SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kebaikan, keberkatan memberi pada Ramadan

Kebaikan, keberkatan memberi pada Ramadan

Feb 27, 2026 | 5:30 AM

Kebaikan, keberkatan memberi pada Ramadan

zakat, derma, sumbangan, ramadan
Dua sikap yang harus kita elak selepas memberi sumbangan adalah mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti atau menyinggung perasaan penerima sumbangan tersebut. - Foto fail

Ramadan adalah bulan yang sangat digalakkan untuk seseorang menjadi lebih pemurah dan dermawan.

Bahkan, Baginda Rasulullah saw sendiri menjadi contoh utama dalam hal ini.

Sahabat menyatakan Baginda lebih murah hati pada Ramadan, seolah-olah lebih daripada angin baik yang dihembuskan oleh Allah swt dengan hujan dan rahmat.

Maka, apabila kita menjadikan sumbangan wang seperti sedekah dan pembayaran zakat sebagai satu bentuk ibadah serta peluang meraih pahala daripada Allah swt, kita perlu menjaga beberapa etika penting.

Hal ini agar sumbangan tersebut benar-benar diterima oleh-Nya dan terhindar daripada perkara yang boleh menghapuskan pahalanya.

Etika menyumbang

Ramadan penuh dengan pelbagai peluang menyumbang.

Masjid dan pelbagai pertubuhan menyediakan ruang untuk sumbangan, sama ada bagi pembiayaan hidangan berbuka puasa dan imam tarawih, mahupun untuk membantu golongan memerlukan.

Ada juga yang mungkin tidak menyumbang dengan harta, namun dengan tenaga mereka melalui kegiatan sukarelawan seperti mengagihkan makanan dan jamuan berpuasa di serata Singapura.

Apa pun bentuk sumbangan kita, sama ada berupa wang, tenaga, atau masa, ingat firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 271:

“Kalau kamu zahirkan sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.”

Ayat ini menjelaskan sumbangan yang paling utama adalah yang hanya diketahui oleh empunya diri dan Allah swt.

Menyembunyikan sumbangan adalah cara terbaik kerana ia terpelihara daripada sifat riyak.

Namun, tidak ada masalah jika kita ingin berkongsi di media sosial untuk memberi semangat kepada orang lain agar turut menyumbang.

Yang penting, kita hendaklah memastikan perkongsian itu tidak didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk atau menampilkan diri sebagai seorang yang dermawan, kerana sikap sedemikian boleh menghakis dan menghapuskan pahala sumbangan kita.

Usah rosakkan pahala dengan ungkitan, sifat riyak

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah, 264:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan (kata-kata yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

Ayat ini menjelaskan dua sikap yang harus kita elak selepas memberi sumbangan – iaitu mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti atau menyinggung perasaan penerima sumbangan tersebut.

Kedua-dua sikap ini boleh menghapuskan seluruh pahala yang kita perolehi daripada sumbangan yang diberikan.

Sebagai contoh, ketika kita mengorbankan wang untuk membelanjakan hidangan berbuka puasa bagi orang lain, janganlah kita mengungkit pemberian itu – sama ada kepada penerima mahupun kepada orang-orang lain.

Ungkitan seperti itu bukan sahaja menunjukkan sifat takbur, malah boleh menyakiti perasaan mereka yang telah menerima bantuan.

Sumbangan kecil tetapi bebas daripada unsur mengungkit-ungkit dan kata-kata kesat adalah lebih baik dan lebih bernilai di sisi Allah swt daripada pemberian berjumlah ribuan yang sering diingatkan-ingatkan.

Ingat bahawa kemampuan memberi itu sendiri adalah pemberian Allah swt kepada kita.

Tanpa pemberian Allah swt sudah tentu kita tidak diberikan peluang demikian untuk menyumbang, maka janganlah kita bersikap sombong setelah memberi.

Imam Al-Ghazali menyebutkan orang yang kita bantu itu sebenarnya adalah orang yang membantu kita, bukan sebaliknya.

Beliau menggunakan analogi seorang tukang bekam: Kita menyangka kita yang membantu tukang bekam itu dengan membayar upah perkhidmatannya, padahal tukang bekam itulah yang memanfaatkan kita.

Ini kerana beliau yang mengeluarkan darah kotor daripada tubuh kita.

Begitu juga halnya dengan orang yang kita bantu, mereka sebenarnya memanfaatkan kita, kerana dengan bantuan yang kita berikan kepada mereka, kita dapat membersihkan harta dan meraih pahala di sisi Allah swt.

Pembayaran zakat

Ramadan juga adalah bulan apabila ramai orang membayar zakat harta.

Apabila kita ingin menunaikan zakat harta, berusahalah untuk mengenal pasti asnaf yang paling memerlukan serta memastikan ke mana zakat itu disalurkan agar manfaatnya lebih besar dan bermakna.

Dengan cara ini, zakat yang diberikan benar-benar dapat menampung keperluan golongan memerlukan.

Di samping itu, janganlah kita lupa untuk menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri dan setiap anggota tanggungan.

Ingatlah, nilai sesebuah sumbangan bukan semata-mata terletak pada jumlahnya.

Setiap pemberian, walaupun kecil, apabila disertai niat yang ikhlas dan hati yang tulus, akan menjadi amal yang besar nilainya di sisi Allah swt.

Semoga setiap sumbangan yang kita hulurkan menjadi amal soleh yang tidak ternilai, serta bekalan yang mencukupi untuk kita di akhirat kelak.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg