Topik diikuti
Pergi ke BHkuApakah peranan bahasa dialek untuk pupuk identiti budaya masa kini?
Apakah peranan bahasa dialek untuk pupuk identiti budaya masa kini?
Perlu ada keseimbangan bagi pastikan penggunaan bahasa rasmi utama tidak terhakis
Apakah peranan bahasa dialek untuk pupuk identiti budaya masa kini?
Meskipun saya orang Bawean, saya malu menyatakan saya tidak tahu berbahasa Bawean.
Akibatnya, anak-anak saya langsung tidak tahu bahasa itu.
Suami saya yang berketurunan Jawa juga tidak tahu dan pandai bercakap mengenai bahasa itu dengan anak-anak.
Oleh kerana tidak ada pendedahan, saya akur anak-anak tidak tahu sangat mengenai asal usul nenek dan moyang mereka.
Baru-baru ini, saya teruja melihat rakan dan keluarganya mengongsi pengalaman menaiki bot untuk ke Pulau Bawean dan tinggal di pulau itu.
Seperti kata ibu saya, Pulau Bawean ini ‘macam Hawaii’.
Terdetik juga hati ini untuk membawa keluarga ke sana.
Meskipun tidak bercakap bahasa itu, saya bangga menjadi orang Bawean dan tidak mungkin saya lupakan asal usul saya memandangkan kad pengenalan (IC) terserlah mencatatkan bangsa saya itu.
Kuah celok (sejenis lauk sup ikan orang Bawean) masih menjadi salah satu makanan kegemaran saya.
Isu mengenai bahasa dialek dibahaskan secara hangat di Parlimen baru-baru ini.
Isu ini tercetus berikutan keputusan awal Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) yang mengehadkan tayangan filem indie tempatan bertajuk ‘Dear You’ arahan Lan Hongchun yang menggunakan dialek Teochew.
IMDA pada mulanya menetapkan bahawa bagi tayangan umum di pawagam komersial, filem tersebut mesti dialih suara (dubbing) ke dalam bahasa Mandarin, manakala versi dialek asal hanya dibenarkan untuk tayangan festival atau pasaran khusus sahaja.
Sebelum ini, IMDA pada 16 Jun berkata filem Dear You versi alih suara bahasa Mandarin akan ditayangkan bagi tayangan umum di Singapura.
Namun, filem indie versi dialek Teochew itu tetap akan ditayangkan pada majlis tayangan perdana serta sedia bagi tayangan festival dan pasaran khusus yang lain.
Setelah pengedar filem itu, Clover Films, dan pengendali pawagam Golden Village (GV) mengemukakan permohonan agar lebih banyak filem ditayangkan dalam dialek Teochew, pihak berkuasa akhirnya membenarkan 50 tayangan tambahan pada 25 Jun.
Satu keprihatinan ialah jika bahasa dialek dibenarkan, ia akan menjejas penggunaan bahasa Mandarin.
Kempen Bertutur Bahasa Mandarin dilancarkan pada 1979 bertujuan menggalakkan penggunaan bahasa Mandarin dalam dasar dwibahasa bagi masyarakat Cina di Singapura.
Bagi masyarakat Melayu, penggunaan bahasa Melayu juga digalakkan berbanding bahasa dialek seperti bahasa Jawa, Bawean, Bugis dan sebagainya sebagai dasar dwibahasa.
Dasar Dwibahasa di Singapura adalah asas kepada sistem pendidikan dan identiti nasional negara tersebut.
Diperkenalkan secara rasmi pada 1966, dasar ini mewajibkan setiap murid di sekolah aliran utama untuk mempelajari dua bahasa – Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda seperti Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.
Dalam era pembangunan negara, bahasa merupakan wadah bagi menyatukan pelbagai bangsa.
Jika pelbagai dialek digunakan, sukar rasanya untuk menyatukan kita sebagai rakyat Singapura.
Namun Anggota Parlimen (AP) berhujah bahawa bahasa dialek merupakan komponen yang sangat penting dan unik dalam membentuk identiti serta budaya kita.
Ini tidak boleh dinafikan dan persatuan dialek seperti Persatuan Bawean Singapura atau Persatuan Minang Singapura boleh memainkan peranan mengajar dan terus melestarikan bahasa itu dalam acara yang dianjurkan mereka agar generasi muda terus mengenali jati diri mereka.
Tetapi, di peringkat kebangsaan, sejauh manakah kita membenarkan bahasa dialek digunakan secara meluas di pawagam atau televisyen?
Persoalannya juga jika beberapa dialek dibenarkan, tentu sahaja dialek lain akan juga meminta kebenaran yang sama.
Walhal bagi setiap masyarakat baik Cina, Melayu atau India, bilangan dialek yang wujud terlalu banyak dan sukar dikira.
Adakah penggunaan dialek secara meluas akan menjejas penyatuan rakyat sebagai orang Singapura?
Dalam perbahasan Parlimen pada 7 Julai, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata pemerintah sedang menyemak semula rangka kerja klasifikasi filem sedia ada berhubung penggunaan bahasa dialek dalam filem.
Menurut Encik Tan, keadaan telah berubah sejak garis panduan ini mula diperkenalkan.
Beliau menyatakan bahawa tiada sekatan dikenakan bagi penggunaan dialek dalam persembahan kesenian atau kandungan yang tersedia di Internet serta perkhidmatan penstriman dalam talian.
Namun, bagi siaran televisyen dan radio percuma (free-to-air), bahasa seperti bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin akan terus dikekalkan.
Bagi panggung wayang pula, pemerintah bersedia membenarkan lebih banyak tayangan filem dalam bahasa dialek, supaya penonton mendapat akses lebih luas kepada kandungan sedemikian.
Encik Tan menyatakan bahawa masih wujud ruang untuk pemerintah mempertimbangkan peluasan skop penggunaan bahasa dialek, dan pada masa sama terus mempertahankan kepentingan bahasa utama seperti Melayu, Mandarin dan Tamil.
Dalam usaha memberikan kelonggaran bagi meluaskan skop penggunaan bahasa dialek, ia juga penting untuk mempergiatkan usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sedang peratusan yang menggunakannya kian merosot.
Sesetengah ibu bapa juga semakin menghadapi cabaran bertutur dan memberikan pendedahan bahasa Melayu kepada anak mereka di rumah.
Peratusan orang Melayu yang bertutur dalam bahasa Melayu di rumah berkurangan daripada 60.7 peratus pada 2020 kepada 46.5 peratus pada 2025, menurut dapatan Tinjauan Isi Rumah Umum 2025 pada 30 Jun sedang lebih ramai yang bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Jadi, apakah keseimbangan yang ingin dicapai apabila penggunaan bahasa dialek diluaskan?
Hanya kita sendiri yang boleh menentukannya.
Jangan pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran.