Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semai kasih, hormat dalam hubungan bersama mentua

Amal sikap positif, perkukuh ikatan rohani bersama dapat perkukuh harmoni keluarga
Nov 7, 2025 | 5:30 AM
mentua, menantu, islam, bersamamu, romm
Menghargai pandangan dan pengalaman mentua membantu mengekalkan ikatan kekeluargaan yang harmoni serta menjadikan rumah tangga penuh kasih sayang dan keberkatan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Rumah tangga adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah swt dan ia merupakan asas penting dalam kehidupan manusia.

Hubungan dalam rumah tangga bukan sahaja terbatas kepada suami dan isteri, malah turut melibatkan anggota keluarga lain – termasuk mentua, yang memainkan peranan besar dalam menyokong keharmonian keluarga.

Oleh itu, membina hubungan yang baik bersama mentua adalah satu keperluan yang penting bagi memastikan kehidupan rumah tangga berjalan aman dan harmoni.

Mentua ialah individu yang memiliki nilai dan pandangan hidup tersendiri, hasil daripada pengalaman hidup mereka yang luas dan berharga.

Perspektif itu sering kali mencerminkan kebijaksanaan yang mereka perolehi daripada perjalanan kehidupan, menjadikan mereka sumber nasihat dan panduan berharga.

Rencana ini akan berkongsi beberapa cara yang boleh diamalkan untuk membina hubungan baik dengan mentua.

Jaga, hormat perasaan mentua

Dalam pandangan Islam, mentua diberikan kedudukan yang hampir setaraf dengan ibu bapa sendiri dan berbuat baik kepada mereka merupakan antara tonggak ajaran Islam.

Sepertimana firman Allah swt dalam Surah Al-Isra’, ayat 23: “Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Justeru, menjaga perasaan mentua adalah di antara sikap ‘berbuat-baik kepada ibu bapa’ dan ia dapat dilakukan dengan mempamerkan akhlak mulia seperti bertutur dengan lemah lembut, menghormati pendapat mereka dan menunjukkan kesungguhan untuk membina hubungan baik.

Islam sangat menekankan kepentingan akhlak yang mulia, sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR Tirmidzi).

Selain itu, kita perlu memiliki set minda yang positif, dengan sentiasa bersangka baik terhadap mentua.

Fahami bahawa sebagai orang tua dan ibu bapa kepada pasangan kita, mereka pastinya menginginkan yang terbaik untuk kebahagiaan rumah tangga kita.

Dalam proses itu, kesabaran dan kebijaksanaan amat penting, dan kita perlu sentiasa berusaha menjaga perasaan serta emosi mereka dengan penuh hormat.

Dengar, hargai pendapat mentua

Antara cara bina hubungan baik dengan mentua termasuk menghormati dan menghargai pendapat mereka.

Kita perlu menyedari bahawa setiap individu adalah unik dengan latar belakang dan pengalaman hidup yang berbeza.

Mentua kita telah melalui perjalanan hidup panjang, yang pastinya memberi mereka pengalaman dan hikmah berharga dalam membina serta mengekalkan keharmonian keluarga.

Walaupun cara mereka mungkin berbeza dengan apa yang diamalkan pada masa kini, pandangan mereka sering kali lahir daripada keikhlasan dan kebijaksanaan yang diperoleh melalui pengalaman hidup.

Perbezaan masa dan zaman mungkin mempengaruhi pandangan, pendekatan dan nasihat mereka terhadap kehidupan berkeluarga.

Contohnya, pada zaman mereka, peranan suami dan isteri adalah lebih tradisional – dengan suami keluar bekerja manakala isteri menjaga rumah dan anak-anak.

Namun, dalam konteks hari ini, terutama di Singapura, kedua-dua suami dan isteri biasanya bekerja, bukan sahaja untuk menyara kehidupan malah kerana aspirasi individu yang dibentuk oleh pendidikan dan keinginan membina kerjaya.

Tidak dapat bersetuju dengan saranan mentua atau mempunyai pandangan berbeza adalah lumrah kehidupan.

Namun, penting untuk kita mendengarkan mereka dengan sabar dan penuh hormat.

Komunikasi yang bijaksana, tanpa menyinggung perasaan mereka, dapat membantu mengekalkan hubungan harmoni.

Dengan menjaga perasaan mereka dan menghormati perbezaan, kita menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam keluarga, sekali gus membina hubungan yang mesra dan memperkukuh keharmonian keluarga.

Perkukuh hubungan rohani bersama

Sebagai seorang Muslim, aspek kerohanian adalah unsur penting dalam kehidupan yang tidak boleh diabaikan, termasuk juga dalam membina hubungan bersama mentua.

Salah satu cara untuk memperkukuhkan hubungan itu adalah dengan melibatkan mereka dalam ibadah yang boleh dilakukan secara berjemaah.

Sebagai contoh, setiap kali kita berkunjung ke rumah mentua, kita boleh mengambil kesempatan untuk mendirikan solat fardu berjemaah.

Selain itu, kita juga boleh merancang berbuka puasa dan juga solat tarawih bersama pada Ramadan yang akan datang.

Amalan ini bukan sahaja mempereratkan hubungan kekeluargaan, malah mengukuhkan ikatan rohani yang mendalam antara anggota keluarga.

Selain itu, kita menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah swt atas keberadaan mentua dengan sentiasa mengingati mereka di dalam doa.

Kita mendoakan kesejahteraan mereka, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Ini adalah tanda kasih sayang dan penghormatan tulus yang boleh kita tonjolkan.

Perbuatan itu bukan sahaja mencerminkan nilai kerohanian yang tinggi malah melambangkan usaha memperkukuhkan silaturahim bersama mentua.

Kesimpulan

Memelihara hubungan selepas berumah tangga bukan tanggungjawab yang hanya terhad kepada seorang suami dan isteri.

Hubungan dengan mentua juga memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian keluarga.

Dengan membina hubungan baik bersama mentua, mereka dapat menjadi sumber sokongan yang berharga dan menjadi salah satu tonggak dalam membina kehidupan kekeluargaan untuk jangka masa panjang.

Dalam menjalin hubungan dengan manusia, kita tidak boleh melupakan aspek kerohanian serta kebergantungan kita kepada Allah swt – yang berkuasa membuka hati dan melunakkan perasaan seseorang.

Meminta kepada Allah swt agar hubungan kita dengan mentua sentiasa diberkati adalah sebahagian daripada usaha kita yang ikhlas dalam memupuk hubungan harmoni.

Cabaran dalam menghadapi perbezaan pandangan atau sikap mentua merupakan perkara yang tidak dapat dielak dan berpotensi berlaku dalam kehidupan kita bersama mereka.

Namun, cara kita menghadapinya dengan penuh hikmah, kesabaran dan kebijaksanaan akan menentukan sejauh manakah hubungan itu dapat dipelihara.

Dengan pendekatan yang betul, hubungan bersama mentua dapat berkembang menjadi hubungan yang mesra, harmoni dan diberkati, menyumbang kepada kebahagiaan serta kestabilan keluarga.

Penulis ialah Naib Kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) yang juga Pengurus Program Projek Arif dan AMP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg