Topik diikuti
Pergi ke BHkuCahaya harapan buat bola sepak S’pura kembali bersinar
Pasukan kendalian Gavin Lee papar semangat juang, mempunyai identiti, hala tuju untuk terus berkembang
Cahaya harapan buat bola sepak S’pura kembali bersinar
Bola sepak Singapura sedang menuju ke arah yang betul.
Itulah ungkapan yang saya berani nyatakan tanpa sebarang keraguan.
Jika ada satu detik yang benar-benar mengukuhkan kepercayaan itu, ia adalah malam 18 November 2025 apabila Singa mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, saya dan sekumpulan wartawan lain bukan sekadar meraikan satu kemenangan.
Kami bagai meraikan penghujung kepada penantian yang begitu panjang – hasil daripada ketabahan sebuah pasukan yang selama ini sering dipandang rendah dan dipersoalkan.
Buat kali pertama, saya benar-benar memahami kuasa sebenar sukan bola sepak.
Kemenangan itu bukan milik pemain yang berada di atas padang semata-mata.
Ia milik setiap rakyat Singapura yang tidak pernah berhenti percaya, walaupun harapan suatu ketika dahulu kelihatan semakin pudar.
Dalam sekelip mata, bola sepak menjadi sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar permainan selama 90 minit.
Ia menjadi lambang kebanggaan negara, menyatukan ribuan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang di bawah satu bendera dan satu impian yang sama.
Namun keyakinan ini tidak lahir hanya kerana satu keputusan.
Dalam kempen Piala Asean Hyundai, saya sudah pun melihat tanda-tanda bahawa sesuatu sedang berubah.
Daripada persembahan yang lebih berani, lebih tersusun dan lebih meyakinkan di bawah kendalian jurulatih pasukan, Gavin Lee, sehinggalah keputusan seri menentang Vietnam – sebuah pasukan yang pernah membelasah Singapura 5-1 dalam edisi lalu kejohanan tersebut.
Walaupun hanya meraih satu mata, persembahan itu memperlihatkan jurang yang semakin mengecil dan, yang lebih penting, sebuah pasukan yang mula percaya kepada kemampuannya sendiri.
Lebih besar daripada keputusan di atas padang ialah identiti yang sedang dibentuk.
Di bawah Lee, Singapura bukan sahaja kelihatan lebih tersusun dari sudut taktikal, malah kembali mempamerkan semangat juang, disiplin dan detik keberanian yang sekian lama dirindui penyokong.
Berkali-kali beliau menekankan bahawa pemain yang menyarung jersi negara perlu memahami makna sebenar mewakili Singapura.
Nilai itu kini jelas diterjemahkan oleh pemain setiap kali mereka melangkah ke padang.
Buat kali pertama selepas sekian lama, skuad Singa mempunyai arah tuju yang jelas.
Keyakinan itulah yang saya rasakan semakin menebal dalam kalangan penyokong.
Bukan kerana Singapura tiba-tiba menjadi kuasa baharu bola sepak Asia Tenggara, tetapi kerana buat kali pertama selepas sekian lama, kita dapat melihat sebuah pasukan yang mempunyai identiti, hala tuju dan asas yang kukuh untuk terus berkembang.
Kini, tiba masanya optimisme itu tidak hanya terhenti pada skuad kebangsaan.
Ia juga perlu dibawa ke Liga Perdana Singapura (SPL).
Sudah terlalu lama kita melihat bola sepak tempatan melalui lensa negatif.
Terlalu lama kita lebih gemar bercakap tentang kekurangan daripada menghargai kemajuan yang sedang dibina.
Jika skuad kebangsaan mampu mengembalikan keyakinan penyokong, liga tempatan juga berhak diberikan kepercayaan yang sama.
Apa yang lebih mengujakan ialah masa depan Singapura tidak lagi bergantung kepada beberapa individu semata-mata.
Hari ini, kita masih mempunyai tonggak berpengalaman seperti Izwan Mahbud, Hariss Harun, Safuwan Baharudin dan Shawal Anwar, serta masih lagi ada pemain yang dikategorikan muda seperti Irfan Fandi, Ilhan Fandi, Shah Shahiran dan lain-lain lagi.
Pada masa sama, prospek kemasukan pemain seperti Perry Ng, Kai Whitmore dan Shuya Yamashita, memberi bayangan bahawa pilihan skuad Singapura akan menjadi lebih berkualiti dan luas pada masa akan datang.
Selepas sekian lama, perbualan mengenai bola sepak Singapura bukan sekadar tentang pencapaian masa lalu.
Sebaliknya, ia berkisar tentang apa yang sedang kita bina.
Sudah tentu perjalanan ini masih panjang.
Masih banyak yang perlu diperbaiki, masih banyak cabaran yang perlu ditempuh dan masih banyak sasaran yang perlu dicapai.
Namun kemajuan sesebuah pasukan tidak hanya diukur melalui keputusan.
Ia juga diukur melalui keyakinan yang berjaya dipulihkan. Saya percaya keyakinan itu telah kembali.
“
Selepas sekian lama, perbualan mengenai bola sepak Singapura bukan sekadar tentang pencapaian masa lalu. Sebaliknya, ia berkisar tentang apa yang sedang kita bina.... Masih banyak yang perlu diperbaiki, masih banyak cabaran yang perlu ditempuh dan masih banyak sasaran yang perlu dicapai. Namun kemajuan sesebuah pasukan tidak hanya diukur melalui keputusan. Ia juga diukur melalui keyakinan yang berjaya dipulihkan. Saya percaya keyakinan itu telah kembali.