Saban hari, setiap individu melaksanakan rutin harian kehidupan masing-masing – yang menuntut ilmu akan pergi ke sekolah, yang mencari rezeki keluar bertugas.

Apa jua bentuk rutin harian yang dilakukan, semua itu merupakan amanah yang perlu dipikul dan mengandungi cabaran tersendiri yang harus diharungi.

Namun, adakah kerja sekadar bebanan dunia yang perlu dipikul demi kelangsungan hidup?

Adakah keikhlasan dalam bekerja bererti seseorang itu tidak boleh mengharapkan gaji, penghargaan, atau balasan setimpal?

Salahkah jika seorang pekerja menuntut haknya daripada majikan?

Dan adakah menikmati habuan dunia itu bercanggah dengan sifat ikhlas?

Kerja sebagai medan bekalan akhirat

Islam tidak melihat pekerjaan sebagai urusan dunia yang terpisah daripada agama.

Sebaliknya, kerja yang dilakukan dengan niat yang benar dan tanggungjawab merupakan sebahagian amal soleh yang dilihat dan dinilai di sisi Allah swt.

Firman-Nya dalam Surah At-Taubah, ayat 105, yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu, dan begitu juga Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman’.”

Ayat ini mengingatkan kita setiap amal perbuatan tidak terlepas daripada penilaian Allah swt.

Justeru, tugas harian bukan sekadar ruang mencari nafkah, bahkan medan untuk mengumpul pahala dan bekalan akhirat.

Lebih-lebih lagi apabila pekerjaan itu dilakukan dengan niat menunaikan amanah, menyara keluarga dan memberi manfaat kepada orang lain.

Pentingnya niat dapat kita lihat melalui sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang (akan memperolehi) apa yang beliau niatkan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini memberikan asas yang sangat penting dalam memahami kehidupan seorang Muslim.

Perbuatan yang kelihatan biasa pada zahirnya boleh berubah dan mengandungi unsur ibadah apabila disandarkan kepada niat yang ikhlas kerana Allah swt.

Ikhlas tidak bermaksud tiada imbalan

Sering kali kita tersalah faham tentang makna sebenar keikhlasan.

Ada yang menyangka jika seseorang itu benar-benar ikhlas, maka beliau tidak sepatutnya mengharapkan sebarang balasan.

Seolah-olah mengharapkan gaji yang setimpal atau penghargaan terhadap usaha dianggap sebagai tanda kurangnya keikhlasan.

Hakikatnya, keikhlasan tidak boleh disamaertikan dengan memerintahkan seseorang untuk melakukan sesuatu tanpa memberikan ganjaran selayaknya.

Ikhlas bererti memurnikan tujuan kerana Allah swt, bukan menafikan fitrah manusia yang mengharapkan balasan terhadap usaha yang dilakukan.

Bahkan, memberikan ganjaran boleh dikatakan sebagai sunatullah (lumrah yang ditetapkan Allah) yang seharusnya dicontohi.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Nahl, ayat 97, yang bermaksud:

“Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang beliau beriman, maka Kami pasti akan memberinya kehidupan yang baik, dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”

Perhatikan bagaimana Allah swt menjanjikan ganjaran bagi orang yang beramal soleh.

Jika benar ikhlas bererti tidak mengharapkan balasan, mengapakah Allah swt menjanjikan ganjaran bagi amal soleh?

Wajarkah bagi majikan meminta pekerja melaksanakan sesuatu dan mengatakan, “Lakukan dengan ikhlas, nanti diberikan ganjaran oleh Allah”, sedangkan urusan pahala milik Allah dan bukan majikan?

Hak pekerja dalam Islam

Islam adalah agama yang menegakkan keadilan.

Dalam hubungan antara pekerja dengan majikan, pekerja bukan sahaja dituntut berlaku amanah, bahkan berhak menerima imbalan yang setimpal.

Sebagai contoh, Rasulullah saw bersabda:

“Berikanlah upah pekerja sebelum kering peluhnya.” (HR Ibn Majah).

Hadis ini menegaskan menunaikan hak pekerja adalah tanggungjawab besar bagi majikan.

Maka, seorang pekerja yang ikhlas tidak bererti beliau harus membiarkan dirinya dizalimi, dipandang ringan, atau dinafikan haknya.

Sebaliknya, beliau tetap melaksanakan tugas dengan jujur dan penuh dedikasi, sambil memahami keadilan juga merupakan tuntutan agama.

Dunia bukan musuh orang beriman

Islam tidak melarang umatnya menikmati kehidupan dunia.

Gaji yang baik, kehidupan yang selesa, kenaikan pangkat dan penghargaan terhadap usaha bukanlah sesuatu yang tercela, selagi mana ia diperolehi dengan jalan yang halal.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Qasas, ayat 77:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia…”

Ayat ini mengajak kita untuk tidak melihat dunia dan akhirat sebagai dua perkara yang bertentangan.

Dunia boleh diusahakan dan dinikmati, selagi mana ia tidak dijadikan matlamat utama bagi orang yang beriman.

Seorang Muslim tidak menolak dunia, namun meletakkan dunia pada tempatnya yang sebenar – di tangan, bukan di hati.

Kerja bukan sekadar rutin meletihkan, tetapi ruang ibadah penuh makna.

Ikhlas pula bukan bererti menolak balasan, tetapi meletakkan keredaan Allah swt sebagai tujuan utama dalam setiap tugasan.

Semoga kita menjadi pekerja yang amanah dalam usaha, ikhlas dalam niat dan seimbang dalam menilai dunia serta akhirat.

Ini kerana seseorang yang ikhlas bertugas, ganjarannya bukan sahaja dibalas di dunia, bahkan menanti dengan lebih sempurna di akhirat.

Penulis ialah pendakwah bebas berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) serta ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem.

“... Seorang pekerja yang ikhlas tidak bererti beliau harus membiarkan dirinya dizalimi, dipandang ringan, atau dinafikan haknya. Sebaliknya, beliau tetap melaksanakan tugas dengan jujur dan penuh dedikasi, sambil memahami keadilan juga merupakan tuntutan agama.”
Penulis.