara di Mexico manakala satu lagi khusus untuk kajian Amerika Latin di Singapura.

Akhirnya, hubungan Singapura-Mexico tergantung pada kepentingan nasional negara masing-masing.

Mexico-Singapura adalah perkongsian yang dijalin bukan kerana sentimen sejarah atau ketidakpastian geografi, tetapi daripada pengiraan yang jelas dalam dunia yang tidak menentu.

Melalui Singapura, Mexico menemui rakan kongsi yang berkebolehan, dipercayai dan maju dari segi teknologi agar dapat membantu cita-cita pemodenan dan kepelbagaian ekonomi sendiri.

Melalui Mexico pula, Singapura memperolehi rakan kongsi strategik di Amerika Latin, memberikannya pengaruh langsung dan pandangan tentang pasaran serantau yang amat jauh seperti benua Amerika. 

Memandangkan ekonomi sejagat menyusun semula dirinya menjadi nod serantau yang saling berkait tetapi berbeza serta akibat negatif daripada tarif Presiden Donald Trump dan perang dagangan antara Amerika dengan China, nilai jambatan merentas wilayah tidak boleh dilebih-lebihkan.

Keputusan untuk membuka kedutaan mungkin telah diumumkan untuk menandakan 50 tahun yang lalu, tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk melakarkan masa depan bersama 50 tahun mendatang. 

Untuk memastikan kemampanan hubungan dua hala itu, lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara harus dipertingkatkan, termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membuat lawatan pertamanya ke Mexico sebagai ketua negara, lebih awal.

Jika kita melihat kembali sejarah, Presiden Encik Carlos Salinas de Gortari ialah ketua negara Mexico pertama melawat Singapura pada 1990, manakala Menteri Kanan, Encik Lee Kuan Yew, adalah pemimpin Singapura pertama melawat Mexico pada 1991.

Lawatan rasmi lain ke Mexico oleh barisan pemimpin Singapura termasuk Perdana Menteri Goh Chok Tong pada 1997; Presiden Tony Tan pada 2016; Speaker Parlimen Halimah Yacob pada 2017; dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2019.

Adalah menjadi kepentingan bagi Mexico dan Singapura untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala mereka dan menyediakan pelan tindakan bagi negara lain di kedua-dua benua agar dapat meluaskan lagi jambatan Rentas-Pasifik antara Amerika Latin dengan Asia Tenggara.

Penulis ialah Penganalisis Kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore.