Peranan dan tanggungjawab guru Bahasa Melayu di sekolah kini bukan sahaja lebih berat malah semakin mencabar.
Selain tugas utama untuk memastikan pelajar memahami dan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan lancar, mereka juga berperanan melestarikan bahasa agar bahasa ibunda kita tidak hilang ditelan zaman.
Di luar bidang bahasa pula, guru Bahasa Melayu turut memainkan peranan mulia untuk mendidik dan membentuk perwatakan dan keperibadian pelajar agar mereka menjadi anggota masyarakat yang berguna, bertanggungjawab dan berjaya.
Mereka juga tidak ketinggalan mendakap perubahan pesat teknologi moden dalam pengajaran seharian mereka.
Dalam kelas, mereka memanfaatkan teknologi untuk membantu anak didik mereka agar mereka mudah menguasai bahasa bukan sahaja di dalam malah di luar ruang darjah.
Guru cemerlang yang berjaya melaksanakan tugas-tugas penting ini menjadi suri teladan kepada yang lain, sumbangan mereka harus dihargai.
Demikian matlamat Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) yang diperkenalkan pada 2007, iaitu mengiktiraf guru Bahasa Melayu cemerlang yang telah banyak menyumbang dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah.
Anugerah ini anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC).
Seramai 80 guru telah menerima Agab sejak ia diperkenalkan.
Tahun ini (2025) tiga guru lagi telah diberikan anugerah berprestij itu.
Kisah mereka memaparkan usaha yang tidak pernah luntur bagi memastikan pelajar membawa bekal ilmu yang tersemat dalam jiwa sepanjang hayat.
Seorang daripadanya ialah Cikgu Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli.
Beliau telah menerima Agab bagi kategori Teladan.
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Waterway di Punggol Drive itu menganggap guru bukan sekadar mengajar bahasa di sekolah.
Sebaliknya mereka turut memikul tanggungjawab menyemai kasih, membimbing dan menyalakan keyakinan dalam diri pelajar.
Cikgu Mukhlis, 33 tahun, melaksanakan usaha itu dengan mendampingi anak muridnya di luar kelas seperti meluangkan masa duduk bersama mereka di kantin semasa waktu rehat, sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Jendela waktu kecil ini sungguh bermakna baginya kerana beliau dapat menyelami kisah kehidupan muridnya selain peka terhadap perjalanan hidup mereka.
Kepekaan ini, katanya, datang daripada pengalaman hidup beliau sendiri semasa kesusahan dahulu.
“Saya mengalami masa yang sukar dalam hidup, di mana saya tidak dapat hadir di sekolah secara konsisten kerana masalah keluarga,” kata beliau semasa menyingkap pengalaman hidupnya dalam satu laporan BH baru-baru itu.
Mujur ada seorang guru yang menyalakan cahaya harapan dan sentiasa mengambil berat tentang dirinya di tengah-tengah kesulitan yang dihadapi keluarganya.
Maka itu, Cikgu Mukhlis bertekad mencontohi jasa baik guru tersebut dengan menjadi penyuluh ilmu dan kehidupan buat muridnya.
Dalam usaha menyemai cinta terhadap bahasa Melayu pula, Cikgu Siti Suhana Alias, guru Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist (Rendah) telah memanfaatkan teknologi seperti realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) dalam pengajarannya.
Guru berusia 29 tahun itu telah menerima Agab bagi kategori Perangsang.
Menggunakan kaedah inovatif seperti pembelajaran bertema, penerapan unsur permainan VR dan AR, Cikgu Suhana telah menjadikan pembelajaran bahasa lebih menyeronokkan.
Hasilnya memberangsangkan.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran menjadikan muridnya lebih yakin, petah dan beradab, sekali gus menajamkan pandangan lebih-lebih lagi dalam ehwal masyarakat.
Meskipun pernah ditawarkan mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Pengajian Sosial, Cikgu Suhana tetap memilih Bahasa Melayu kerana menjadi guru mata pelajaran tersebut merupakan impiannya.
Aspirasi ini lahir daripada hasratnya untuk membantu murid Melayu menyemai kesedaran tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Singapura.
Ini kerana bahasa tersebut relevan dan dapat membina jati diri pelajar dalam memelihara warisan budaya.
“Bagi saya, bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran di sekolah, malah ia adalah identiti yang harus dipupuk dan dihargai,” ujarnya seperti yang dilaporkan BH sebelum ini.
Bagi guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Anderson, Cikgu Filzatul Azreen Gazali, pula beliau telah menyediakan ruang buat muridnya untuk bertanya, berdebat dan menyelami isu kemasyarakatan dengan penuh teliti dan secara beradab.
Cikgu Filzatul, 33 tahun, berkata beliau menekankan kesantunan berbahasa dan keyakinan dalam menyuarakan pendapat.
“Itulah cogan kata yang dijadikan sandaran dalam penyampaian lisan. Justeru, apabila saya mengajar, saya terdorong mengikuti pendekatan sebegini,” katanya dalam laporan BH.
Beliau juga penerima Agab bagi kategori Perangsang.
Banyak lagi cara guru Bahasa Melayu kita membimbing anak didik mereka untuk melestarikan bahasa.
Misalnya, ada yang membimbing pelajar menyelami estetika bahasa melalui tarian, muzik dan kegiatan kebudayaan.
Pendek kata, peranan guru Bahasa Melayu kini kian luas dan melangkaui tugas menyampaikan ilmu.
Kreativiti mereka dalam kelas harus dipuji.
Usaha, dedikasi dan iltizam mereka untuk membangunkan semangat dan menyerlahkan kemampuan pelajar dalam melestarikan bahasa dalam kehidupan seharian pula harus disanjung dan dihargai.
Guru Bahasa Melayu kita merupakan tonggak dan suri teladan dalam memakmurkan bahasa dan budaya Melayu.
Mereka harus sentiasa diberi motivasi untuk menyemai dalam jiwa pelajar agar penggunaan bahasa Melayu pelajar mereka kekal sepanjang hayat.
Penulis merupakan pengerusi bersama Anugerah Guru Arif Budiman (Agab).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg