Baru-baru ini, saya bersama suami menonton filem ‘Michael’ di pawagam Golden Village (GV) yang terletak di pusat beli-belah City Square.

Harga satu tiket pada malam Selasa ialah $12.50 di teater Gemini, yang menawarkan kerusi lebih besar daripada biasa.

Setelah sekian lama tidak ke pawagam, kami dapati harga tiketnya agak berpatutan, apatah lagi dengan tempat duduk yang selesa.

Seingat saya, kali terakhir kami ke pawagam mungkin tahun lalu (2025) di Johor Bahru, dan kali terakhir di Singapura pula sekitar dua tahun lalu (2024).

Sememangnya industri pawagam di Singapura, dan malah di serata dunia, kini menghadapi cabaran untuk bertahan dengan cita rasa pengguna yang berubah.

Menurut perangkaan Suruhanjaya Filem Singapura, kehadiran di panggung wayang setempat telah merosot daripada 18.46 juta pada 2019 kepada 8.4 juta pada 2024, iaitu kemerosotan 54.5 peratus.

Terbaru, rangkaian Golden Village mengumumkan bakal menutup operasinya di Plaza Singapura setelah 28 tahun. Ini sedang pusat beli-belah di Orchard Road itu bakal menjalani kerja peningkatan besar-besaran.

Selain Golden Village, satu lagi rangkaian pawagam utama yang masih bertahan di Singapura ialah Shaw Theatres.

Satu lagi pemain utama sebelum ini, Cathay Cineplexes, pula menutup semua cawangannya pada 2025.

Kemunculan pelbagai platform penstriman seperti Netflix, Disney+ dan Prime menawarkan pengalaman menonton filem dan pelbagai jenis kandungan lain di kaca televisyen di rumah mahupun menerusi telefon bimbit di mana-mana sahaja.

Dengan ratusan tajuk filem atau siri yang ditawarkan dalam setiap platform penstriman, pengguna lazimnya mengambil masa yang lama untuk ‘scroll’ atau menatal sebelum memilih apa yang ingin ditonton.

Inilah ‘paradoks pilihan’ – anda mempunyai terlalu banyak pilihan sampai sukar membuat keputusan.

Pengalaman menonton tayangan di pawagam pula jauh berbeza. Anda lazimnya sudah membuat pilihan terdahulu. Anda komited terhadap pilihan anda, dan terus ke pawagam untuk menikmati pengalaman menonton filem tersebut di layar besar bersama penonton lain.

Peminat pawagam berkata ia menawarkan satu fenomena psikologi yang dikongsi bersama.

Dengan menonton filem di pawagam, anda mungkin ketawa, menangis atau mengalami kejutan bersama dengan orang lain yang tidak dikenali.

Pengalaman kolektif ini tidak boleh diraih menerusi tontonan secara sendirian di rumah.

Platform penstriman mengubah satu kegiatan sosial atau pengalaman budaya menjadi satu tabiat pasif yang terasing.

Oleh itu, masih ramai yang menganggap pengalaman menonton filem di pawagam sebagai bernilai.

Malah, lebih ramai warga Singapura dilaporkan mengunjungi pawagam di seberang Tambak, tertarik dengan harga yang lebih rendah.

Satu tiket di pawagam GSC di Mid Valley Southkey berharga RM26.50 ($8.40) untuk tayangan pada Sabtu.

Ada juga yang mungkin sanggup bayar harga lebih tinggi untuk menikmati pengalaman menonton filem dalam suasana lebih mewah.

Aurum Theatre di GSC Mid Valley menawarkan tempat duduk jenis ‘recliner’ atau boleh dibaringkan dengan kusyen yang empuk. Alasnya ditukar selepas setiap tayangan.

Harga tiket di pawagam mewah sedemikian ialah RM160 atau sekitar $50, termasuk makanan dan minuman.

Harganya mungkin agak setanding dengan pengalaman mewah ‘Gold Class’ di Singapura yang harganya sekitar $28 (hari biasa) hingga $45 (hujung minggu) tidak termasuk makanan.

Rangkaian pawagam di Singapura kini mencuba sedaya upaya untuk menarik pelanggan untuk kembali ke panggung wayang, termasuk memenuhi permintaan bagi pengalaman menonton filem dalam suasana lebih selesa.

Contohnya, Shaw Theatres bakal menawarkan lebih banyak pawagam dengan tempat duduk lebih empuk, skrin lebih luas, atau yang lebih mesra kanak-kanak.

Pengarah Shaw Organisation, Encik Mark Shaw, memberitahu The Straits Times format lebih premium ini mendapat kadar sambutan lebih tinggi, berbanding tawaran biasa.

Beliau berpendapat pengalaman pawagam harus menawarkan sesuatu yang dapat mendorong orang ramai untuk keluar daripada keselesaan rumah mereka.

Apakah yang akan mendorong anda untuk kembali ke pawagam?

Jawapannya mungkin tidak lagi sekadar skrin yang lebih besar atau tempat duduk lebih selesa.

Pawagam harus menawarkan pengalaman yang membolehkan orang ramai untuk menyelami keajaiban dunia filem.

Ia boleh menjadi tempat untuk orang ramai menjalani ‘detoks digital’ iaitu memutuskan sambungan daripada dunia digital, menyimpan telefon bimbit di dalam beg, dan membolehkan penonton menghayati sebuah cerita tanpa gangguan luar.

Teknologi penstriman di rumah mungkin berjaya menawarkan keselesaan individu menonton kandungan di rumah sendiri.

Namun, skrin televisyen atau telefon pintar tidak akan pernah dapat menggantikan fitrah manusia yang mendahagakan pengalaman bersama.