Baru-baru ini, bapa saya memaklumkan dalam kumpulan sembang keluarga yang beliau belum lagi gunakan kredit Pas Budaya SG kerana tidak tahu program menarik apa yang boleh disertai.

Saya juga belum sempat menggunakan kredit bernilai $100 ini dan justeru terpanggil untuk melayari laman web rasmi bagi menyarankan acara keluarga yang boleh kami tonton bersama dalam masa terdekat.

Secara ringkas, inisiatif Pas Budaya ini dilancarkan pemerintah pada 1 September 2025 bagi memacu sektor warisan dan seni tempatan dan boleh ditebus sehingga 31 Disember 2028.

Kredit pas ini boleh digunakan bagi menonton persembahan teater, konsert, filem, serta menyertai pelbagai bengkel dan pameran, selain membeli buku karya sastera Singapura (SingLit).

Namun, setelah meninjau laman web rasmi (www.sgculturepass.gov.sg), platform Esplanade, Taman Warisan Melayu (TWM), malah aplikasi pihak ketiga seperti Klook, saya dapati program yang berkaitan dengan budaya Melayu masih agak terhad.

Di manakah gemersik muzik asli seperti dondang sayang, pementasan bangsawan, lantunan bait-bait puisi serta tarian lemah gemalai yang menonjolkan keindahan budaya Melayu?

SEKILAS PROGRAM

Apabila meneliti senarai di laman rasmi SG Culture Pass, acara dibahagikan secara teratur kepada enam kategori: Warisan, Seni Visual, Filem, Teater, Muzik dan Tarian, serta Seni Penulisan.

Antara program yang berkaitan masyarakat atau budaya Melayu yang tersenarai termasuk program jejak warisan yang menonjolkan kehidupan kampung di Pulau Ubin, Lorong Buangkok atau sejarah Kampong Gelam.

Terdapat juga aktiviti interaktif seperti bengkel menganyam ketupat, bengkel lukisan batik dan bengkel memasak lauk Melayu.

Memandangkan acara jejak warisan yang lazimnya mengambil masa beberapa jam dan perlu berjalan lama, saya cuba pula mencari program pementasan, yang lebih sesuai dihadiri warga senja.

Bagaimanapun, satu-satunya pementasan kontemporari tempatan yang tersenarai ialah ‘Charged’ oleh Teater Ekamatra (karya Chong Tze Chien arahan Mohd Fared Jainal) yang akan dipentaskan mulai 23 Julai ini.

Meneliti sinopsisnya, naskhah ini mengupas ketegangan di sebuah kem tentera apabila seorang askar Cina dan askar Melayu mati ditembak, sekali gus mempersoalkan isu ketaatan askar.

Dengan klasifikasi pementasan khusus untuk penonton berusia 18 tahun ke atas kerana temanya yang agak sensitif dan berat, rasanya ia kurang sesuai ditonton bersama kedua orang tua saya kerana kami mahukan acara yang santai.

Nampaknya tiada program budaya Melayu lain pada bulan ini yang benar-benar berkenan di hati kami.

Saya akur kami mungkin sudah terlepas mengikuti beberapa program di bawah kredit Pas Budaya ini yang telah mendapat sambutan hangat.

Antaranya, pementasan ‘Yusof: Portrait of a President’ di Esplanade mengenai kisah hidup Presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak, pada Oktober 2025 oleh Teater Ekamatra juga.

Satu lagi acara yang mendapat sambutan ialah persembahan teater muzik dan tarian ‘Rimba Sakti’ oleh kumpulan Nadi Singapura pada Oktober 2025 yang turut menampilkan alat muzik tradisional seperti rebana, gendang, kompang dan gong.

LANGKAH PROAKTIF

Pada masa yang sama, bagi memastikan Pas Budaya benar-benar inklusif dengan peminat seni Melayu mempunyai lebih banyak pilihan acara, beberapa langkah proaktif perlu diambil.

Antaranya, Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) boleh memberi bimbingan dan dana geran tambahan kepada syarikat teater, kumpulan tarian tradisional dan persatuan muzik Melayu tempatan untuk mendaftarkan acara mereka di bawah skim pas ini.

Proses pendaftaran acara yang lebih mesra penggiat seni bebas (SEP) akan menggalakkan lebih banyak penerbitan bertiket dihasilkan.

Kerjasama antara artis Melayu dengan kumpulan seni etnik lain juga boleh digalakkan.

Sebagai contoh, persembahan hibrid yang menggabungkan alat muzik kompang bersama paluan dram Cina atau India dalam satu konsert di Esplanade akan menarik minat audiens yang lebih luas.

Taman Warisan Melayu (TWM) yang kini berwajah baru juga boleh memperbanyakkan bengkel ‘masterclass’ hujung minggu – seperti seni silat, penulisan skrip teater kontemporari Melayu, atau kelas masakan Nusantara berpandukan sejarah.

Acara pendidikan seperti ini amat sesuai dipasarkan kepada golongan belia yang memegang kredit pas tersebut.

Inisiatif Pas Budaya adalah satu peluang keemasan yang tidak harus disia-siakan.

Memperkayakan pengisian acara Melayu dalam ekosistem ini bukan sahaja membantu memelihara identiti kita, malah memperkukuh industri kreatif tempatan, selain memberi peluang kepada masyarakat lain lebih mengenali budaya kita juga.

TEROKA BUDAYA LAIN

Seiring dengan tarikh akhir penggunaan kredit ini yang dilanjutkan sehingga akhir 2028, masih ada banyak masa lagi untuk menantikan program yang sesuai untuk saya sekeluarga hadiri.

Namun pada masa yang sama, ini mungkin satu panggilan agar saya sekeluarga lebih terbuka untuk menghayati program budaya kaum lain.

Mengapa tidak kita gunakan peluang ini untuk menghadiri persembahan simfoni Orkestra Simfoni Singapura (SSO), atau pementasan muzik klasikal Cina dan India yang sebelum ini tidak banyak peluang untuk kita tonton?

Langkah mencuba sesuatu yang baru ini tidak akan sesekali mengurangkan jati diri kita sebagai anak Melayu; malah ia memperkayakan lagi pemahaman kita sebagai warga Singapura yang hidup bersilang budaya.