Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeharmonian bermula dengan menghormati sesama insan
Keharmonian bermula dengan menghormati sesama insan
Nilai-nilai ini telah lama ditekankan oleh Islam melalui ajaran Al-Quran dan teladan Rasulullah saw
Keharmonian bermula dengan menghormati sesama insan
Dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Singapura, keharmonian bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.
Ia tidak lahir dengan sendiri, tetapi dibina melalui sikap saling menghormati, memahami perbezaan dan mengiktiraf maruah setiap insan.
Menariknya, nilai-nilai ini telah lama ditekankan oleh Islam melalui ajaran Al-Quran dan teladan Rasulullah saw.
Kemuliaan manusia tidak diukur pada bangsa atau kedudukan
Imam al-Baghawi dalam kitab tafsirnya meriwayatkan satu peristiwa yang berlaku ketika Pembukaan Kota Makkah.
Setelah urusan Rasulullah saw dengan penduduk Makkah selesai, Baginda mengarahkan Bilal bin Rabah ra untuk melaungkan azan dari atas Kaabah.
Namun, tindakan itu dipandang sinis oleh sebahagian pembesar Quraisy yang masih dipengaruhi cara fikir jahiliah.
Mereka memandang rendah terhadap Bilal kerana warna kulitnya dan kedudukannya sebagai bekas hamba.
Perkara itu akhirnya sampai kepada pengetahuan Rasulullah saw, lalu Allah swt menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan. Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”
Ayat ini menjadi satu prinsip yang sangat penting dalam Islam.
Kemuliaan seseorang tidak ditentukan oleh bangsa, warna kulit, keturunan atau kedudukan, tetapi oleh ketakwaannya kepada Allah swt.
Rasulullah saw turut menegaskan prinsip yang sama melalui sabdanya yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menghapuskan dari kamu kebanggaan jahiliah dan kesombongannya terhadap keturunan…” (Riwayat al-Turmizi).
Sifat sombong dan merasakan diri lebih mulia daripada orang lain bukan sahaja merosakkan hubungan sesama manusia, malah menghalang seseorang daripada melihat kemuliaan insan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Islam membina masyarakat, bukan sekadar individu
Menariknya, sebelum peristiwa Pembukaan Kota Makkah itu, sahabat yang bernama Abdullah bin Salam ra meriwayatkan pengalaman beliau ketika pertama kali bertemu Rasulullah saw setelah Baginda berhijrah ke Madinah.
Perkara pertama yang didengarinya daripada Rasulullah saw bukanlah seruan tentang kedudukan, kekayaan atau kelebihan sesuatu kaum.
Sebaliknya Baginda bersabda: “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan, hubungkan silaturahim, dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Riwayat al-Turmuzi).
Hadis ini memperlihatkan bahawa Islam bukan hanya membentuk hubungan manusia dengan Allah, malah membina hubungan sesama manusia.
Menariknya, seruan Rasulullah saw dimulakan dengan ungkapan:
“Wahai sekalian manusia.”
Bukan hanya kepada orang Islam. Ini menggambarkan bahawa nilai-nilai seperti menyebarkan salam, berkongsi rezeki dan mengeratkan silaturahim merupakan asas kepada pembinaan sebuah masyarakat yang sejahtera.
Mengapa keharmonian penting?
Kemajuan, ketamadunan dan keamanan sesebuah negara banyak bergantung kepada semangat perpaduan yang dibina oleh masyarakatnya.
Apabila masyarakat memiliki sifat-sifat yang terpuji seperti jujur, amanah, saling menghormati dan memberikan hak kepada setiap individu, ia akan membentuk sebuah masyarakat yang dihormati bukan sahaja di negara sendiri, malah di peringkat antarabangsa.
Inilah yang dapat dilihat dalam kepimpinan Rasulullah saw di Madinah.
Masyarakat Madinah ketika itu bukan hanya terdiri daripada orang Islam, bahkan turut dihuni oleh masyarakat Yahudi dan pelbagai kabilah Arab.
Walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan, Rasulullah saw berjaya membina sebuah masyarakat yang hidup secara aman melalui keadilan, tanggungjawab bersama dan saling menghormati.
Menurut Prof Dr J. Suyuthi Pulungan dalam bukunya Prinsip-Prinsip Pemerintahan dalam Piagam Madinah, Madinah dikenali sebagai simbol toleransi dan perpaduan kerana berjaya menyatukan pelbagai kelompok masyarakat tanpa konflik yang berpanjangan.
Perkara kecil yang membina keharmonian
Pesanan Rasulullah saw kepada Abdullah bin Salam sebenarnya mengajar perkara-perkara yang kelihatan sederhana, tetapi memberi kesan yang besar kepada kehidupan masyarakat.
Apabila manusia saling menyebarkan salam, ia membina rasa hormat dan hubungan yang baik.
Apabila mereka berkongsi makanan, ia mencetuskan rasa gembira kepada yang menerima serta menumbuhkan penghargaan kepada yang memberi.
Malah, ia membuka ruang kepada hubungan sosial yang lebih erat.
Kajian moden menunjukkan bahawa amalan makan bersama mampu meningkatkan kesejahteraan emosi, mengukuhkan hubungan sosial dan membina rasa saling mempercayai antara manusia.
Nilai yang diajar oleh Rasulullah saw lebih 1,400 tahun dahulu terus terbukti relevan sehingga hari ini.
Begitulah panduan asas yang diletakkan oleh Islam bagi mencapai kehidupan yang aman dan sejahtera.
Panduan ini bukan hanya untuk umat Islam sesama mereka, bahkan bersifat sejagat kerana bertujuan memelihara kemaslahatan seluruh manusia.
Islam bukan sekadar agama yang membicarakan soal ibadah dan hukum halal dan haram.
Islam juga membimbing umatnya membina masyarakat yang berasaskan keadilan, kasih sayang, saling menghormati dan kesejahteraan bersama.
Membina keharmonian bersama
Dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama seperti Singapura, keharmonian bukan sekadar bergantung kepada undang-undang atau dasar yang baik.
Ia bermula daripada sikap setiap individu dalam kehidupan seharian.
Cara kita bercakap dengan jiran, menghormati amalan agama orang lain, menjaga tutur kata di media sosial dan mengelakkan prasangka terhadap mereka yang berbeza latar belakang merupakan sebahagian daripada usaha memelihara keharmonian yang diajar oleh Islam.
Sebab itu, Islam mendidik umatnya agar sentiasa menjaga akhlak ketika berinteraksi dengan orang lain.
Seseorang mungkin berbeza bangsa, bahasa atau kepercayaan, namun setiap manusia tetap mempunyai maruah yang perlu dihormati.
Apabila nilai ini dipupuk sejak kecil dan diamalkan secara konsisten, ia akan melahirkan masyarakat yang bukan sahaja hidup dalam keadaan aman, tetapi juga saling mempercayai dan bekerjasama demi kebaikan bersama.
Sempena Hari Keharmonian Kaum yang disambut setiap tahun, rakyat Singapura yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama diajak untuk terus memperkukuhkan semangat saling menghormati dan hidup bersama dalam suasana yang harmoni.
Usaha ini amat bertepatan dengan ajaran Islam yang sentiasa menggalakkan umatnya menyebarkan kebaikan kepada semua.
Kerana akhirnya, keharmonian tidak lahir hanya melalui dasar atau sambutan tahunan.
Ia bermula daripada perkara-perkara kecil yang dilakukan setiap hari – menghormati perbezaan, menyebarkan salam, berkongsi rezeki, menjaga tutur kata dan melihat setiap manusia dengan kemuliaan yang telah dikurniakan oleh Allah swt.
Apabila nilai-nilai ini terus subur dalam masyarakat, perpaduan bukan lagi sekadar slogan, tetapi menjadi budaya yang membawa kesejahteraan kepada semua.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.