Perkahwinan dan kekeluargaan dalam sejarah manusia telah lama mendapat tempat istimewa dalam Islam.
Terdapat pelbagai ayat Al-Quran yang menyebut tentang pembinaan keluarga, nilai kekeluargaan dan panduan hukum mengatur kehidupan berkeluarga.
Bahkan cerita dan pengalaman yang dilalui oleh para Nabi dan Rasul dengan keluarga mereka, termasuk Nabi Muhammad saw dengan keluarga Baginda, juga diketengahkan dalam Al-Quran.
Hadis Nabi Muhammad saw pula menghuraikan cabaran yang dihadapi pasangan suami isteri dan masyarakat Arab pada ketika itu, yang akhirnya menjadi garis pandu umat Islam dalam berdepan dengan cabaran kekeluargaan dan menanganinya sesuai dengan keadaan semasa.
Allah swt menggambarkan perkahwinan dan ikatan pernikahan sebagai “perjanjian yang kukuh” dalam surah An-Nisa, ayat 21.
Dalam surah Al-Baqarah, ayat 187, Allah swt menggambarkan peranan suami isteri dengan gambaran indah – ibarat pakaian yang saling melindungi satu sama lain.
Melalui cerita yang ditonjolkan dalam Al-Quran, Allah swt memberi isyarat kepada kita agar membuka fikiran dan mengambil iktibar tentang perihal hubungan suami isteri, seperti kisah Nabi Ayub as dengan isterinya.
Seperti kisah Nabi Ibrahim as bersama anaknya, Nabi Ismail as, dan kisah Nabi Ya’qub as dengan anak-anaknya, ia menjadi peringatan kepada kaum ayah untuk kembali mencontohi peranan mereka sebagai pendidik kepada anak.
Ulama dan asatizah Singapura terdahulu telah banyak berjasa, memainkan peranan penting ke arah pembinaan dan pembentukan keluarga Muslim yang kukuh dan berjaya.
Sejak seawal 1890, undang-undang perkahwinan Islam yang dikenali dengan Ordinan Perkahwinan Mohammedan (Mohammedan Marriage Ordinance) telah diperkenalkan untuk memberi hak pengurusan dan pentadbiran perkahwinan menurut hukum Islam kepada masyarakat Muslim Singapura.
Undang-undang perkahwinan terus dikemas kini dari semasa ke semasa sehingga Singapura mencapai kemerdekaan dengan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) mula digubal dan dilaksanakan pada 1966.
Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurusan dan pentadbiran perkahwinan Islam, tetapi juga prihatin terhadap usaha memperkukuh perkahwinan yang berdaya tahan dan berjaya.
Pendaftar pertama ROMM, Almarhum Ustaz Abu Bakar Hashim, telah memulakan langkah perintis dengan memperkenalkan Kursus Persiapan Berumah Tangga untuk semua calon pengantin.
Usaha beliau dipertingkatkan lagi oleh Pendaftar kedua ROMM, Ustaz Pasuni Maulan, yang memperkenalkan kursus menurut kumpulan sasaran buat pasangan muda, duda atau janda yang ingin bernikah semula.
Selain Kursus Persiapan Berumah Tangga yang masih terus giat dilaksanakan, ROMM juga memperkenalkan satu usaha sokongan tambahan untuk memperkukuhkan perkahwinan.
Usaha sokongan yang dikenali dengan jenama ‘Bersamamu’ mula dilaksanakan ketika Pendaftar ketiga ROMM, Ustaz Syed Ahmad Syed Mohamed, menerajui ROMM.
Purata perkahwinan yang didaftarkan ROMM setiap tahun adalah sekitar 5,500 perkahwinan.
Pasangan yang memohon untuk berkahwin datang daripada pelbagai latar belakang.
Kebanyakan mereka adalah pemohon nikah kali pertama, dengan sebahagian daripadanya terdiri daripada pasangan muda di bawah usia 25 tahun.
Selain itu, terdapat juga pasangan warga Singapura yang pasangannya adalah warga asing.
Beberapa permohonan turut melibatkan pasangan yang salah seorang daripadanya adalah mualaf.
Ada juga permohonan daripada pasangan yang berstatus duda atau janda dan mempunyai anak daripada perkahwinan sebelumnya.
Kepelbagaian latar belakang ini ada kalanya mendedahkan pasangan kepada cabaran yang berbeza berbanding pasangan lain.
Walaupun begitu, matlamat mereka tetap sama, iaitu untuk membina perkahwinan yang berkekalan dalam suasana rumah tangga yang harmoni dan ceria.
Maka itu, persiapan sebelum berumah tangga amat penting bagi melengkapkan pasangan dengan ilmu dan kemahiran.
Ilmu dan kemahiran ini akan membuka minda pasangan untuk membuat perancangan awal untuk tahun-tahun awal pernikahan dan membuat penyesuaian yang diperlukan sepanjang tempoh pernikahan.
Langkah ROMM yang mewajibkan pasangan menghadiri Kursus Persiapan Berumah Tangga harus dilihat sebagai satu komitmen agama.
Bukankah agama kita mewajibkan menuntut ilmu, lebih-lebih lagi mengenai perihal pernikahan yang mengandungi unsur ibadah?
Oleh itu, untuk memastikan perkahwinan yang kukuh, pasangan perlu memilih dan mendaftar di agensi yang sesuai mengikut latar belakang masing-masing.
Antara pilihan yang tersedia termasuk kursus untuk pasangan muda di INSPIRASI Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)/AMP; kursus buat pasangan duda dan janda di Vista Sakinah PPIS; serta kursus Cinta Abadi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi pasangan umum.
Selain ilmu dan kemahiran yang diperoleh daripada kursus berkenaan, pasangan juga boleh memanfaatkan sokongan tambahan melalui kadi atau naib kadi yang menikahkan mereka.
Pasangan juga boleh menghubungi kadi atau naib kadi untuk mendapatkan nasihat agama dan panduan kekeluargaan.
Ini merupakan khidmat khusus yang disediakan oleh kadi atau naib kadi untuk pasangan.
Usaha sokongan daripada ROMM bersama beberapa agensi pemerintah bagi pasangan yang berkahwin bertujuan membantu pasangan membina rumah tangga kukuh dan keluarga yang berjaya.
Justeru, keluarga adalah asas penting dan tunjang utama dalam masyarakat.
Kemajuan masyarakat banyak bergantung kepada kejayaan keluarga.
Ia bermula dengan pasangan suami isteri berdaya tahan, yang melahirkan anak yang berperibadi mulia.
Inilah legasi yang boleh diwariskan oleh ibu bapa untuk manfaat Islam dan masyarakat melalui usaha mendidik anak dan membentuk keperibadian yang baik.
Anak yang baik pula akan menjadi harapan dan doa ibu bapa sebagai penyambung amalan mereka setelah kembali kepada Allah swt, sesuai dengan pesanan Nabi Muhammad saw dalam hadis Baginda.
Perkahwinan dan kekeluargaan adalah sebahagian daripada cara hidup Islam.
Jika kita ibaratkan kehidupan ini sebagai satu pengembaraan, dan agama Islam itu adalah jalan menuju kejayaan, maka perkahwinan adalah ‘kenderaan’ yang paling sesuai.
Perkahwinan membawa kita menuju kejayaan, iaitu ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan.
Apabila kita mencapai ketenangan dalam diri kita sendiri dan bersama pasangan, kita dapat menyebarkan kedamaian kepada orang lain dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Oleh itu, kita perlu berusaha sedaya mungkin untuk mewujudkan nilai-nilai yang terkandung dalam Surah Ar-Rum, ayat 21, dalam diri kita dan keluarga, yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah bahawa Dia menjadikan isteri untuk kamu lelaki supaya kamu kekal dalam ketenangan bersama pasangan kamu, dan disuburkan perasaan kasih sayang dan cinta antara hati kamu berdua, sesungguhnya yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Penulis ialah Pendaftar Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg