Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makin dewasa, makin sedikit kawan...

Dec 21, 2025 | 5:30 AM
Kedewasaan mengajar kita bahawa hubungan yang tenang dan bermakna lebih berharga daripada rakan yang ramai tetapi terasa kosong.
Kedewasaan mengajar kita bahawa hubungan yang tenang dan bermakna lebih berharga daripada rakan yang ramai tetapi terasa kosong. - Foto PIXABAY

Mengimbas kembali kenangan lebih lima tahun lalu, hujung tahun saya semestinya padat dengan pelbagai rancangan.

Nak hadir perhimpunan rakan ini, nak berjumpa berdua dengan rakan itu, nak keluar berjalan dengan kumpulan rakan lain pula.

Tetapi kini, apabila berpijak kepada realiti semasa, saya mendapati diri ini berdepan cabaran yang berbeza.

Sukar bagi saya untuk memberi jawapan segera apabila diminta hadir bagi perjumpaan besar yang dianjurkan rakan.

Bukan apa, banyak perkara lain perlu difikirkan seperti komitmen keluarga, pekerjaan, anak-anak, dan sebagainya – tidak seperti dahulu di mana diri ini ‘single’.

Saya sebenarnya tidak pernah menyangka akan mengalami fasa kehidupan ini.

Maklumlah, saya memang suka membuat kawan dan mudah terasa ‘FOMO’ (fear of missing out) – perasaan takut ketinggalan – jika tidak hadir untuk acara sosial.

Tetapi inilah realiti kehidupan yang perlu saya telan.

Semakin dewasa, semakin kecil lingkaran sosial, semakin sedikit rakan yang dipegang erat.

Hakikatnya, semua sibuk dengan kehidupan masing-masing, tidak seperti zaman persekolahan yang terdapat ‘ruang semula jadi’ untuk berinteraksi setiap hari dan bersua muka.

Berjumpa dengan rakan setelah berpindah ke alam pekerjaan memerlukan usaha berlipat ganda, mentelah lagi apabila masing-masing sibuk mendaki tangga kerjaya, memulakan alam rumah tangga dan membina keluarga.

Saya akui, dalam kesibukan mengimbangi komitmen sendiri, saya kerap terlepas beberapa pertemuan sehinggakan ada rakan yang tidak menjemput saya ke majlis perkahwinan mereka.

Tup tup... gambar mereka muncul di Instagram Story saya.

Memang diri tidak menyalahkan mereka.

Hati tidak tergores sedikit pun kerana memang sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa ada sahabat akan terus kekal, ada pula yang akan terpisah jalan.

Sedang saya meningkat dewasa, ciri-ciri yang saya inginkan dalam rakan pun makin tinggi jangkaannya.

Kesabaran saya untuk menahan ‘drama’ makin menipis, dan saya tak kuasa nak kekalkan persahabatan di mana rakan itu bersikap acuh tak acuh.

Kini pada usia 30 tahun, rakan yang saya benar-benar boleh gelar sahabat sejati boleh dikira jari.

Tak perlu selalu berjumpa, tetapi bila bertemu sekali sekala, rasanya seolah tiada jarak antara kita.

Walaupun saya sudah selesa dengan keadaan ini, saya turut ingatkan diri saya agar tidak leka.

Saya perlu terus berusaha menjalinkan persahabatan baru dengan orang baru walaupun di luar zon keselesaan diri.

Tapi pada masa yang sama, persahabatan lama yang berharga harus terus dipelihara.

Ini penting sedang saya meningkat dewasa dan satu hari nanti bakal meniti usia senja.

Menurut kajian, selain meningkatkan mood, kehidupan sosial yang aktif juga mungkin membantu mengekalkan ketajaman minda pada usia tua.

Individu berumur yang terasing secara sosial berdepan dengan risiko lebih tinggi sebanyak 26 peratus untuk menghidap demensia, sementara mereka yang rasa sepi mempunyai risiko lebih tinggi sebanyak 32 peratus.

Lama kelamaan, kurangnya keterhubungan sosial dikaitkan dengan risiko lebih tinggi mengalami masalah memori dan isu kognitif.

Menurut catatan Alami Clinic by Dr Farhan, berinteraksi dengan orang lain menggalakkan stimulasi mental yang memerlukan otak untuk bergerak.

Senaman mental ini membantu memastikan otak kekal berdaya tahan sewaktu kita menua.

Walaupun usia saya baru 30 tahun, ini peringatan baik buat diri ini supaya tidak ambil sambil lewa persahabatan yang kini ada, ataupun ‘malas’ untuk bersosial dengan teman baru.

Hakikatnya, manusia adalah makhluk sosial yang sentiasa perlu teman untuk meluahkan perasaan, dan teman untuk berdamping dalam menempuh hidup.

Dalam dunia yang serba moden dan digital, tidak susah sebenarnya untuk bertanya khabar, walaupun menerusi teks, panggilan telefon atau mesej di media sosial.

Persahabatan memerlukan dua tangan untuk bertepuk.

Tidak mengapa kalau lingkaran teman itu kecil, asalkan ia berkualiti, dan membuat diri kita merasa cukup, dihargai, dan diterima apa adanya.

Kedewasaan memang mengajar kita bahawa hubungan yang tenang dan bermakna lebih berharga daripada rakan yang ramai tapi terasa kosong.

Namun dalam memelihara persahabatan itu, jalin persahabatan baru, kerana siapa tahu, mereka bakal menjadi sahabat setia yang akan mendampingi kita hingga usia senja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg