Cinta merupakan fitrah yang Allah swt tanamkan dalam hati setiap manusia.
Ia wujud dalam pelbagai bentuk seperti cinta kepada keluarga, rakan-rakan, pasangan hidup, harta benda dan sebagainya.
Dalam Islam, cinta tidak pernah disekat atau diharamkan secara mutlak kerana ia merupakan naluri setiap manusia.
Sebaliknya, ia dipandu dan dibimbing supaya tidak membawa kepada kemudaratan.
Namun apabila cinta itu menjadi ‘buta’, yakni tidak lagi berlandaskan nilai agama dan akal yang waras, ia boleh mengundang pelbagai masalah seperti dosa, kezaliman dan pembentukan akhlak yang kurang baik.
Dalam konteks hubungan romantik, cinta buta sering kali berlaku apabila pasangan mengabaikan nilai agama dan akal yang waras dalam mengejar kepuasan emosi.
Cinta ‘buta’ seolah-olah menghambakan individu tersebut sehingga dia sanggup menundukkan diri kepada yang dicintai, walaupun orang yang dicintai itu tidak menanam perasaan yang sama.
Dalam keadaan lebih buruk, terdapat individu yang dibutakan oleh cinta sehingga mereka membenarkan perkara yang memudaratkan dilakukan terhadap mereka oleh pasangan, hanya kerana cinta telah mengaburkan pertimbangan mereka.
Keadaan seperti ini amat berbahaya kerana keselamatan dan kewarasan akal boleh lenyap sepenuhnya, sehingga yang tinggal hanyalah cinta dan nafsu semata-mata.
Firman Allah swt: “Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya?” (Surah Al-Furqan: 43)
Ayat ini menegaskan betapa bahayanya apabila seseorang tunduk sepenuhnya kepada kehendak nafsu.
Orang yang dicintainya telah menguasai emosi, fikiran dan imannya sehingga dia secara metafora menjadikannya sebagai ‘tuhannya’, yang ditaati secara mutlak dan sanggup melakukan apa sahaja, walaupun ia memudaratkan diri sendiri.
Cinta buta juga membuka ruang bagi individu yang berniat jahat untuk mengambil kesempatan terhadap emosi kita dan menyakiti kita demi kepentingan mereka sendiri.
Inilah cara penipu mampu mengeksploitasi mangsa mereka dari segi kewangan.
Kita perlu ingat bahawa, tidak kira sebesar mana pun cinta kita terhadap seseorang, tetap ada had yang perlu dijaga.
Kita mempunyai maruah, kebajikan dan masa depan yang juga perlu kita utamakan.
Selain hubungan romantik, cinta buta juga boleh timbul dalam bentuk ketaasuban terhadap harta benda, pangkat dan kemasyhuran.
Islam mengiktiraf keperluan manusia terhadap harta sebagai satu wasilah untuk mencapai kehidupan yang selesa, tetapi ia turut mengingatkan kita agar tidak menjadi hamba kepada harta.
Rasulullah saw pernah bersabda dalam sepotong hadis:
“Celakalah hamba dinar, dirham, pakaian mewah dan sutera. Jika diberi, dia reda, dan jika tidak diberi, dia tidak reda.” (HR Bukhari).
Hadis ini menggambarkan bahaya cinta yang berlebihan terhadap dunia sehingga menjadikan harta dan kemewahan sebagai ‘tuhan’ yang menguasai hati.
Apabila seseorang telah ‘mendewakan’ harta, dia sanggup melakukan penipuan, rasuah dan menzalimi orang lain demi mengumpul kekayaan.
Kita dapat melihat bagaimana di tempat kerja, ada individu yang sanggup menjatuhkan rakan sekerja hanya untuk mendapatkan pangkat yang lebih tinggi dan gaji lebih lumayan, sehingga melihat orang lain hanya sebagai alat untuk mencapai matlamat mereka itu.
Maka, Islam melarang kita daripada terlalu terikat dengan kekayaan dunia dengan menyedari bahawa dunia ini hanyalah sementara dan segala harta yang kita miliki sebenarnya adalah pinjaman daripada Allah swt.
Bahkan, Islam menggalakkan kita menggunakan harta yang diberikan bagi membantu mereka yang memerlukan dan menunaikan hak-hak mereka.
Dengan cara ini, perasaan tamak, bakhil dan cinta dunia secara berlebihan dapat dikawal dan kita akan melihat harta sebagai satu alat untuk mencapai keredaan Allah swt, bukan sebagai tujuan utama kehidupan.
Mengidolakan seseorang sehingga memandangnya sempurna tanpa sebarang cacat cela juga tergolong dalam kategori cinta buta.
Salah satu fenomena yang berlaku pada zaman kini adalah trend mengidolakan selebriti dan penyanyi.
Golongan muda memandang serius soal mengagumi idola mereka sehingga sanggup menghabiskan wang untuk membeli setiap barangan yang dikeluarkan, mempercayai setiap kata-kata mereka dan mendedikasikan seluruh hidup mereka kepada selebriti tersebut.
Walaupun ini telah menjadi satu kebiasaan, bentuk lain cinta buta yang sering tidak disedari adalah ketaasuban terhadap orang-orang soleh dan tokoh agama.
Mereka yang terlalu taasub kepada tokoh agama akan mengesahkan segala ucapan dan hukum yang diberikan oleh tokoh tersebut seolah-olah mereka seorang nabi.
Mereka akan ‘membela’ tokoh tersebut tanpa menyedari beliau juga manusia biasa yang tidak maksum dan boleh melakukan kesilapan.
Kedua-dua bentuk pengidolaan ini dikecam dalam Islam.
Ketaatan, sokongan dan pengorbanan yang membuta tuli terhadap seseorang adalah sesuatu yang pernah berlaku pada masa lalu.
Allah swt berfirman: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan selain daripada Allah.” (Surah At-Taubah: 31).
Seorang sahabat Nabi saw yang dahulunya beragama Nasrani pernah bertanya:
“Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib).”
Maka Baginda bersabda: “Sesungguhnya mereka tidak menyembah mereka secara langsung, tetapi apabila para pendeta itu menghalalkan sesuatu bagi mereka, mereka pun menghalalkannya, dan apabila para pendeta itu mengharamkan sesuatu bagi mereka, mereka pun mengharamkannya. Maka itulah bentuk penyembahan mereka kepada pendeta-pendeta itu.” (HR Tirmizi).
Langkah paling utama untuk mengelak cinta buta yang memudaratkan adalah dengan menyedari bahawa cinta yang tulus dan mutlak hanya layak untuk Allah swt dan Rasul-Nya.
Bahkan, ibu bapa kita sendiri – yang secara fitrah sangat kita kasihi – tidak boleh melebihi cinta kita kepada Allah swt.
Jika mereka memerintahkan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Allah swt, kita tidak dibenarkan untuk mengikutinya.
Allah berfirman: “Dan jika mereka berdua (ibu bapamu) memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka, namun bergaullah dengan mereka di dunia ini dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 31).
Seorang Muslim yang benar akan memastikan cintanya membawa kebaikan dan keberkatan, bukan kelalaian dan kemudaratan.
Oleh itu, dalam setiap bentuk cinta, sama ada kepada manusia, dunia, atau apa sahaja, kita perlu bertanya diri: “Adakah cinta ini membawa aku lebih dekat kepada Allah?”
Jika jawapannya tidak, maka cinta itu perlu dinilai semula.
Semoga kita semua diberikan kebijaksanaan dalam mencintai dan dicintai dengan cara yang diredai Allah swt.
“
“Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya?”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg