Manusia kian hidup dalam zaman yang meraikan kepantasan.

Makanan boleh ditempah dan tiba dalam beberapa minit, pembelian boleh dibuat dengan satu sentuhan jari, maklumat, hiburan dan pelbagai keperluan tersedia hampir serta-merta.

Dalam keadaan sebegini, masyarakat semakin terbiasa dengan konsep ‘segera disediakan’ dan ‘dapat sekarang’.

Namun, budaya kepantasan ini turut membawa kesan yang lebih mendalam terhadap cara manusia berfikir dan membuat keputusan.

Ramai yang semakin sukar menerima proses panjang dan hasil yang tertangguh.

Kejayaan perlu segera, perubahan harus berlaku dengan pantas dan ganjaran perlu diberikan secepat mungkin.

Apabila sesuatu yang diharapkan tidak muncul dalam masa yang singkat, sebahagian manusia mula berasa kecewa, hilang semangat dan mempersoalkan nilai usaha yang mereka lakukan.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam aspek ekonomi atau kerjaya, bahkan turut mempengaruhi kehidupan beragama.

Ada yang berasa penat melakukan kebaikan kerana tidak melihat hasilnya.

Ada yang kecewa kerana doa belum dimakbulkan.

Ada yang mula mempersoalkan mengapa ujian masih berlarutan walaupun mereka telah berusaha mendekatkan diri kepada Allah swt.

Hakikatnya, salah satu cabaran terbesar dalam dunia moden ini ialah menerima konsep kepuasan yang tertangguh, atau ‘delayed gratification’.

Ia merujuk kepada kemampuan seseorang untuk terus melakukan perkara yang baik, walaupun ganjarannya belum dapat dilihat atau dirasai dengan segera.

Dalam Islam, kemampuan untuk menangguhkan kepuasan bukan sekadar kemahiran psikologi atau strategi pembangunan diri – ia berkait rapat dengan keimanan.

Seorang Mukmin dididik untuk melihat kehidupan mereka melangkaui batas dunia yang sementara, serta meyakini setiap kebaikan mempunyai nilai di sisi Allah swt, walaupun ganjarannya tidak semestinya dapat dilihat dengan segera.

Setiap kebaikan tidak pernah sia-sia

Al-Quran mengajar kita supaya memandang kehidupan melalui lensa janji Allah swt yang pasti benar.

Antaranya ialah firman Allah swt dalam Surah At-Taubah, ayat 120, yang menegaskan Dia tidak akan mensia-siakan ganjaran orang-orang yang melakukan kebaikan:

“Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Ayat ini memberikan satu keyakinan yang sangat penting dalam kehidupan.

Setiap kesabaran yang ditanggung, setiap kesulitan yang dihadapi dan setiap usaha untuk melakukan kebaikan semuanya berada dalam pengetahuan Allah swt.

Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui hasil yang boleh dilihat, Islam mengajar tidak semua ganjaran perlu muncul serta-merta.

Ada kebaikan yang dibalas di dunia dan ada juga yang dibalas melalui perkara yang tidak berbentuk kebendaan seperti ketenangan hati dan kesihatan.

Ada yang dibalas dengan perlindungan daripada keburukan yang tidak kita sedari dan ada juga yang disimpan sebagai ganjaran yang jauh lebih besar di akhirat.

Kesedaran ini penting terutama ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan.

Seseorang yang berusaha mencari rezeki halal mungkin melihat orang lain memperoleh kekayaan melalui jalan yang salah.

Seseorang yang menjaga integriti mungkin melihat mereka yang menipu mendapat keuntungan lebih cepat.

Ini menunjukkan tidak semua perkara yang memberikan hasil segera adalah betul atau wajar dilakukan.

Keinginan memperoleh kepuasan serta-merta tidak seharusnya menjadi ukuran dalam membuat keputusan.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu ingat ganjaran sebenar adalah berada di sisi Allah swt.

Maka, percaya kepada proses yang ditetapkan-Nya dan bersabar dalam berusaha.

Ingat, sesiapa yang tergesa-gesa mendapatkan sesuatu sebelum tiba waktunya, beliau mungkin akan terhalang daripada memperolehnya sama sekali.

Apabila pengorbanan jadi pelaburan

Seorang Mukmin tidak menilai segala-galanya berdasarkan apa yang berlaku hari ini semata-mata, mereka yakin Allah swt tidak pernah memungkiri janji-Nya.

Keyakinan ini turut diperkukuhkan melalui firman Allah swt dalam Surah At-Taubah, ayat 111:

“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh syurga...”

Ayat ini mengubah cara seorang Mukmin melihat kehidupan – apa sahaja yang dikorbankan demi Allah swt sebenarnya bukanlah suatu kerugian.

Masa yang digunakan untuk beribadah, tenaga yang dicurahkan untuk membantu orang lain dan segala pengorbanan yang dilakukan demi memelihara keimanan merupakan sebahagian daripada ‘urus niaga’ yang telah dijanjikan Allah swt.

Dalam bahasa dunia, seseorang yang membuat pelaburan biasanya perlu menunggu sebelum memperoleh pulangan.

Begitu juga dalam kehidupan seorang Mukmin – tidak semua hasil akan diperoleh dengan segera.

Namun, bezanya ialah janji Allah swt jauh lebih pasti daripada mana-mana pelaburan manusia kerana Tuhan tidak memungkiri janji.

Ramai yang kehilangan harapan kerana terlalu menumpukan perhatian kepada apa yang belum mereka miliki, sedangkan Islam mengajar kita untuk bersyukur atas apa yang ada dan yakin Allah swt sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik pada waktu yang tepat.

Pertolongan Allah tepat pada masanya

Selain itu, Al-Quran turut memberikan jaminan Allah swt akan membantu mereka yang membantu agama-Nya.

Dalam Surah Al-Hajj, ayat 40, Allah swt menegaskan Dia pasti akan menolong orang yang menolong agama-Nya.

Bagi sesetengah orang, usaha mempertahankan nilai Islam dalam dunia moden bukanlah sesuatu yang mudah.

Ada yang berusaha membesarkan anak dengan nilai agama dalam persekitaran yang mencabar.

Ada yang berusaha mengekalkan integriti di tempat kerja.

Kadangkala usaha tersebut kelihatan kecil dan tidak membawa perubahan yang segera.

Namun, ayat ini mengingatkan mereka yang berusaha menegakkan agama dan nilai kebaikan tidak pernah dibiarkan bersendirian.

Pertolongan Allah swt tidak selalu tiba dalam bentuk yang kita inginkan, namun ia pasti hadir pada saat yang paling kita perlukan, bahkan ada kalanya melalui cara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Kesimpulan

Dalam era yang mengagungkan kepuasan segera, masyarakat memerlukan kefahaman yang lebih mendalam tentang nilai kesabaran dan kepercayaan terhadap janji Allah swt.

Kita perlu mendidik diri untuk melihat kehidupan dalam jangka masa yang lebih panjang, bukan sekadar berdasarkan keuntungan dan kerugian yang berlaku hari ini.

‘Tadabbur’ terhadap ayat yang mengandungi berita gembira dan janji Allah swt membantu membentuk cara fikir yang lebih matang dan seimbang.

Ia mengajar kita kejayaan sebenar bukan hanya tentang apa yang dapat dicapai di dunia, malah tentang apa yang sedang disediakan untuk kita di akhirat.

Apabila seseorang benar-benar menghayati janji Allah swt, beliau akan menyedari tidak ada satu pun kebaikan yang sia-sia.

Ada ganjaran yang dapat dirasai di dunia dan ada yang disimpan Tuhan sebagai ganjaran yang lebih besar dan lebih kekal.

Justeru, mari kita membiasakan diri merenungi ayat Al-Quran yang mengingatkan tentang janji Allah swt.

Al-Quran mengajar kita untuk terus berusaha, terus bersabar dan terus berharap, kerana ganjaran terbaik bukan semestinya yang paling cepat, tetapi yang paling bernilai di sisi Allah swt.

‘Tadabbur’ terhadap janji Ilahi melahirkan jiwa yang lebih tenang ketika menunggu, lebih teguh ketika diuji dan lebih yakin bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan kerana Allah tidak akan pernah sia-sia.

Mungkin inilah antara kekuatan terbesar yang diperlukan oleh manusia dalam dunia yang serba segera hari ini.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan