Sekitar tujuh tahun lalu, saya mengambil ujian asid ‘deoxyribonucleic’ atau DNA untuk mendalami asal usul keluarga.

Setahu saya sebelum ini, nenek moyang kami berasal dari Johor, Melaka, Palembang dan Pekanbaru.

Tetapi keputusan DNA menunjukkan saya juga berkemungkinan mempunyai nenek moyang dari kawasan Asia Tenggara lain seperti Filipina, Thailand, atau Kemboja, serta Asia Selatan (India).

Secara khususnya, ujian tersebut waktu itu menganggarkan penulis 68.7 peratus Filipina, Indonesia dan Melayu; 24.6 peratus Thailand dan Kemboja; 2.6 peratus Asia Selatan; 2.7 peratus orang Finland; dan 1.4 peratus Melanesia (kawasan kepulauan timur laut Australia). Peratusan lebih rendah lebih sukar dipastikan kesahihannya.

Kini, beberapa tahun kemudian, platform yang mengkaji DNA itu – diambil daripada bekas kesat dalam mulut bahagian pipi – mengemas kini model yang digunakan untuk menganggarkan campuran kaum.

Model baru itu berdasarkan algoritma yang diperhalusi menerusi kajian beberapa tahun sejak versi lama dikeluarkan.

Bezanya model baru dapat membezakan antara pelbagai suku kaum tertentu dengan lebih tepat.

Di bawah model dikemas kini, penulis dianggarkan 61.8 peratus Indonesia dan Melayu; 24.7 peratus ‘Mainland South East Asia’ merangkumi Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar atau Laos; 7.9 peratus Benggali, 4.2 peratus Filipina; 1.4 peratus Asia Tengah.

Apakah makna keputusan terbaru ini bagi penulis?

Hakikatnya, soal jati diri dan budaya melangkaui perihal DNA atau baka yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Keputusan DNA itu juga tidak ‘mentakrifkan’ identiti saya, tetapi merupakan satu permulaan yang baik untuk mendalami sejarah keluarga.

Contohnya, di bawah model baru tersebut, penulis dikenal pasti sebagai mempunyai darah Benggali, bukan sekadar ‘Asia Selatan’. Bahkan, keputusan baru itu memberi peratusan darah yang lebih tinggi untuk peratusan Benggali (7.9 peratus) berbanding hanya 2.6 peratus Asia Selatan sebelum ini.

Keputusan itu menarik kerana ia seolah-olah menguatkan lagi jangkaan keluarga kami mengenai kewujudan darah India.

Ini kerana ada di antara saudara-mara kami yang kerap ditanya jika mereka mempunyai darah kacukan. Tetapi setahu saya sebelum ini nenek moyang kami merupakan orang Melayu.

Sebenarnya, semasa membesar, kami sekeluarga kerap berbincang mengenai salasilah.

Bapa saya sendiri merakam salasilah keturunan keluarganya dari seawal lapan generasi sebelumnya (berdasarkan rekod keluarga dan buku sejarah), manakala saudara-mara di sebelah ibu juga menerbitkan buku yang menjejak susur galur.

Tetapi sejak kami (termasuk mak dan ayah saya) melakukan ujian DNA, perbincangan mengenai sejarah keluarga makin rancak.

Malah, beberapa tahun lalu, keluarga saya mengambil kesempatan bercuti di Melaka untuk bertemu dengan saudara-mara dan menjejak asal usul kami.

Kata ayah saya, datuknya (atau moyang saya) berasal dari Melaka dan berpindah ke Singapura untuk bekerja sebagai pegawai polis.

Tetapi usaha mengkaji sejarah keluarga bukan sekadar mengeratkan silaturahim atau satu hobi untuk mengisi masa lapang.

Dengan mengkaji susur galur, kita boleh menghubungkan kisah keluarga kita kepada warisan masyarakat Melayu dan sejarah Singapura yang lebih luas, sekali gus menghargai kedudukan kita di persada dunia.

Contohnya, orang Melayu yang mempunyai keturunan India boleh menjejak asal usulnya daripada rangkaian perdagangan Kesultanan Melayu Melaka atau Empayar Srivijaya, sekali gus membuktikan nenek moyang kita merupakan peserta aktif dalam salah satu koridor ekonomi terpenting dalam sejarah.

Warisan merentas generasi inilah yang telah menghasilkan identiti unik di negara ini yang melahirkan bukan sekadar budaya Melayu, bahkan budaya Melayu Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap di pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) pada 25 April, beliau berkata budaya itu berakar daripada tradisi, adat dan kepercayaan dunia Melayu merentas generasi, yang kemudian dibentuk dan ditakrifkan oleh pengalaman bersama sebagai rakyat Singapura.

Oleh itu, mengetahui sejarah ini bukan sekadar memberi gambaran mengenai masa lalu, malah ia menguatkan jati diri dan semangat kekitaan yang lebih jelas pada masa kini.

Apa yang lebih menakjubkan, usaha menyusuri masa silam bermula dari dalam diri kita; di peringkat molekul, dengan ujian DNA yang ibarat ‘membentang peta’ untuk menjejak asal usul dan penghijrahan nenek moyang kita.

Jadi, kini tujuh tahun setelah saya mengambil ujian DNA itu (dengan kit yang berharga AS$59 atau sekitar $80 waktu itu), sejauh manakah saya mendapati usaha itu berbaloi?

Sedang terdapat keprihatinan mengenai privasi data dan maklumat peribadi, ujian DNA itu bagi saya berbaloi kerana ia menjadi pemangkin yang menghidupkan semula perbualan serta jejak warisan keluarga yang hampir dilupakan.

Akhirnya, ujian DNA bukanlah sebuah noktah yang menentukan siapa kita, tetapi merupakan kunci yang membuka pintu kepada pemahaman lebih mendalam tentang akar jati diri kita sebagai orang Melayu Singapura.

“Sedang terdapat keprihatinan mengenai privasi data dan maklumat peribadi, ujian DNA itu bagi saya berbaloi kerana ia menjadi pemangkin yang menghidupkan semula perbualan serta jejak warisan keluarga yang hampir dilupakan. Akhirnya, ujian DNA bukanlah sebuah noktah yang menentukan siapa kita, tetapi merupakan kunci yang membuka pintu kepada pemahaman lebih mendalam tentang akar jati diri kita sebagai orang Melayu Singapura.”
Penulis.