Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejayaan atlet S’pura membanggakan tapi saingan kian sengit

Dec 28, 2025 | 5:30 AM
lidah pengarang
Lidah pengarang -

Kepulangan para atlet Singapura daripada Sukan SEA di Bangkok dengan membawa pulang 202 pingat – 52 emas, 61 perak dan 89 gangsa – pastinya membanggakan seluruh negara.

Setinggi-tinggi tahniah wajar diucapkan kepada Team Singapore atas pencapaian cemerlang ini.

Sepanjang temasya tersebut, atlet Singapura berjaya mencipta 12 rekod Sukan SEA, 11 rekod kebangsaan serta 29 pencapaian peribadi terbaik.

Usaha, ketabahan, kesungguhan dan keazaman yang ditunjukkan dalam mencipta kejayaan bersejarah ini sememangnya layak diberi penghargaan.

Semangat juang yang tinggi, khususnya keinginan untuk mengibarkan bendera negara, telah menyentuh hati ramai serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

Detik-detik istimewa ini mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan atlet negara.

Kegigihan yang tidak pernah luntur ini juga bukan sahaja mengharumkan nama Singapura, malah menyemarakkan impian dan minat atlet lain untuk mencontohi kejayaan mereka.

Prestasi cemerlang atlet muda pula, yang menyumbang separuh daripada keseluruhan pingat, meletakkan Singapura pada kedudukan yang lebih kukuh untuk bersaing dalam temasya sukan antarabangsa pada masa hadapan.

Antara pencapaian membanggakan termasuk atlet karate, Marissa Hafezan, yang mengukir sejarah dengan meraih pingat emas pertama Singapura sejak 1993 dalam acara Kumite wanita; atlet sukan layar, Anya Zahedi, berusia 12 tahun yang berjaya memenangi pingat perak; serta atlet renang berusia 14 tahun, Julia Yeo, yang meraih pingat emas.

Kejayaan mereka membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Atlet muda lain yang turut menyerlah termasuk Dhani Andika Razali (silat), Elle Koh (lawan pedang), Izaac Quek (tenis meja) dan Nia Zahedi (sukan layar).

Beberapa atlet turut mencatat sejarah baru, antaranya Calvin Quek dalam acara 400 meter lompat pagar serta Avvir Tham dalam acara terjun cantik, yang masing-masing memenangi pingat emas pertama Singapura dalam tempoh 60 tahun.

Pasukan polo air lelaki pula yang dibarisi pemain muda dan ramai daripadanya peserta sulung berjaya mengekalkan dominasi negara dalam sukan tersebut.

Sukan renang juga terus menjadi penyumbang utama pingat, manakala pasukan lawan pedang muncul juara dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

Atlet pecut negara, Shanti Pereira, pula mencipta sejarah sebagai wanita Singapura pertama mengekalkan gelaran juara acara 100 meter dan 200 meter.

Tidak ketinggalan, atlet wushu, Siti Khadijah Mohamad Shahrem, yang memenangi pingat dalam dua sukan berbeza, silat dan wushu.

Secara keseluruhan, pencapaian atlet Singapura di Sukan SEA kali ini adalah luar biasa dan amat membanggakan.

Namun terdapat beberapa sukan yang memerlukan perhatian serius berikutan prestasi yang kurang memuaskan.

Pasukan bola sepak muda, misalnya, perlu memanfaatkan peluang yang diberikan untuk membuktikan kelayakan mereka mewakili negara adalah wajar.

Sukan sepak takraw juga memerlukan pembaharuan menyeluruh, khususnya dalam menangani isu dalaman agar sukan tersebut tidak terus terjejas.

Hakikatnya, persaingan sukan di peringkat serantau dan antarabangsa semakin sengit.

Pingat emas dan rekod baru bukan lagi mudah diraih.

Oleh itu, usaha yang lebih bersepadu dan berterusan amat diperlukan untuk meningkatkan prestasi atlet.

Pelaburan dalam pembangunan atlet muda juga harus diteruskan bagi melahirkan bakat baru dan memastikan Singapura kekal berdaya saing pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg