Topic followed successfully
Go to BHkuJaga ‘bunga di taman’, hargai peranan wanita sepanjang Ramadan
Jaga ‘bunga di taman’, hargai peranan wanita sepanjang Ramadan
Ayuh sama-sama singsing lengan, ringankan tugas ‘bidadari dapur’
Jaga ‘bunga di taman’, hargai peranan wanita sepanjang Ramadan
Bacaan Al-Quran sayup kedengaran berkumandang melalui corong radio.
Tazkirah ringkas sebagai peringatan turut mengisi halwa telinga.
Di meja makan, pelbagai jenis juadah seiring minuman sudah terhidang.
Ia menjadi santapan mata tatkala menanti azan maghrib bergema petanda masanya sudah tiba untuk berbuka puasa dan menjamu selera.
Dalam kesibukan ramai anggota keluarga mengisi perut dan menghilangkan dahaga, berapa ramai di antara kita mengambil masa – meskipun sejenak – untuk membayangkan keadaan jika ‘bidadari dapur’ yang menyiapkan hidangan tiada di depan kita?
Sudah lebih seminggu Ramadan menjelma, dan sudah mula rancak persoalan yang saya dengar dalam kalangan teman tentang, “esok nak masak apa eh...? Nak sahur apa? Nak buka apa?”
Kalau ada anggota keluarga yang menetapkan ‘peraturan’ hidangan berbuka mesti berbeza daripada sahur, nampak gaya bertambah tertekanlah orang dapur.
Ini kerana ia bukan setakat bab masak-memasak, bahkan turut termasuk memikirkan sama ada bahan yang perlu digunakan untuk menyiapkan hidangan sudah ada di rumah.
Jika perlu dicari, di mana? Cukupkah rempah untuk membuat sambal?
Hakikatnya, di sebalik kesibukan Ramadan setiap tahun, terdapat insan di rumah yang disifatkan paling sibuk.
Mereka bukan sahaja sibuk dari segi fizikal kerana perlu ‘berperang di dapur’, malah, turut ligat mentalnya kerana perlu mengatur strategi memastikan hidangan memenuhi cita rasa anggota keluarga.
Bahkan, ada sebahagiannya yang mungkin perlu berjuang sendirian di dapur semasa menyiapkan juadah bersahur dan berbuka.
Mereka akan bangun jauh lebih awal daripada anggota keluarga yang lain, memasak atau menyiapkan keperluan mereka.
Malah, kaum wanita juga mungkin orang terakhir yang meninggalkan meja makan.
Ramadan kerap dikaitkan dengan penerapan disiplin dari pelbagai sudut.
Ia juga termasuk bulan meningkatkan sedekah dan amal ibadat.
Namun, ada di antara kaum wanita berasa bersalah kerana tuntutan di dapur kadangkala membuat mereka begitu keletihan.
Merekalah yang memastikan semua perut terisi dan pinggan mangkuk licin dicuci.
Dalam masa yang sama, realiti kehidupan masa kini menyaksikan ada kaum wanita yang perlu bekerja dua giliran.
Syif pertama bermula awal apabila mereka perlu menyiapkan sahur sebelum ke pejabat.
Syif kedua pula bermula sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke rumah untuk menyiapkan hidangan berbuka pula.
Semua tanggungjawab itu biasanya terletak di bahu mereka.
Mungkin ada yang memilih jalan pintas dengan membuat tempahan dalam talian.
Bagaimanapun, tidak semua keluarga bersedia berbuat demikian atas faktor ekonomi, atau mungkin sudah biasa mahukan air tangan orang rumah.
Bagi kaum wanita, ada masanya hasrat meningkatkan amal ibadat di bulan mulia ikut kecundang.
Di sinilah anjakan minda diperlukan khususnya daripada ketua keluarga yang mungkin boleh membantu mengemudi keadaan.
Sebagai contoh, dari kecil, anak-anak boleh dilatih untuk tidak mengharapkan meja penuh semasa berbuka.
Seandainya ada hidangan istimewa dan lebih rumit untuk disiapkan, anak-anak yang lebih dewasa – mungkin yang remaja – boleh ikut sama menyingsing lengan.
Kegiatan menyiapkan hidangan bukan sahaja boleh meringankan tugas ‘bidadari dapur’, malah dalam masa yang sama menerapkan banyak nilai murni.
Ia membolehkan ibu atau kakak menurunkan ilmu resipi, mengasah kemahiran buat yang lebih muda, dan interaksi di dapur itu juga boleh meningkatkan keakraban dalam kalangan anggota keluarga.
Pendek kata, kita perlu beralih daripada budaya ‘membantu ibu di dapur’ kepada budaya ‘berkongsi tanggungjawab’.
Perkataan ‘membantu’ memberi gambaran kerja di dapur merupakan tugas mutlak seorang ibu, dan anak-anak atau suami hanya sekadar ‘pembantu sukarela’.
Jika sekadar membantu, mereka boleh memilih hari untuk sekadar duduk bersandar atau santai atas alasan keletihan dek berpuasa atau penat bekerja.
Hakikatnya, ibu pun sama-sama berpuasa dan melalui pengalaman yang mungkin tidak 100 peratus sama, tetapi hampir serupa.
Ini perlu diubah dan dapur perlu menjadi ruang kerjasama – tempat setiap anggota keluarga boleh saling memainkan peranan.
Sebagai contoh, ada yang dapat membantu mencuci pinggan, ada yang menyapu lantai, ada yang mop lantai dan ada pula yang membuang sampah.
Sebaik-baiknya, semua tugasan itu dilakukan tanpa perlu disuruh atau diberi peringatan bertalu-talu.
Jika rumah itu sebuah kapal, usah biarkan kaum wanita menjadi satu-satunya pendayung sementara yang lain hanya menjadi penumpang yang menunggu untuk sampai ke pelabuhan.
Dalam konteks ini, ‘pelabuhan’ merujuk pada waktu berbuka dan sahur.
Ramadan adalah bulan untuk menyucikan jiwa, bukan sekadar memuaskan nafsu makan.
Jika kita membiarkan wanita dalam masyarakat kita terus terbeban sehingga hilang nikmat ibadahnya, maka kita ibarat telah gagal menghayati erti sebenar Ramadan.
Janganlah kita jadikan dapur sebagai ‘penjara’ buat wanita di bulan yang sepatutnya membebaskan jiwa daripada belenggu dunia.
Ramadan adalah bulan untuk belajar bahawa tangan yang memegang tasbih juga harus mampu memegang sudip dan kain buruk.
Tidak dinafikan ibadah wanita yang memasak itu besar pahalanya.
Namun, kita tidak seharusnya menjadikan kaum wanita kepenatan tanpa rasa belas ihsan.
Di saat suami dan anak-anak sedang bersandar kekenyangan menonton televisyen atau bersiap ke masjid untuk menunaikan tarawih, si ibu mungkin masih di singki, menyental sisa lemak.
Usahlah kita biarkan ‘tiang seri’ kita yang tegak berdiri itu tumbang kepenatan semata-mata kerana kita terlalu selesa bersandar padanya tanpa memberi sokongan.

