Topic followed successfully
Go to BHkuPanduan Islam hadapi konflik dengan sabar, aman
Panduan Islam hadapi konflik dengan sabar, aman
Dalam hadapi kemelut dan perang, iman, doa dan akhlak mulia jadi panduan utama Mukmin
Panduan Islam hadapi konflik dengan sabar, aman
Dunia kini menyaksikan kemelut antara negara kuasa besar yang masih tiada tanda-tanda untuk reda dalam masa terdekat.
Keadaan ini memberi kesan kepada banyak negara lain, khususnya melalui kenaikan harga barang, minyak dan sumber tenaga.
Sekiranya konflik ini tidak ditangani segera, lebih banyak masalah akan timbul, dan ramai lagi akan terkesan akibat peperangan berlarutan.
Bagi umat Islam, konflik antara kuasa besar bukanlah perkara baru dalam sejarah.
Sejak zaman jahiliah, banyak peperangan berlaku, sama ada dalam kalangan orang Arab atau antara empayar besar seperti Rom dan Parsi.
Islam hadir untuk mengingatkan manusia agar hidup dalam suasana harmoni.
Islam tidak pernah menggalakkan peperangan; sebaliknya, Nabi Muhammad saw diutus sebagai rahmat bagi seluruh alam, menunjukkan contoh terbaik dalam menangani persengketaan.
Apabila umat Islam ditindas di Makkah, sebahagian sahabat mencadangkan agar Nabi saw membalas kezaliman itu dengan peperangan, namun Baginda menolak saranan tersebut.
Begitu juga ketika perang Badar, tujuan asal Nabi saw hanyalah untuk mengambil kembali harta yang dirampas kaum musyrik Makkah, bukan untuk mencetuskan peperangan.
Nabi saw sentiasa menekankan hubungan baik sesama manusia dan mengelak sengketa serta permusuhan.
Demikian prinsip Islam yang menekankan perdamaian dan tolak ansur.
Dalam menghadapi cabaran hidup, Islam memberi panduan cukup lengkap untuk manusia ikuti agar sentiasa selamat dan sejahtera.
Setiap individu bertanggungjawab memelihara dirinya daripada kebinasaan.
Justeru, dalam suasana berlakunya peperangan, Islam memberi panduan berguna untuk diikuti dan diamalkan.
Hikmah di sebalik ujian
Umat Islam diingatkan bahawa segala yang berlaku adalah dengan takdir Allah swt dan kehendak-Nya, dan setiap takdir Allah pasti ada hikmahnya.
Manusia perlu menghadapi semua takdir itu dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Begitulah hakikat kehidupan.
Semua yang berlaku di dunia ini adalah ujian buat manusia.
Allah swt mengingatkan perkara ini di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155, yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”
Orang yang bersabar dalam suasana perang yang sedang berlangsung juga diberi pahala syahid seperti yang disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud:
“Sesungguhnya di hadapan kamu nanti ada zaman yang memerlukan kesabaran. Barang siapa yang bertahan dalam kesabarannya, beliau mendapat pahala 50,000 para syuhada.” (HR Imam Al-Tabarani).
Cara tangani konflik
Apabila berlaku konflik, usaha pertama dan utama adalah meredakan dan menghentikannya, bukannya menyemarakkan permusuhan atau menambah kekacauan.
Semakin ramai yang terlibat, semakin tinggi risiko korban, sedangkan memelihara nyawa adalah wajib dan termasuk dalam tuntutan syariat utama.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Nabi saw bersabda yang bermaksud:
“Akan ada fitnah, apabila orang yang duduk di dalamnya lebih baik daripada yang berdiri, dan yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan, dan yang berjalan lebih baik daripada yang berlari.
“Siapa yang terjebak dalam fitnah itu, maka beliau akan binasa. Maka siapa yang dapat menemukan tempat perlindungan atau tempat berlindung daripada fitnah itu, hendaklah beliau berlindung di dalamnya.”
Imam Al-Nawawi menjelaskan bahawa fitnah di sini merujuk kepada suasana perang, yang sangat berbahaya dan mengancam nyawa.
Semakin manusia terlibat, semakin parah keadaan itu. Oleh itu, menjauhi fitnah adalah langkah paling selamat.
Selain itu, elakkan tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, seperti menyebarkan berita palsu.
Maklumat yang tidak sahih boleh mencetuskan kekacauan, kebingungan dan kebimbangan tidak wajar.
Malah, bukan sahaja berita palsu, malah maklumat yang tidak relevan atau tidak perlu diketahui umum perlu dihentikan demi menjaga keamanan dan ketenteraman.
Tetap teguh dalam iman
Justeru, setiap Muslim disarankan menumpukan diri pada kebaikan seperti yang dianjurkan Islam.
Lakukan kebaikan untuk diri sendiri, kemudian sebarkan kepada orang lain, dan hidupkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Apabila lebih ramai menyebarkan kebaikan dan keihsanan, keburukan dan kejahatan akan berkurangan.
Nabi Muhammad saw bersabda: “Sesungguhnya sifat lemah lembut tidak akan menambah melainkan kebaikan dan tidaklah ia dicabut melainkan akan menambah cacat celanya.” (HR Muslim).
Teruskan amal ibadah seperti biasa dan jangan terlalu risau tentang keadaan sekeliling.
Nabi saw turut bersabda: “Ibadah dalam keadaan huru-hara dan manusia saling berperang adalah seperti berhijrah kepadaku.” (HR Muslim).
Hadis ini mengingatkan umat Islam agar tetap tekun beribadah walau dalam situasi sukar, malah pahala ibadah akan bertambah jika dilakukan dalam suasana tegang.
Perbanyakkan doa kepada Allah swt agar keamanan dikembalikan dan sentiasa bertawakal kepada-Nya.
Bagi seorang Mukmin, perbanyakkan doa kerana ia menjadi perisai daripada segala kejahatan dan keburukan.
Orang soleh terdahulu menghadapi situasi sukar bukan dengan menyemarakkan konflik, namun dengan memperbanyak doa untuk meredakan keadaan dan mencapai keamanan.
Setelah berdoa, serahkan segala urusan hidup kepada Allah swt, kerana Dialah yang mentadbir dan memelihara seluruh ciptaan-Nya.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
“
Nabi saw sentiasa menekankan hubungan baik sesama manusia dan mengelak sengketa serta permusuhan. Demikian prinsip Islam yang menekankan perdamaian dan tolak ansur. Dalam menghadapi cabaran hidup, Islam memberi panduan yang cukup lengkap untuk manusia ikuti agar sentiasa selamat dan sejahtera. Setiap individu bertanggungjawab memelihara dirinya daripada kebinasaan. Justeru, dalam suasana berlakunya peperangan, Islam memberi panduan yang berguna untuk diikuti dan diamalkan.
