Topik diikuti
Pergi ke BHkuTangani tekanan kerja, hidup seimbang berpandu syarak
Tangani tekanan kerja, hidup seimbang berpandu syarak
Bina kehidupan kerja yang sihat dengan jaga kesejahteraan emosi, mental dan rohani
Tangani tekanan kerja, hidup seimbang berpandu syarak
Dalam dunia pekerjaan hari ini, istilah ‘burnout’ semakin menjadi kebimbangan.
Ia merujuk kepada keadaan keletihan emosi, mental dan fizikal akibat tekanan kerja yang berpanjangan.
Di Singapura, sebuah negara yang dikenali dengan budaya kerja pantas, berprestasi tinggi dan berlegar di sekitar daya penghasilan, isu ini semakin mendapat perhatian serius dalam kalangan pekerja pelbagai sektor – daripada pekerja korporat, pendidik, petugas kesihatan sehinggalah pekerja ekonomi gig.
Walaupun perbincangan mengenai kesihatan mental semakin terbuka, ‘burnout’ masih sering dianggap sebagai isu peribadi, bukannya isu sistemik.
Dalam perspektif Islam, keadaan ini memerlukan renungan lebih mendalam kerana ia bukan sekadar isu daya penghasilan, malah melibatkan kesejahteraan manusia secara menyeluruh, merangkumi aspek jasmani, emosi dan rohani.
Kesan ‘burnout’
Menurut kajian dalam psikologi pekerjaan dan kesihatan sesebuah pertubuhan, ‘burnout’ lazimnya berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara tuntutan kerja yang tinggi dengan sumber sokongan terhad di tempat kerja.
Model seperti Job Demands–Resources menjelaskan tekanan kerja yang berlebihan, kurang kawalan terhadap tugasan, serta sokongan sosial yang lemah boleh meningkatkan risiko keletihan melampau dalam kalangan pekerja.
Dalam konteks Singapura, budaya kerja yang berdaya saing sering dikaitkan dengan jangkaan tinggi, waktu kerja panjang dan tekanan prestasi.
Ramai pekerja hidup dalam keadaan ‘sentiasa terhubung’, apabila e-mel dan mesej kerja tidak berhenti walaupun di luar waktu pejabat.
Keadaan ini lama-kelamaan membawa kepada keletihan emosi, hilang motivasi, gangguan tidur dan rasa kosong dalam kerja.
Dalam perspektif Islam, keadaan ini boleh memberi kesan kepada keberkatan masa dan tenaga apabila hidup tidak lagi seimbang antara kerja, keluarga, ibadah dan rehat.
Hidup seimbang dalam Islam
Islam adalah agama yang sangat menekankan keseimbangan (wasatiyyah) dalam kehidupan.
Allah swt menjadikan umat Islam sebagai umat ‘pertengahan’, iaitu umat yang seimbang dalam semua aspek kehidupan.
Rasulullah saw juga menolak pendekatan hidup yang melampau, sama ada terlalu keras dalam ibadah sehingga mengabaikan keperluan tubuh, atau terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga melupakan tanggungjawab akhirat.
Ini menunjukkan keseimbangan hidup adalah sebahagian tuntutan agama.
Dalam konteks kerja, Islam tidak menuntut manusia bekerja tanpa henti sehingga menjejas kesihatan.
Tubuh, minda dan emosi manusia adalah amanah yang perlu dijaga dengan sebaiknya.
Amanah terhadap diri sendiri
Islam mengajar bahawa manusia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kerja, malah terhadap diri sendiri.
Tubuh badan dan minda adalah amanah daripada Allah swt.
Oleh itu, bekerja sehingga memudaratkan kesihatan tanpa keperluan yang wajar bertentangan dengan prinsip Islam.
Rehat, pemulihan emosi dan penjagaan kesihatan mental bukan kelemahan, namun sebahagian tanggungjawab menjaga amanah Allah swt.
Rasulullah saw merupakan contoh terbaik dalam mengurus kehidupan yang seimbang.
Walaupun Baginda memikul tanggungjawab besar sebagai Rasul, pemimpin, pendidik dan suami, Baginda tetap membahagikan masa dengan seimbang antara ibadah, kerja, keluarga dan rehat.
Baginda saw tidak mengajar umatnya untuk hidup secara ekstrem (melampau), sebaliknya menekankan keseimbangan yang selari dengan fitrah manusia.
Ini menjadi asas penting daya penghasilan dalam Islam bukan sekadar jumlah kerja, namun keberkatan dan kesejahteraan hidup.
Panduan tangani ‘burnout’
Dari sudut pandang Islam dan juga dapatan dalam bidang kesihatan pekerjaan, ‘burnout’ bukan hanya perlu difahami dari segi punca, malah perlu ditangani melalui pendekatan menyeluruh, melibatkan aspek rohani, emosi dan praktikal.
Pendekatan ini selari dengan prinsip keseimbangan hidup dalam Islam serta dapatan dalam kajian psikologi pekerjaan yang menekankan kepentingan pemulihan, sokongan sosial dan pengurusan tekanan yang sihat.
Berikut beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan dalam menangani ‘burnout’:
1) Perbetul niat
Langkah pertama adalah memperbetulkan niat.
Kerja bukan sekadar tekanan atau tuntutan hidup, namun ibadah dan amanah.
Apabila seorang Muslim melihat kerja sebagai ibadah, tekanan tidak dihapuskan sepenuhnya, namun ia berubah menjadi sesuatu yang lebih bermakna.
2) Jaga hubungan dengan Allah
Solat, zikir dan doa berfungsi sebagai ruang pemulihan rohani harian.
Ia memberi peluang kepada individu untuk berhenti seketika daripada tekanan kerja dan kembali kepada ketenangan dalaman.
3) Tetapkan batas kerja yang sihat
Seorang Muslim perlu belajar menetapkan batas yang jelas: tidak membawa kerja melampaui kemampuan, memberi ruang kepada keluarga dan diri sendiri.
4) Rehat
Rehat, tidur yang mencukupi dan masa bersama keluarga bukanlah perkara tambahan, namun keperluan asas manusia.
5) Dapatkan sokongan, bantuan jika perlu
Berkongsi dengan rakan, keluarga, atau mendapatkan bantuan profesional adalah langkah yang selari dengan prinsip menjaga kesejahteraan diri.
6) Peranan majikan, masyarakat
Majikan dan institusi memainkan peranan dalam membina budaya kerja yang sihat, manakala masyarakat perlu mengubah stigma terhadap kesihatan mental.
Kesimpulan
‘Burnout’ bukan sekadar isu moden, namun tanda manusia sedang bergelut mencari keseimbangan dalam dunia yang semakin pantas.
Islam telah lama menawarkan jalan penyelesaian yang menyeluruh: menggabungkan iman, akhlak, disiplin dan kesejahteraan diri.
Dalam konteks Singapura, cabaran ini memerlukan kesedaran individu serta perubahan sistem kerja yang lebih ‘manusiawi’.
Apabila manusia kembali kepada keseimbangan yang dianjurkan Islam – antara kerja, rehat, hubungan sosial dan hubungan dengan Allah swt – maka tempat kerja bukan sahaja menjadi ruang berdaya penghasilan tinggi, malah ruang yang menjaga maruah, kesihatan dan ketenangan insan.
Justeru, kesejahteraan sebenar bukan hanya bekerja tanpa henti, namun bekerja dengan bijak, seimbang dan penuh keberkatan.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
“
“Islam mengajar bahawa manusia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kerja, malah terhadap diri sendiri. Tubuh badan dan minda adalah amanah daripada Allah swt. Oleh itu, bekerja sehingga memudaratkan kesihatan tanpa keperluan yang wajar bertentangan dengan prinsip Islam. Rehat, pemulihan emosi dan penjagaan kesihatan mental bukan kelemahan, namun sebahagian daripada tanggungjawab menjaga amanah Allah swt.”